Rumah

Tuesday, June 21, 2011

Menggapai Sebuah Keinsafan




Tuhan
Lihatlah aku yang telah durhaka ini
Lihatlah aku yang telah hanyut dalam lumpur hitam
Setiap tengah malam gulita
Aku menundukkan keningku menghadapmu Sang Robbi
Meminta padaMU anggur pelega atas kerinduan
Tuk memeras darahku yg dingin, brgantikan darah yang hangat kasihMU


Robeklah dadaku,
Basuhlah hatiku yang telah kotor karna nistaku
Dan putuskanlah nadi yang mengalirkan dosa
dan sucikanlah ke dalam lautan ampunanMU


Aku hanyalah tulang dan tanah
Yang tak memiliki apapun, kecuali nyawa dariMU
Ku tanggalkan jubah” takaburku, dan menggantikannya dengan sorban tawadhu’ ku
Tuk meraih kedamaian sejati
Ketenangan d hari akhir
Ku kembali padamu, dalam asma MU
Dengan segala pemberianMU
Aku mengHamba

Monday, June 20, 2011

Sebuah Catatan Mingguan.........


Alhamdulilah, genap seminggu blog kembara sufi ini wujud dan yang paling buat aku terkejut apabila melihat post "Aku dan Gro" menjadi post yang paling hangat dan paling hit dalam blog aku sehingga mencecah 200 pembaca dalam satu hari yang membaca post "Aku dan Gro". Banyak respon yang menyatakan cerita "Aku dan Gro" boleh dikembangkan lagi sebagai sebuah cerpen atau novel.

Hakikatnya 'Aku dan Gro" adalah hanya secepis pengalaman yang aku kutip sepanjang aku berkelana di atas muka bumi Allah sepanjang 32 tahun .  Penulisan "Aku dan Gro" bukanlah niat aku untuk menghentam wanita kupu-kupu malam atau nak menghukum mereka yang tidak bernasib baik ini, tidak sama sekali kerana manusia tidak layak untuk menghukum sesama manusia. Hanya Allah sahaja yang layak menghukum manusia. Kita harus ingat keampunan Allah itu terlalu luas untuk hamba-hambanya dan dalam hadith Qudsi Allah s.w.t ada menyatakan "Kasih Sayangku Mengatasi Kemarahanku"

Dalam Hadith Rasullulah juga ada menceritakan bagaimana seorang wanita pelacur yang telah memberi minum kepada seekor anjing yang kehausan telah dipilih oleh  Allah untuk memasuki syurga.  Hidayah itu milik mutlak Allah s.w.t  dan manusia tidak berhak untuk menilai syurga atau neraka seseorang itu dan  mungkin hari ini mereka hidup dalam kesesatan dan  kemaksiatan kepada Allah tapi Allah berkuasa untuk memilih mereka berada ditempat hamba-hambanya yang soleh dan mendapat keampunan dan keredhaanNya pada hari esok. Itu diluar jangkaan kita sebagai manusia yang lemah.

Ada yang memberi respon dan bertanya kepada aku dalam email siapa "Rohayu"...tidak perlulah aku mencerita lebih lanjut tentang siapa watak "Rohayu" dalam cerita "Aku dan Gro" dan biarlah watak "Rohayu" itu aku simpan dalam liputan sejarah aku...hehehe..pehhh ayat jiwang gila siottttt....ok..ok..kita serius balik.

 Kalau kartunis Tembakau pernah menghasilkan karya Agungnya iaitu "lagenda Cinta Kartini", Dato' A.Samad Said dengan karya "Salina"nya sehingga diangkat sebagai karya Agungnya dan biarlah "Rohayu" menjadi karya Agung aku walaupun novel tentang kisah "Rohayu" tak dapat aku siapkan...huhuhuhu....oklah aku dan mengantuk bangat ni, jam telah menunjukkan pukul 1.20 pagi, esok aku keja bro n sis..hehhe..

oklah lupakanlah tentang cerita "Aku dan Gro" tu kerana Insya Allah banyak lagi cerita-cerita yang menarik yang boleh mendatang keinsafan yang akan  aku paparkan dalam blog kembara sufi ini..Thanks for u all kerana support blog aku , dalam masa seminggu aku buat blog ni dah nak mencecah hampir seribu pembaca..Semoga Allah melindungi kita semua dari kejahatan-kejahatan yang hadir dari Iblis dan Syaitan yang dilaknat...Assalamualaikum,,,,,,, (Kembara Sufi)

Saturday, June 18, 2011

Tazkirah Cinta





Cinta dan pengorbanan
Kau kata kau cinta
Maka di mana tandanya?
Kau kata kau berkorban
Maka ke arah siapa kau berkorban?


KISAH CINTA PERTAMA


Yang membayar pengorbanan insan atau kepada yang juga memerlukan pembayaran?
Asid termenung panjang di atas sofa. Selepas pulang dari subuh, dia tidak masuk terus ke bilik. Lama dia begitu. Hingga langit dari gelap menjadi kelabu dan kini mentari sudah mula hendak menyinari bumi Jordan ini.

Irfan yang sudah beberapa kali keluar masuk bilik, pergi tandas, pergi dapur, pergi sidai kain pada pagi itu, setiap kali melalui ruang tamu, hanya melihat sahaja sahabat karibnya itu. Dia tidak mahu menganggu. Asid nampaknya sedang berfikir sesuatu.

Sesuatu yang berat. Mungkin.

Irfan selesai menggoreng jemput-jemput. Kuih kegemarannya. Dia belajar daripada Puan Maimunah, ibu Asid. Ditambah dengan bawang yang dipotong nipis. Sangat sedap bila dicecah dengan sos cili buatan Malaysia. Namun di Jordan, tiada sos cili. Yang ada hanyalah sos tomato. Antara perkara menarik di Jordan.

Irfan meletakkan pinggan yang dipenuhi jemput-jemput di hadapan Asid. Sahabatnya masih tidak bereaksi.

“Fikir apa la tu”  Irfan berbicara di dalam hati. Dia tidak terus menegur Asid. Dia bergerak ke bilik Saifuddin dan Shah, memanggil mereka berdua untuk sarapan bersama.

Bila semua sudah hadir di ruang tamu, tiada siapa yang bergerak menyentuh makanan. Semuanya melihat Asid. Asid masih seperti tadi. Termenung panjang.

“Kenapa?” Saifuddin berbisik kepada Shah.

Shah jungkit bahu. Mereka berdua memandang Irfan. Irfan menguntum senyum.
“Angau”

Saifuddin dan Shah tergelak.

Asid terkejut. Menoleh sahabat-sahabatnya dengan keadaan sedikit gelabah.

“Kenapa? Kenapa?”

“Makan encik Asid, apa menung-menung lepas Subuh?” Saifuddin menarik Asid bangun dari sofa, agar duduk di meja kecil mereka.

