Rumah

Thursday, June 30, 2011

Istidraj - Pemberian Allah kepada Ahlul Maksiat


ISTIDRAJ

Apakah istidraj itu? Patutkah atau tidak kita jauhi istidraj? Inilah yang akan saya ulas dalam risalah ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada anak-anak dan generasi muda kita agar tidak terkeliru dengan risalah ini.

Pemikiran kebanyakan umat Islam di zaman moden ini nampaknya jelas kelihatan kian jauh menyimpang dari pemikiran seseorang Islam di zaman silam. Pemikiran manusia di zaman serba maju ini telah dihanyutkan oleh arus keadaan dan diselaputi oleh kebendaan.

Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini berbeza dengan masyarakat dahulu. Bagaimana masyarakat pada hari ini? Mereka telah terpengaruh dengan apa yang ada; dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak memandang jauh sepertimana orang-orang dahulu. Padahal orang dahulu tidak belajar tinggi sehingga ke universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD dan macam-macam, tapi bodoh.

Manusia tersebut telah tertipu dengan kekuasaan, pangkat, kebesaran dan kekayaan yang diperolehi. Lantas mereka tidak faham lagi dengan nikmat Allah. Jika dia berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk menindas orang-orang bawahannya kerana dia tidak tahu menggunakan nikmat kekuasaan yang ada padanya. Dia tidak faham tentang nikmat dan rahmat Allah S.W.T.




Kuasa Dan Kekayaan Untuk Maksiat


Kalau dia ada kebesaran, dia menzalimi orang dibawahnya. Kekayaan yang ada padanya digunakan bukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk berbuat maksiat kepada Allah S.W.T.


Manusia golongan ini telah terkeliru dengan fahaman mereka sendiri. Mereka tidak faham dan tidak dapat membezakan nikmat pemberian Allah kepada hambaNya yang setia dengan hambaNya yang derhaka.


Saya pernah ditanya oleh seorang mahasiswa, “Ustaz, betulkah atau tidak, saya dengar ustaz bersyarah, ulama’-ulama’ kalau bersyarah menyatakan bahawa barangsiapa yang mahu mendapatkan kebahagian di dunia dan di akhirat hendaklah mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W. dan berpegang teguh kepada agama Islam. Betulkah ustaz?”

Saya jawab, “betul.”

“Minta maaf ustaz, saya tidak percaya. Sebab, apa yang saya lihat realitinya tidak begitu. Orang-orang yang mengikut jejak langkah Rasulullah inilah yang teruk.”



Dia kemudian menyebutkan beberapa contoh, “Mak dan ayah saya, bukansahaja sembahyang sehari semalam lima waktu, tapi tengah malampun bangun sembahyang tahajjud. Rumah kami roboh juga. Puasa bukan sahaja puasa Ramadhan, Isnin mereka puasa, Khamispun mereka berpuasa. Tapi kami makan sebulan sekali dagingpun susah. Ayah saya, orang belum azan sudah pergi ke masjid. Begitu azab mak dan ayah saya yang berpegang teguh kepada agama.”



“Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya), tak pernah sembahyang seumur hidupnya. Rumahnya rumah batu. Puasapun tidak pernah. Kalau kita tanya, pakcik tak ingat mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati, katanya. Kalau masuk nerakapun ramai juga orang lain yang masuk. Dia hidup kaya, hidup mewah, kita yang sembahyang ni, hidup susah.”Sebenarnya, hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada makhluk-makhlukNya.


Pemberian nikmat Allah kepada hambaNya yang setia (yang dikasihiNya) ialah pemberian yang diredhaiNya, tetapi pemberian nikmat Allah kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah pemberian yang tidak diredhaiNya. Inilah yang dinamakan ISTIDRAJ.


Pemberian yang redha ini seperti pemberian ayah kepada anaknya. Ketika si ayah hendak sembahyang, tiba-tiba lalu si penjual aiskrim. Si anak merengek minta dibelikan. Si ayahpun membelikannya kerana tidak mahu anaknya mengacau dia sembahyang. Dengan senyum mesra diberikannya aiskrim itu dengan layanan yang baik. “Makan baik baik nak, jangan bising-bising, ayah nak sembahyang.”


Kemudian, baru saja nak sembahyang, si anak menjerit-jerit minta tambah aiskrim lagi. Si ayah naik darah. Dengan perasaan marah, dibelikan juga aiskrim tersebut kerana takut sembahyangnya tidak khusyuk. Tetapi pemberiannya pada kali ini tidak disertai dengan kemesraan. Pemberian inilah yang dikatakan sebagai pemberian yang tidak redha.