“Salah soalan tu Sifu. Sepatutnya menung-menung apa lepas Subuh” Shah tambah menyakat.

“Teringat bidadari di kejauhan la tu” Irfan menambah.

Asid muka merah. “Mana ada!” Terus tangannya pantas menggapai jemput-jemput.

Mereka berempat makan dengan berselera sekali. Saifuddin dan Shah tak habis-habis memuji Irfan yang sudah seperti ibu di rumah. Kebelakangan ini, Irfan sangat rajin memasak walaupun bukan pada gilirannya, mengemas rumah, mencuci pinggan mangkuk, malah kadangkala Irfan membasuh pakaian sahabat-sahabatnya dan membantu mereka menyidai pakaian.

“Aku nak tanya la. Kalau aku jatuh cinta, nak buat macam mana?” Tiba-tiba terkeluar soalan itu dari mulut Asid.

Saifuddin, Shah dan Irfan berhenti menjamah. Jemput-jemput di tangan tidak terus dimasukkan ke mulut. Masa seakan terhenti. Ketiga-tiga orang itu memandang Asid.

“Kenapa? Aku salah bagi soalan ke?” Asid memandang kembali tiga sahabatnya dengan wajah yang pelik.

Irfan menguntum senyum bermakna. Saifuddin dan Shah tergelak-gelak sendiri.

“Hebat la kau Irfan, tepat tekaan kau” Shah menghirup teh yang ada.

“Sahabat atas keimanan ni, hubungan hati ke hati. Jadi kadangkala kita dapat rasa apa ada dalam hati sahabat” Irfan berbicara dengan nada berseloroh, tetapi kata-katanya itu ada benarnya.

“Kau jatuh cinta dengan siapa Asid? Israa’ yang selalu kejar kau tu ke?” Saifuddin bertanya.

 Dia selalu sahaja mendengar Dzulkarnain dan Halim bercerita berkenaan Asid yang dikejar perempuan bernama Israa’.

Asid menggeleng. Bukan sebab Israa’ tak baik.

Cuma dia memang tiada minat pada perempuan arab. Itu alasan pertama. Alasan yang kedua, hati dah cinta. Mana ada masa nak pilih.

“Jadi siapa?” Shah menyambung tanya.

“Rahsia.”

“La…” Irfan menepuk meja. Keterujaannya terpotong.

“Kalau nak rahsia, baik tak payah menung panjang untuk bagitahu. Appa da” Saifuddin mengangkat jemput-jemput sekali bersama tangannya, menunjuk ke arah Asid.

“Aku bukan menung panjang sebab nak bagitahu siapa aku suka. Aku menung panjang, sebab aku fikir, betul ke aku ni bercinta. Cinta ni macam mana? Ada orang kata haram, ada orang kata tak boleh la. Semua orang baik-baik, kalau cerita fasal cinta, semua cerita cinta selepas kahwin. Lebih halal la, lebih bagus la. Tapi kalau dah terjatuh cinta sebelum kahwin, nak buat macam mana?”

Asid mengomel dengan soalan dan keserabutan dirinya.

“Oh, inilah yang selalu menganggu kau ni?”  Irfan menghabiskan teh di dalam cawannya.
Asid mengangguk. Dia juga kemudian meneguk teh.

“Ha’ah ya, kalau dah tercinta macam mana? Cinta ni kadang-kadang bukan boleh rancang-rancang. Kalau dah jatuh cinta, jatuh cinta la jugak. Betul tak?” Saifuddin memandang Shah.
Shah mengangguk.

“Betul-betul-betul” Meniru gaya Upin dan Ipin.

Semua memandang Irfan sekarang. Irfan memandang semula. “Ni apa cerita semua pandang aku?”

“Kau la Irfan, cerita la sikit. Ni kira kuliah subuh la” Shah bersemangat.

“Banyak la kau punya kuliah subuh” Irfan tergeletek mendengar perkataan kuliah subuh itu.

“Cerita la Irfan. Yang buat aku risau bukan apa. Kalau benda ni salah, aku kena rengkuh buang sepenuhnya. Aku tak mahu benda macam ni menganggu seharian aku, menganggu ibadah aku, menganggu studi aku” .Asid meminta ihsan.



Irfan menghela nafas. Dia faham. Cinta, memang satu perkara yang akan panas hinggalah ke akhir kehidupan manusia.

“Mukadimahnya, cinta itu mestilah diiringi pengorbanan. Tanpa pengorbanan, itu bukan cinta yang sebenarnya”

Semua diam. Teruja nak mendengar. Kemudian Irfan diam, memerhati ketiga-tiga sahabatnya.

“Kita sambung pada rancangan yang seterusnya”  Irfan bangun, mengutip semua pinggan dan cawan.

“Ha?” Saifuddin, Shah dan Asid serentak terkejut, hanya mampu memandang Irfan masuk ke dapur.

“Itu sahaja ke?” Asid separuh menjerit. Hendakkan suaranya sampai pada Irfan di dapur.

“Ada lagi. Tapi dah nak terang kat luar tu encik Asid oi. Aku nak pergi universiti awal hari ini. Kelas pukul 8.00 pagi”

“Nanti kau sambung tak kuliah subuh kau ni Irfan?” Shah pula bertanya. Dia baru sahaja bersemangat.

Irfan kemudian keluar dari dapur. Dia mengelap kedua belah tangannya dengan kain buruk di pintu dapur.

“Fahami dulu apa aku cakap tadi. Baru kita cerita panjang ya anak-anak” Kemudian dia terus bergerak memasuki biliknya. Dia hendak menukar baju, bersiap untuk ke kuliah hari ini.

“Nakal juga Irfan ni” Saifuddin menggeleng dengan senyuman. Shah turut sama tersenyum. Namun Asid, dia diam terus termenung. Kini bukan lagi fasal adakah cintanya itu benar. Tetapi dia memikirkan bicara Irfan tadi. Dia tahu, Irfan tidak mengeluarkan sesuatu dengan sia-sia.

“Tak, yang dia cakap tadi cukup buat masa ini” Asid tiba-tiba bangun. Seakan mendapat roh baru.

Shah dan Saifuddin memandang Asid yang kemudiannya pergi masuk ke dalam bilik. Mereka tidak faham.

“Shah, mungkin kita ni kena fikir jugak kut apa yang Irfan kata tadi”

“Mungkin”

Dan pagi itu merupakan pagi yang baik untuk mereka.


                                                       KISAH CINTA KEDUA

“Tapi, tapi…” Ainul Ameena tergagap-gagap. Tangannya menggeletar. Bukan kerana cuaca sejuk, tetapi kerana hatinya seakan dihantuk-hantuk. Sedang retak. Hampir pecah. Air matanya kini bergenang.

Wafiq Wasim di hadapannya tersengih malas. “Tapi apa?”

“Tapi kita kan dah sehati sejiwa?”

“heh, kau sahaja yang rasa macam itu Ameena. Aku tak” Wafiq menggeleng.

“Kenapa? Kenapa pula? Dah hampir sebulan kita berkenalan?” Ameena tidak dapat menerima apa yang didengarinya.

Wafiq ingin memutuskan hubungan mereka. Sedangkan Ameena merasakan sebelum ini mereka amat bahagia. Dia mula jatuh cinta kepada Wafiq selepas pertama kali melihat lelaki kacak itu.

Wafiq sangatlah popular, semenjak kemunculannya di malam penutup MHS. Sebelumya, Wafiq seakan terlindung di balik rakan-rakannya. Tetapi pada malam itu, Wafiq ibarat putera idaman yang turun dari langit.

Wafiq memang amat kacak. Selain pandai memasak, susuk tubuhnya amat menawan. Dia bertubuh sederhana tinggi. Kulitnya putih bersih, licin tanpa jerawat. Rambutnya kemas walaupun sedikit panjang.

Pakaiannya sentiasa mempunyai gaya dan mengikut fesyen. Giginya putih tersusun rapi. Bila dia tersenyum, mampu membuatkan perempuan-perempuan yang melihat angau berminggu-minggu. Bonus untuk Wafiq, suaranya amat merdu.

Wafiq bukan sahaja popular di kalangan pelajar melayu sahaja. Malah pelajar-pelajar arab di universiti juga gilakan dia. Lebih-lebih lagi apabila Wafiq sering membuat persembahan terbuka bersama gitarnya di tengah taman JUST setiap kali ada masa lapang. Dia akan dikerumuni ramai ketika itu. Seakan seorang bintang.

Ameena sangat rasa bertuah apabila Wafiq menyatakan yang dia mencintai Ameena. Ameena antara salah seorang yang cuba mendekatkan diri kepada Wafiq. Berkali-kali cuba menghantar mesej, e-mail dan kadangkala cuba menelefon.

Di Facebook, dia antara ratusan yang menghantar kata-kata kepada Wafiq. Dari ratusan orang itu, Wafiq memilihnya. Ameena rasa dunia adalah dia yang punya.Tetapi kini…

“Aku tak suka perempuan murahan macam kau” Wafiq bergerak meninggalkan Ameena di tengah taman.

Gugur air mata Ameena ketika itu. Cintanya hancur. Selangkah lebih jauh Wafiq meninggalkannya, dia merasakan dunianya semakin gelap. Hatinya bergetar dengan kuat, jantungnya berdegup dengan amat kencang. Dia rasa sakit.

“Wafiq!” Tanpa segan silu dia mengejar, memeluk Wafiq dari belakang.

“Jangan. Aku sanggup bagi apa sahaja. Diri aku pun. Jangan tinggalkan aku Wafiq”

Wafiq diam. Entah berapa kali dalam hidupnya dia menghadapi situasi begini. Perlahan-lahan tangan Ameena dilepaskan. Kemudian dia terus berjalan.

“Aku dah kata, kau perempuan murahan. Dan baru ini, kau membuktikan” Wafiq terus berjalan.

Ameena terjelepuk. Kenapa? Dia sudah sanggup berkorban untuk cintanya. Kenapa Wafiq masih meninggalkan dirinya?

Ameena menjerit sekuat hati. Air matanya mengalir deras. Emosinya terganggu, psikologinya rosak.

Wafiq tidak menghiraukan, sedikit pun tidak kasihan. Ameena bukan perempuan pertama. Semenjak dahulu lagi, dia memang suka buat kerja begini. Bertukar teman wanita, dan menghancurkan harapan mereka. Aset yang ada pada dirinya menyebabkan tiada siapa yang kisah dengan apa yang dia lakukan pada perempuan lain. Perempuan-perempuan lain sentiasa menanti masa hubungannya terjejas, agar mereka pula mendapat peluang dengannya.

Ameena tidak akan dilayan. Malah ramai perempuan bergembira dengan nasib Ameena.

Wafiq kegilaan semua.

Yang tenggelam dalam cinta palsu dunia.

“Bravo, bravo” Badruddin menepuk tangan. Kagum dengan kehebatan Wafiq dalam bab mematahkan hati perempuan. Dia yang sedari tadi memerhati dari jauh bersama Yusuf, memeluk Wafiq.

“Harap bertudung je lebih Ameena tu. Tak ada pegangan langsung. Sanggup pula peluk kau?” Badruddin menggelakkan Ameena.

“Tudung apa semua tu, mereka berlakon sahaja. Aku benci dengan orang-orang macam itu. Kalau boleh, aku nak rosakkan lagi ramai lagi. Biar mereka sedar, yang mereka tu berlakon sahaja”

Yusuf memandang Ameena yang masih lagi tidak bangun. Kasihan. Tetapi apa yang dikatakan oleh Wafiq betul juga. Disaster Five, kehidupannya pernah dicalari dengan peribadi-peribadi yang berlakon mulia. Mereka amat benci dengan peribadi-peribadi ini.

“Jangan kata ‘aku’. Kita” Badruddin mendepangkan kedua belah tangannya, meletakkan di belakang bahu Wafiq dan Yusuf. Kemudian merapatkan tubuh dua rakannya pada dirinya.
“Ya, kita. Kita benci orang macam mereka” Wafiq mengiyakan, mereka bertiga berjalan meninggalkan taman JUST itu.

Ameena, mangsa pertama dalam kehidupan Wafiq di Universiti. Ada ramai lagi akan menjadi mangsa, andai tiada yang mengambil langkah untuk mendalami cinta. Hanya yang buta, akan terkena.

Apa yang dilakukan oleh Wafiq, semuanya diatur oleh Badruddin.

Ini perancangan mereka.

Untuk menterbalikkan PERMAI.

Yang dirasakan palsu dalam membawa kebaikan.


                                            SAMBUNGAN KISAH CINTA PERTAMA



Asid meletakkan dagu di atas meja. Kuliahnya baru sahaja berakhir. Dia senyap sahaja. Di hadapan matanya, terbayang-bayang wajah Sara Nasuha.

Kenapa walaupun dia cuba menyisihkan, dia masih teringat kepada perempuan bernama Sara Nasuha?

Sebelum dia meluahkan kerisauannya kepada ahli rumahnya tadi, dia sebenarnya telah berusaha untuk menjauhkan hatinya dari perkara sebegini. Dia bangun malam, solat tahajjud dan bermunajat kepada Allah agar menjaga hatinya.

Betapa sebenarnya dia terkesan dengan pesanan-pesanan serta didikan Irfan kepadanya selama ini, berkenaan hidup untuk mendapat redha Allah SWT.

“Kita ni Asid, kalau muhasabah balik, datangnya kita daripada Allah SWT. Balik pun nanti nak pulang kepada Allah SWT. Jadi, adakah masuk akal kalau kita katakan kehidupan kita yang berada di antara kedatangan dan kepulangan itu, untuk bukan selain Allah SWT? Akhirnya, kalau kita lihat dengan teliti, hidup ini adalah untuk menggapai redha Allah SWT. Tiada matlamat lain”

Di situlah Irfan menyentuh jiwanya dengan membaca:

“Apakah kamu berfikir Kami menciptakan kamu dengan sia-sia? Sedangkan kamu kepada Kami tidak akan dikembalikan?” Surah Al-Mu’minun ayat 115.

Ketika itu, ayat itu hampir sahaja meluluhkan jantungnya. Bergetar hatinya kerana seakan tersedar dari lena yang panjang. Irfan memang lama bersahabat dengannya, dan berkongsi kefahaman Islam dengannya.

 Namun, bila dia berada di tengah kehidupan Islam, apabila dia mendapat peringatan, ternyata peringatan itu terasa lebih menusuk dan mendalam.

Jadi, apabila dia telah sedar bahawa kehidupannya ini hanya untuk mendapat redha Allah SWT, maka dia amat risau. Dia risau, cinta yang bermain-main dalam jiwanya kini adalah sesuatu yang menyebabkan dia terkeluar dari matlamat hendakkan redha Allah SWT itu.

Bagaimana?

“Weh,” Tubuhnya ditampar deras dari belakang. Pecah semua lamunan Asid.

“Sakit la Halim!” Asid cuba memegang belakangnya. Reaksi spontan walaupun tidak sakit. Baju yang dipakainya agak tebal kerana musim sejuk.

“Fikir apa? Peperiksaan ke?” Halim bertanya, kebetulan peperiksaan mereka semakin dekat.
Asid meletakkan dagunya semula.

“Peperiksaan akhirat” Lemah dia menjawab.

“Kenapa dia ni?” Halim memandang Dzulkarnain. Dzulkarnain hanya tersenyum, sambil mengangkat bahu.

“Angau dengan Israa’ kut” Halim mencekak pinggang.

Asid tiada reaksi.

“Ha, panjang umur. Baru sebut, dah datang” Halim bersuara lagi.

Asid tahu, bila Halim sebut begitu, pastinya Israa’ yang menghampiri. Dia bingkas bangun, mengemas beg dan menggesa Halim bersama Dzulkarnain untuk bergerak.

Israa’ tidak sempat menghampiri mereka. Hanya mampu memandang Asid, lelaki yang meragut hatinya pergi. Israa’ terasa ingin memanggil, tetapi suaranya tidak keluar.

Ketika di muka pintu Dewan Al-Farabi, Asid menoleh ke belakang, memandang sebentar Israa’.

“Maaf” Asid berbisik perlahan.

Israa’ bukannya tidak tahu yang Asid tidak mencintainya. Tetapi entah kenapa, dia amat mencintai Asid.

Israa’ tidak mahu berputus asa.

“Irfan, bagitahu la” Asid menepuk belakang Irfan yang sedang khusyuk menghadap lap top. Sempat Asid memandang apa yang ada di skrin Irfan.

Ceramah oleh pendakwah Amerika yang terkenal – Khalid Yasin. Orang kulit hitam yang suaranya penuh semangat dalam menyampaikan kebenaran. Kata-katanya pula menusuk jiwa. Orangnya pula sederhana.

“Fasal cinta?”

Asid mengangguk, segera duduk di katil Irfan. Irfan menghentikan durasi video Khalid Yasin.“Kau cinta pada siapa ni sebenarnya?” Irfan membuka soalan dengan pertanyaan yang ingin diketahuinya.

“Soalan itu dilarang wahai Ustaz Irfan” Asid menggerakkan jari telunjuknya.
Irfan ketawa kecil.

“Kau bercinta juga kan?” Asid pula bertanyakan soalan.

Irfan mengangguk. “Kau dah tahu kan?”

Asid pula mengangguk. Dia dan Irfan pernah berkongsi hal ini tahun lepas. Irfan yang ketika itu menyatakan bahawa dia mencintai seseorang. Namun, dia tidak melihat Irfan mempunyai masalah sepertinya kini. Irfan tidak pernah termenung panjang. Dia tidak tahu sama ada Irfan terbayang-bayang atau teringat-ingat kepada perempuan yang dicintainya. Tetapi dia yakin, Irfan selamat mengharungi alam percintaan ini.

“Sekarang bulan berapa?” Irfan bertanya.

“Bulan 11.” Asid memandang jam di tangan. “Apa kena mengena soalan aku dengan bulan?”

“Aku nak bagi Tahu, aku nak bertunang bulan satu ni”

“What?” Asid terkejut besar. Irfan tersenyum.

“Aku nak bertunang bulan satu ni” Irfan mengulang.

“Jahat, lambat betul kau bagitahu!”

“Dah yang perempuannya baru bagi jawapan bulan lepas”

“Bila kau masuk melamar ni? Aku tak nampak kau terhegeh-hegeh pun?”

“Siapa ajar cinta kena terhegeh-hegeh?”

“Jadi kau cinta sebelum kahwin?”

Irfan mengangguk.

“But no couple, no chit-chat, no facebooking, no calling, no sms, not a thing. Except, letters from my in laws” Irfan meleret senyum.

Mata Asid terbuka. Ya Allah… Hebatnya sahabat aku ni.

“Habis macam mana kau dekati dia?”

“Aku nak cakap pun susah. Tapi, kau percayakan Allah itu membolak balikkan hati?”

Asid mengangguk. Ya, dia beriman dengan yang itu.

“Maka Allahlah yang mendekatkan dia kepada aku, bukan aku yang mendekati dia”

Sekali lagi Asid rasa terpukul. Ini satu keimanan, keyakinan, dan kepercayaan kepada kekuasaan Allah.

“Aku dekati keluarga dia. Itu cara aku. Sekurang-kurangnya, kalau aku tak dapat dia, aku ada hubungan dengan keluarganya. Di situ dakwah berjalan juga. Tapi Allah izin, dia juga rupadanya ada hati pada aku. Jadi, mudahlah kerja. Aku pun rasa syukur sangat.”

“Berapa ramai Asid, dalam dunia ini yang bercinta, atas dasar keimanan-Nya kepada Allah?” Irfan menyoal.

Asid diam. Di dalam hati dia menjawab – MUNGKIN TAKDER LANGSUNG.

“Jadi tak boleh la bercinta? Aku tak faham la. Kau kata kau bercinta. Macam mana ni?”

“Aku kata ke tak boleh bercinta?”

Bilik itu senyap sebentar. Benar juga, Irfan tak cakap tak boleh.

“Cinta, siapa boleh kawal bila nak jatuh cinta? Kalau dah jatuh cinta tu, jatuh la juga. Kadang-kadang sebab terjumpa, ternampak, dengar cerita, begitu la peliknya cinta. Kenapa boleh jadi begini? Sebab cinta tu fitrah manusia. Manusia memang ada fitrah untuk mencinta dan dicintai. Tetapi…”

“Tetapi?” Asid mengangkat kening.

“Cinta tu kena la dibina atas dasar keimanan. Jangan cinta mengawal keimanan kita. Tetapi keimanan kita yang mengawal cinta”

Mata Asid membesar. Hatinya lagi tercucuk. Kenapa dia tidak nampak benda ni?

“Sebab itu aku kata, cinta itu diiringi pengorbanan. Bukan korbankan maruah, harta, masa untuk pasangan kita. Tetapi kita korbankan masa, harta, diri kita untuk tarbiyah diri, proses diri, agar kita bersedia membina keluarga yang Allah redha”

Irfan terus bercerita. Asid pendengar setia. Walaupun dia sering sahaja mendengar Irfan memberikan ceramah dan sebagainya, tetapi entah mengapa, bila hati terisi, berjam-jam pun tidak mengapa, beratus kali pun bosan menyapa.



Irfan menerangkan, betapa membina keluarga itu juga satu wasilah untuk menyampaikan dan menguatkan Islam. Keluarga dibina dari dua individu, kemudian membiak. Di sini perlu diperhatikan betapa pentingnya individu yang hendak memulakan keluarga itu, perlu memahami Islam dengan sebenar-benarnya. Individu itu akan membentuk satu keluarga yang menjadi sebahagian dari komuniti. Keluarganya secara tidak langsung akan menjadi duta Islam di tengah masyarakat nanti.

“Maka bagaimana agaknya kalau kita bina keluarga kita, dalam keadaan tidak bersedia, keimanan rapuh, kefahaman Islam tidak jelas?”

“Kita tidak akan mampu tarbiyah anak-anak kita?”

“Anak-anak dan isteri sekali Encik Asid. Dengan isteri sekali.”

“Isteri? Kita kena la cari isteri yang solehah”

“Betul, tetapi adakah isteri kita sesolehah Khadijah isteri Rasulullah SAW? Sehebat Aisyah RH? Setaat Fatimah RH? Setabah Asiah isteri Firaun? Seteguh Masyitah yang diterjunkan ke dalam api? Sesuci Maryam ibu Isa? Secekal Yukabid ibu Musa?”

“Semestinya tidak”

“Maka adalah penting kita mempersiapkan diri. Bina kefahaman. Bina ketahanan. Bina rasionaliti. Bina mentaliti. Bina disiplin. Bina hati. Semuanya untuk mentarbiyah keluarga kita nanti. Kita bukan masa nak kahwin sahaja hendak Islamik. Kita nak seluruh kehidupan kita selepas berkeluarga nanti Islamik. Berada dalam lingkungan keredhaan Allah SWT”

Asid terangguk-angguk.

“Dan kena ingat, jatuh cinta ni kadang-kadang, kita boleh jatuh cinta pada perempuan yang tak solehah dan teruk akhlaknya . Ada sahaja orang boleh tabah mencabut cintanya. Ada yang tak boleh. Macam mana kalau kita tergolong dalam kalangan yang tak boleh itu? Bukankah nak tak nak, kita kena persiapkan diri untuk mentarbiyah isteri kita, yang nantinya menjadi guru pertama kepada anak-anak?”

MasyaAllah… Asid beristighfar di dalam hati. Pandangan Irfan luas sekali. Luas dan jauh. Bukan sahaja membuka mata, tetapi membuka minda dan jiwa.

“Jadi, macam mana dengan aku sekarang?” Asid bertanya. Itu soalan yang paling penting buatnya.

“Kau sekarang sahabatku Asid yang kucintai sepenuh hati ini….” Irfan memandang mata Asid dalam-dalam.

“InsyaAllah, kau berada atas kebenaran. Jangan sisihkan cinta itu. Kawal cinta itu. Kau kata kau runsing sebab kau risau cinta itu akan membawa kau terkeluar dari redha Allah. Itu tandanya kau mempunyai satu sensitiviti yang tinggi. Cinta tidak salah Asid. Siapa mengharamkan cinta, dia sebenarnya mengharamkan fitrah manusia. Islam tidak turun untuk mengharamkan fitrah, Islam turun untuk mengajar manusia mengawalnya”

Asid terpana. MasyaAllah… indahnya Islam. Dan hikmahnya kata-kata Irfan.

“Kawal cinta itu Asid. Kalau betul cinta, cinta biar ke syurga. Maka apa persediaan kau untuk bawa keluarga kau ke syurga? Adakah dinamakan cinta kalau kita sekadar melemparkan pasangan kita ke neraka?” Irfan menumbuk lembut dada Asid. Asid rasa macam ada sesuatu yang hangat meresap ke dalam hatinya. Soalan Irfan seakan terus berulang-ulang di dalam jiwa.

Apa aku telah lakukan untuk bawa keluarga aku nanti ke syurga?

Asid memandang Irfan. Teringat dia betapa kebelakangan ini Irfan sangat-sangat rajin memasak, mengemas rumah, mencuci tandas, basuh pakaian sampai baju kawan-kawan pun dibasunya, dan segala kerja dilakukan dengan penuh teratur dan efisyen. Kalau sebelum ini Irfan memang kemas dan teratur, kebelakangan ini dia lebih lagi dari itu.

Akhirnya Asid faham.

Semuanya kerana Irfan sedang mempersiapkan diri untuk menjadi ketua kepada keluarga. Ketua kepada keluarga yang hendak membawa keluarganya menembusi syurga. Itulah dia pengorbanan yang dimaksudkan Irfan.

 Mengorbankan kepentingan diri untuk membawa keluarga menggapai redha Allah SWT.

Segera Asid mendakap Irfan. Irfan membalas dakapan Asid.

Tiada kata. Namun rasa terharu yang menghurungi dada.

Pesanan dari sahabat, yang terikat di dalam pesanan itu tali-tali keimanan.

Meresap terus ke dalam hati yang memang memerlukan pesanan.

Asid berazam memurnikan cintanya. Dia perlu kawal cintanya. Dia perlu bina cintanya atas keredhaan Allah SWT. Bukannya mencari keredhaan Allah SWT atas cintanya.

Dia ingin, dia dan Sara Nasuha boleh bersama hingga ke syurga, serta keluarganya boleh menjadi antara medan penyebaran Islam kepada manusia.

Thursday, June 16, 2011

Manisnya Sebuah Hidayah

(Sambil melayari internet, aku terjumpa satu kisah yang agak menarik dalam satu Islamik Blog untuk dikongsikan kepada pembaca blog aku ni...Kisah tentang sebuah hidayah..Terpulang kepada pembaca untuk membuat rumusan daripada keluruhan cerita yang ingin aku kongsikan di bawah ini, selamat membaca)




Sedikit latar belakang kisah sewaktu kecilnya. Dia merupakan seorang anak yang begitu tinggi sifat ingan tahunya dan seperti kanak-kanak yang secara amnya bersifat nakal. Dia dibesarkan dengan ketegasan oleh orang tuanya disamping didikan agama yang baik namun dari sudut pergaulannya, dia amat dikawal rapi oleh kedua orang tuanya sehinggakan dipetang hari tika kanak-kanak yang lainnya bersuka-ria, dia hanya sekadar bermain di halaman rumahnya atau di rumah jiran rapat kepada ibu ayahnya sahaja.

Dia pula dihantar ke sekolah yang terletak di bandar dengan alasan takut kalau-kalau Adam menjadi liar jika bercampur gaul dengan kanak-kanak di kampungnya. Begitulah warna-warni kehidupan Adam, dimana perkembangannya tidak begitu memberansangkan kerana masanya yang banyak dihabiskan di rumah bersama ibu, ayah, dan adiknya. Namun sebagai seorang anak, apa sahaja yang boleh dilakukan, melainkan mendiamkan diri dan mengikut rentak keluarganya. Dalam diam pemberontakan dalam diri yang sangat hebat berlaku.

Sifat ingin tahunya hanya banyak menimbulkan tanda tanya tanpa penjelasan dan dorongan keluarga, Adam lebih banyak belajar dengan caranya sendiri dari sumber-sumber seperti televisyen, movie termasuk video pornografi, observation terhadap keluarga serta kawan-kawannya dan lain-lain lagi, namun banyak ilmu negatif daripada positif, pengetahuan yang ada, kekal dalam dirinya. Kehidupannya seperti kata-kata dari Prince Charles, "I learned the way a monkey learns - by watching its parents."  Adam mempunyai lebih ramai kawan perempuan berbanding kawan lelaki kerana sikapnya yang mudah mesra dengan perempuan sewaktu dia dibangku sekolah, namun dia bukanlah dalam kategori lelaki yang lembut.


Apabila tamat zaman persekolahannya, Adam melanjutkan pelajarannya ke sebuah institusi pengajian awam di Kuala Lumpur. Dimana Adam jauh dari keluarga dan perlu berdikari dengan berbekalankan pengetahuan yang ada bagi meniti kehidupan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa. Ilmu agama yang dia miliki agak baik tetapi tidak begitu mantap untuk pedoman hidupnya. Pelbagai perkara yang menjadi tanda tanya dalam dirinya selama ini, yang dari pelbagai sudut tentang sesuatu perkara, cuba dicari dan dikupas satu persatu.

Karakter yang sudah sebati dalam diri, yang mudah mesra dengan perempuan digunakan sebaik mungkin kerana dia merasakan ada 'kemanisan' yang tersendiri dalam diri, mahluk yang bergelar perempuan. Ditakdirkan Adam bertemu dengan seorang perempuan dikenali sebagai Hairunnisa seorang anak tokoh korporat yang bergelar Dato' tetapi  bebas pergaulannya.


Adam merasa simpati dengan akhlak Hairunissa dan bercita-cita untuk merubahnya, kerana Adam percaya, bukan atas kemahuan Hairunissa untuk bersifat sedemikian rupa. Pasti keadaan sekeliling, cara didikan keluarga dan pengaruh kawan yang menyebabkan Hairunnissa berperwatakan begitu di tambah dengan kurangnya kasih sayang dari keluarganya.

Dengan pengetahuan agama yang ada, Adam cuba membimbing Hairunissa kepada kebaikan, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Adam semakin mendalami kehidupan Hairunnisa yang penuh dengan kegelapan dan mereka semakin rapat bagaikan pasangan suami isteri, sehingga mereka mengisytiharkan kepada rakan-rakan tentang percintaan mereka berdua.




Kini cita-cita Adam yang dulunya panas membara bertukar menjadi seperti debu di jalanan, kerana hanyut dibawa arus kemaksiatan. Dia merasakan percintaan bersama Hairunissa adalah rahmat dari Allah kerana Hairunnisa dapat membantu dari segi kewangan, disamping kebahagian hidup bersama teman hidupnya itu. Perkara ini diketahui oleh kedua orang tua Hairunissa, dan percintaan mereka dihalang keras oleh keluarganya. Namun Hairunissa bermati-matian mempertahankan percintaan mereka sehingga sanggup bersikap biadap kepada kedua orang tuanya.

Disamping cerita Hairunnisa, Adam juga ingin merubah sikap atau cara hidupnya yang mudah mesra dengan perempuan itu dengan memperbanyakan kawan-kawan lelaki, dan ingin hidup seperti remaja-remaja kebanyakan, kononnya seperti lelaki 'macho', 'stylo' dan 'gangster.' Dan dia berjaya dalam membina hubungan dengan remaja-remaja kampung dan ditempat belajarnya sendiri, yang datang dari pelbagai latar belakang. Dari hari ke hari, pendirian dan sikap Adam bertambah teruk.



Dia sudah mula terjebak dengan zina, pergaulan bebas, berhibur di kelab malam, rempit, curi motor, rokok dan banyak lagi yang dicubanya. Namun kadang-kadang, jauh disudut hatinya berkata-kata "Kenapa kehidupan aku begini? Seronok, tetapi aku tidak pernah merasa tenang... Masalah pula bertambah-tambah... Bagaimana ibu ayah? Bagaimana Hairunnisa bila aku berjauhan dengan dia? Dengan lelaki lain mungkin? Bagaimana agama?" Dan terus soalan-soalan ini dia terfikirkan setiap kali dia membuat maksiat ataupun dia keseorangan.

Dalam masa yang sama dia terus mencari jawapan dan penyelesaian masalahnya disamping maksiat-maksiat yang dia masih lakukan. Kadang-kadang dia mendekati orang-orang tua di kawasan belajarnya, atau pesyarah-pensyarah demi mencari nasihat atau solusi. Semua yang didengarinya disimpan baik dalam kotak memorinya. Kadang-kadang ke masjid atau surau mencari sesuatu, kalau-kalau di sana ada ketenangan. Kadang-kadang sejadah menjadi saksi tangisannya dalam dia mencari makna kehidupan.

Dia masih belum mengerti yang dimaksudkan dengan hidayah dari Allah swt, Al-Quran yang punya pelbagai khabar gembira dan peringatan masih belum menjadi peneman sejati. Kadang-kadang kedengaran bacaan dari surah-surah Al-Quran yang dibaca merdu oleh Adam. Namun maknanya tidak diambil tahu. Adam dalam keluh kesah dan keliru, terumbang-ambing dihempas ombak kehidupan, disamping bisikan-bisikan syaitan yang tidak mengenal erti berputus asa demi meramaikan teman untuk menemaninya dineraka kelak. Adam bagai tiada kekuatan untuk membuat perubahan dalam dirinya sendiri, dan dia terus mengikut arus kehidupan yang penuh 'kebahagian' didalamnya.

Masa berlalu begitu pantas, Adam berasa senang hati apabila dapat menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah dengan baik. Perhubungan cinta bersama Hairunnisa terputus ditengah jalan tanpa sebab walaupun mereka telah hidup bagaikan suami isteri. Adam sudah berputus asa dengan sikap Hairunissa dan tidak sanggup lagi memimpin Hairunnissa yang sememangnya seperti tidak boleh diubah lagi sikapnya. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan kepada Illahi demi kebahagian Hairunissa bekas kekasihnya.

Adam akhirnya berjaya mendapat pekerjaan sebagai Eksekutif di sebuah agensi terkenal di ibu kota dengan gaji yang lumayan.  Adam yang kini tiada teman kekasih merasakan dirinya sunyi, dan seperti biasa Adam dengan sikap peramahnya mencari dan membuat hubungan dengan kenalan baru bagi mewarnai kehidupannya di tempat kerja barunya.

Adam menyibukkan diri, menyertai pelbagai kelab di tempat kerjanya  dengan niat mencari kenalan baru. Tiada masalah buat Adam dalam usaha ini, memandangkan dia seorang yang  peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Kerana sibukkan keseronokan, kehidupan Adam menjadi kelam-kabut dan punah, tetapi sedikit rasa terkilan pun tidak dirasainya kerana dikaburi keseronokan yang terlampau. Tiada rasa bersalah dengan ibu ayah lagi, silih berganti perempuan, tiada lagi rasa malu dalam diri, dan tetap dengan perangai buruk yang ada. Dia terus menyalahi Hairunnisa yang kononnya, perempuan itu menjadi sebab perangainya buruk.

Adam sudah berputus asa dengan rahmat Allah serta menyalahi Allah yang membiarkan kehidupannya sebegitu rupa.  Masa terus berlalu pergi, namun Adam tetap sebegitu rupa yang terus hanyut dengan dunia kemaksiatan  tanpa menghiraukan nasihat daripada teman-temannya sewaktu belajar di universiti dahulu. Adam kini menjadi pembela kemaksiatan atas kesan-kesan dosa yang menyebabkan hatinya keras dan hitam.




Ditakdirkan Adam berkenalan dengan seorang perempuan yang dikenali sebagai Rina. Rina adalah seorang wanita yang lembut perwatakannya tetapi Rina juga adalah seorang wanita yang tidak bermoral dan mempunyai akhlak yang agak buruk. Rina bekerja sebagai pelayan kelab malam yang kehidupannya sentiasa bergelumbang dengan kemaksiatan dan kemungkaran di samping Rina juga seorang kaki minum arak yang tegar. Tetapi itu tidak menjadi masalah bagi Adam kerana hatinya sudah terpikat dengan kelembutan dan kemanjaan Rina yang sememangnya pandai  memikat lelaki.

Adam menjadi seorang pengunjung setia kelab malam  ditempat Rina bekerja. Waktu itulah Adam merasakan Rina adalah segala-galanya dalam hidupnya dan Adam sanggup berkorban apa sahaja untuk Rina. Wang ringgit, masa, tenaga dan segala-galanyalah untuk Rina




Kehidupan Adam semakin jauh bersama Rina. Mereka merasakan mereka telah mengecapi kebahagiaan hidup yang sempurna tetapi hakikatnya mereka lupa bahawa kehidupan bahagia yang mereka harungi itu  adalah satu tipu daya dari Iblis dan Syaitan yang telah berjaya untuk menjadikan Adam dan Rina sebagai pengikutnya di Neraka Jahanam pada hari akhirat nanti. 

Adam amat yakin yang Rina juga amat menyintainya kerana Rina sanggup berkongsi segala-galanya kisah dukanya pada Adam tetapi Adam lupa dan tertipu kerana itu hanya lakonan Rina yang sememangnya menjadikan air matanya  untuk memastikan setiap lelaki yang mendampinginya akan rebah dan tunduk di kakinya. Adam telah berkorban segala-segalanya untuk hidup Rina sehinggakan wang simpanannya hampir kehabisan kerana mereka selalu berseronak di kelab-kelab malam.

Prestasi kerja Adam menurun dan beberapa kali juga dia telah dipanggil untuk mengadap Bosnya. Akhir sekali Adam diberi amaran terakhir untuk memastikan prestasi kerjanya dapat ditingkapkan kembali kalau dia ingin terus bekerja di situ . Suatu malam sewaktu ingin mengambil Rina pulang dari tempat kerjanya, bagaikan satu halilintar yang kuat menembusi dadanya apabila melihat Rina bercumbuan dengan lelaki bukan Islam dalam keadaan mabuk dan perlakuan yang tidak tergamak untuk dilafazkan oleh Adam.

Airmata Adam jatuh bercucuran ibarat titisan embun jernih yang menitis di waktu subuh yang hening.  Betul kah apa yang berlaku di depan matanya ini. Adam dengan Rina bergaduh besar malam tu. Akhir sekali Rina membuat pengakuan bahawa dia tidak mencinta Adam.  Selama ini dia hanya ingin menggunakan Adam untuk kesenangan hidupnya.

Adam tidak dapat menerima kenyataan Rina dan menganggap Rina berkata begitu hanya untuk menyakitkan hatinya dan mungkin Rina dalam keadaan mabuk dan Adam membiarkan Rina tertidur di rumahnya.

"Mohd Adam Idrus!!!!!!!!!!!!!!!!!...berapa kali saya cakap pada kamu, ubah gaya hidup kamu kerana gaya hidup kamu yang teruk itu turut  menjejaskan prestasi kerja kamu. Secara tak langsung juga keuntungan syarikat terjejas". Bagaikan guruh di langit suara Dato' Sri Danial yang menengking Adam dalam biliknya. Dato Sri Danial adalah CEO tempat Adam bekerja.

"Maafkan saya Dato' Seri, saya janji akan cuba untuk perbaiki prestasi kerja saya". Adam tunduk memandang lantai. Hanya ungkapan itu yang mampu dilafazkan olehnya.

"Saya tidak boleh berbuat apa-apa Adam, kamu dipecat. Ahli lembaga Pengarah juga telah membuat keputusan untuk memecat kamu. Ini suratnya".

Adam tersungkur keseorangan, menjerit, menangis, menahan kepedihan dan keperitan yang sedang ditanggungnya itu. Bagaikan semesta alam gelap gelita. Adam tak tahu arah yang harus dia tuju sekarang. Rina telah membuat kata putus untuk memutuskan hubungannya dengan Adam. Terkontang Kanting Adam menghadapi ini semua keseorangan.

Di saat Adam terdampar tanpa hala tuju, tuhan telah menemukan Adam dengan Siti Khadijah. Pertemuan dan perkenalan yang tidak dirancang itu telah membibikkan kemesraan yang dibataskan syariat agama. Adam cuba bangkit dari rebahnya itu dengan sokongan Siti Khadijah kepadanya. Siti Khadijah banyak memberi kata-kata semangat kepada Adam agar tidak mudah berputus asa dalam kehidupan kerana setiap apa yang berlaku adalah ujian dan dugaan dari Allah untuk menyedarkan kita atas kesilapan yang lampau.

Kata putus dari perbincangan mereka berdua ialah supaya Adam memohon pekerjaan di agensi kerajaan dan alhamdulilah Adam telah berjaya mendapat tawaran untuk bekerjas sebagai penolong pegawai di sebuah agensi kerajaan. Walaupun gaji ditempat baru ini terlalu kecil tapi Adam bersyukur kerana tuhan telah memberinya peluangnya untuk kali kedua. Kegembiraan jelas terpancar di wajah Adam.

Walaupun kisah Adam kali ini penuh kepahitan, dugaan, dan pengorbanan, namun akhlaknya masih belum menampakkan perubahan. Perhubungannya dengan Sang Maha Pencipta masih tidak terjaga, walaupun kadang-kadang terdetik dihatinya, "macam mana nak jadi baik? Haihs..".


 Adam berusaha mencari mana-mana tempat yang menganjurkan kursus motivasi diri.

Seorang kawannya mencadangkan supaya Adam pergi ke satu kursus yang pernah kawannya itu hadiri, dan satu impak positive yang besar berlaku pada diri kawannya kini. Tanpa berfikir panjang dan dipersetujui Siti Khadijah, Adam turut menghadiri kursus itu dengan hasrat supaya kursus yang akan dihadirinya dapat memberikan impak yang besar dalam dirinya.



Dengan keizinan Allah, suatu yang seperti ajaib terjadi dalam dirinya, seperti seorang yang meraba-raba dalam kegelapan, berjaya melepaskan diri kepada cahaya dengan bantuan sesuatu. Kini Adam memperakui dosa-dosanya dan dia bertaubat dihadapan Allah, memohon keampunan, berjujuran air mata, menggigil dia kerana takut akan dosa-dosanya, sehinggakan Adam begitu takut untuk keluar dari rumahnya menghadapi realiti kehidupan yang penuh dusta. Allah berfirman

"Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah An-Nur:35)

Kini Adam yang bagai punya dua personaliti, baik dan jahat dalam dirinya saling bercekaran merebut tahta pemerintahan dalam diri Adam. Dengan semangat baru yang berkobar-kobar, dia merangkul segala ilmu agama yang dipelajarinya dibangku sekolah dahulu, menukil kembali nasihat-nasihat yang pernah didengarinya dahulu. Al-Quran yang dulunya sekadar perhiasan kini menjadi teman, semuanya dikumpul dan diletakkan dihadapannya sebagai panduan kehidupan dalam setiap pekara. Allah swt dirasakan dekat, mencintai dan merindui Rasul saw dan Allah swt.

Rutin sehariannya kini mencari keburukan diri, dan perlahan mencari solusi kepada setiap permasalahan dirinya. Prasangka buruk dalam diri hilang, sikap membanding-bandingkan terkubur, riak dan banyak sikap negatifnya yang secara drastik berubah dan hilang dalam diri Adam. Dia kini sangat dahagakan ilmu demi mempertingkatkan akhlak diri dan memperbaiki kehidupan sebagai seorang  yang mempunyai kerjaya serta bakal menjadi pemimpin rumah tangga satu hari kelak.

Di tempat kerja  barunya, dia menunjukkan kejayaan dalam pekerjaannya sehingga dia mendapat anugerah khidmat cemerlang . Tetapi ditakdir Tuhan Siti Khadijah bukan jodohnya apabila suatu petang yang tenang, Adam menerima Kad Undangan Perkahwinan dari Siti Khadijah. "Terima Kasih Siti Khadijah". hati Adam berdetik dalam senyuman memandang kad undangan itu

Adam sudah banyak berubah ke arah keIslaman. Keseronokan maksiat yang lalu telah ditinggalkannya sedikit demi sedikit. Adam cuma mencari Rina kembali dan amat berharap Rina juga telah meninggalkan kerja haramnya itu dan ingin berhijrah ke jalan agama.


Niat Adam sekadar ingin menjaga silaturrahim antara dia dan Rina, kerana Adam benar-benar mencintai Rina dan bercadang untuk memperisterikan Rina sekiranya Rina bersedia, disamping ingin menghormati diri Rina sebagai makhluk ciptaan Allah yang cantik dan bersifat lemah.

Mungkin juga Adam terlalu keras dalam membimbing Rina tetapi Rina tetap menolak niat ikhlas Adam itu dan Rina  tidak akan dapat menerima lagi Adam dalam hidupnya. Adam semakin hilang dari hati Rina. Adam hanya tersenyum dan ini semua mungkin  Allah ingin menguji kebenaran cinta Adam kepada Allah swt dan Rasul saw.

Namun perkara ini dilalui tenang oleh Adam, kerana dia kini seorang yang percaya pada ketetapan baik dan buruk oleh penciptanya. Dan dia memaafkan Rina dan amat bersyukur diizinkan Allah berkenalan dengan manusia yang bernama Rina. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan demi kebahagiaan Rina untuk dunia dan akhirat.



Adam kini terus dengan perjuangannya, dia perlu meletakkan fokus pada kerjayanya. Disamping memperkuatkan ilmu agama, mempelajari hadis, perbaiki bacaan Al-Quran sambil meningkatkan keimanannya kepada Allah dan Rasul.

Dia menjadi seorang yang amat risaukan tentang bagaimana dan cara apa yang perlu dilakukannya bagi menjadikan impian Rasul saw sebagai satu kenyataan sehingga bayi yang terakhir lahir ke dunia pun dapat masuk ke syurga Allah swt.

Kehidupannya kini kelihatan bahagia, bagaikan tiada masalah, walaupun berseorangan. Mungkin kerana keyakinannya terhadap bantuan dari Sang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Moga kita sama-sama dapat doakan kesejahteraan Adam. Semoga Adam dapat beristiqamah dan bermujahadah dalam usaha memperbaiki diri dan berdakwah menyebarkan agama Allah. Allah bersumpah demi jiwa dan seluruh penyempurnaan-Nya. Setelah itu Dia mengilhamkan sukma kefasikan dan ketakwaan kepada manusia. Maka beruntunglah siapa yang mensucikan hatinya dan rugilah bagi mereka yang mengotorinya.