Begitu juga Allah S.W.T. dengan kita. Kadang-kadang manusia mendapat nikmat yang diredhai Allah dan kadang-kadang tidak. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud,


“Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diIstidrajkan oleh Allah S.W.T.” (Riwayat At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)


Akan tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan pemikirannya berpendapat bahawa dengan nikmat yang datang mencurah daripada Allah S.W.T. kepadanya itu walaupun dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa Allah kasih dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.





Manusia Istidraj – Manusia Yang Lupa Daratan


Walaupun dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah menyayanginya. Manusia seperti ini kadang-kadang memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal dan ke masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid itu hanya berselipar jepun atau berterompah kayu, sedangkan dia naik kereta jenis mewah.


“Alah, siang malam ke masjid, kesurau, tapi basikal burukpun tak ada. Tengok aku. Aku nak ke kelab malam dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah sembahyang, tapi Allah sayangkan aku. Kalau awak sikit ibadat, tentu awak juga akan kaya macam aku.” Katanya sombong.


Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya sendiri. Dia melakukan maksiat pagi petang. Siang malam, dia sangka Allah sayangkannya.


Maka mereka yang berpendapar sedemikian, baik mereka yang mengaku muslim, lebih-lebih lagi yang kepada orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah mereka menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta kekayaan, kebesaran, pangkat dan kuasa mereka untuk melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat (derhaka) kepada Allah yang berpanjangan.


Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak diredhaiNya itu mereka akan lalai dari mengingati Allah. Akhirnya mereka akan menemui kehancuran dan kemusnahan.


Kadang-kadang Allah S.W.T. memberikan manusia nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud,


“Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya.” (Daripada kitab Nasa’ibul ‘Ibad)


Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah dirinya. Dia akan duduk diam di bawah daun atau merayap di celah-celah batu. Jika Allah hendak membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau sudah bersayap namanya akan berubah menjadi kelkatu. Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu, bila dapat nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, dia cuba hendak melawan Allah.





Pemimpin-pemimpin Yang Dilaknati Allah


Buktinya telah banyak kita lihat dan kita dengar. Berapa banyak pemimpin-peminpin yang dahulunya gagah dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak kurang juga jumlahnya kerajaan yang besar lagi utuh telahpun hancur dan musnah.


Firaun yang gagah mengaku Tuhan, Namrud yang sombong membakar Nabi Allah Ibrahim, Qarun yang kaya, Tha’labah yang bakhil dan banyak lagi..semuanya telah musnah kesombongan dan keangkuhan mereka!


Nikmat Allah yng diberikan kepada Firaun tidak terkita banyaknya. Bersinpun tidak pernah. Jangan kita ingat kita sihat Allah sayang kita. Firaun lagi sihat, tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah binasakannya. Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga mati mati hingga dia merasa besar diri, sombong dan takabbur. Akhirnya dia mengaku dirinya Tuhan.


Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar Nabi Ibrahim. Berapa besar pangkat Namrud? Bagaimana dia menemui ajalnya? Kematiannya hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang masuk ke lubang hidungnya!


Tidak ada seorangpun manusia pada hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya saja 40 ekor unta membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak timbul-timbul. Harta Qarun itulah yang kita cari cari sehingga lupa sembahyang! Kalau kita kaya, kita sangka Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah jahanamkan harta kekayaannya dengan dirinya sekali.

 
Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang? Tanyalah pada tanah! Tanah yang mereka pijak semasa mereka diistidrajkan oleh Allah yang akan memberikan jawapan.


Kita baru naik kereta sudah sombong. Rasulullah S.A.W. naik ke langitpun tidak sombong. Kita kalau berjumpa dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa bangga. Kalau menteri senyum kepadanya dia meresa bangga. Rasulullah S.A.W. berjumpa dengan Allah S.W.T. di langit, tetapi baginda tidakpun sombong.


Kejadian seperti ini akan terus berlaku sepanjang zaman. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,


Sunnah Allah tidak pernah berubah atau bertukar.”


Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala persoalan yang tidak terjawab dan yang menjadi keraguan selama ini yang sentiasa mengganggu fikiran kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa orang-orang yang sentiasa membuat maksiat hidup mewah? Tidakkah kita hairan mengapa orang-orang yang selalu ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab malam naik kereta mewah?


Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah


Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan bagaimana serta ke mana digunakannya?


Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus mensyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai Allah.


Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila bersedekah. Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. “Ini sedekah saya. Maaflah, hanya 50 sen.” Katanya.


Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang RM500.00 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada dalam sakunya adalah wang istidraj.


Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang menjual tiket “pertunjukan amal”. Belumpun sempat gadis itu menawarkannya, dia pula yang memanggilnya terlebih dahulu. Diapun membeli tiket untuk pertunjukan amal itu.


Pertunjukan amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita. Kita sering tertipu dengan label “amal” ini.
Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang riuh rendah dengan muzik dan memberi pengumuman. “Tuah tuan, silalah datang ke taman hiburan, kita akan mengadakan pertunjukan amal.” Ada ibu bapa yang terpengaruh lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal pertunjukan amal, dia ingat dapat pahala.

Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga dengan orang yang bersyarah. Kita mesti tengok betul gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke mana pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab kadang-kadang banyak kekeliruan dalam syarahan-syarahan.

Ada pensyarah yang berkata, “Kita sekarang hendaklah sesuaikan Islam dengan zaman.” Nampak jelas di sini otak kita hendak dikelirukannya. Hendaklah kita sedar, Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan zaman, tetapi zaman itulah yang mesti disesuaikan dengan Islam.

Kalaulah Islam hendak disesuaikan dengan zaman, maka zaman orang bertelanjang Islam sesuai dengan orang yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti sesuai dengan perompak. Tidak boleh islam disesuaikan dengan zaman. Islam tidak boleh tunduk kepada zaman, tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam.

Tidak beberapa lamu dahulu, saya berjumpa dengan seorang ulama’. Ditanya tentang loteri, dia kata haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu orang, macam loteri kebajikan? “Halal.” Katanya.

Loteri haram, dibalut dengan label kebajikan jadi halal. Inilah cakap-cakap yang mengelirukan kita. Kiranya di samping seseorang yang menerima segala nikmat Allah, maka bertambah pula maksiat dan derhakanya kepada Allah, maka jelaslah segala kemudahan dan kemewahan yang diperolehinya itu adalah istidraj, iaitu pemberian nikmat yang tidak diredhai Allah S.W.T.

Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke masjid dengan kereta besar kita katakana istidraj. Orang naik pangkat istidraj, orang-orang besar istidraj. Jangan! Orang-orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan, untukmengabdikan dirinya kepada Allah, itu bukan istidraj namanya.

Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah di sisi Islam, tetapi masuk ke syurga agak lambat sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak masuk ke Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan diperiksa oleh kastam. Makin banyak barangnya, makin lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk ke Johor. Orang yang tidak membawa barang akan lepas dengan mudah memasuki Johor.

Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di dunia ini. Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W. sentiasa merintih di hati sanubari sambil berkata,

RedhaMu yang selalu kami rindukan, Dan marahMu yang sangat kami takuti, Tuhan … Lebih baik kami hidup miskin, asal dalam redhaMu, kami tak ingin kepada kekayaan … … di dalam marahMu.

Inilah sajak yang penuh makna. Apakah maknanya? Hidup kita di dunia mesti ada terget, mesti ada pedoman. Jangan hidup kita seperti kumbang di tengah kolam, ditiup angin ke tepi ia ke tepi, ditiup ke tengah ia ke tengah. Tidak ada pegangan langsung.

Kita kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada terget atau matlamat atau tujuan. Tujuan hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah S.W.T., baru kita selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!

Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada kesempatan untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil. Kalau tidak lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi miskin, tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah, maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah, katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu.

Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia dan di akhirat. Wallahu A’lam.


(Ustaz Yazid Jaafar,Halaqah.net)

Kehinaan Sang Pelaku Maksiat




MENGAPAKAH al-Quran banyak menyebutkan tentang kisah-kisah pelbagai kaum yang berakhir dengan kehancuran? Ia adalah supaya manusia sentiasa beringat bahawa segala bentuk kejahatan itu adalah warisan kehancuran yang mesti ditinggalkan. Jenayah homoseksual adalah peninggalan kaum Nabi Lut, kesombongan dan kezaliman adalah budaya Firaun, manakala gaya hidup bermegah-megah dan melampau telah dipelopori oleh kaum Nabi Hud. Penolakan terhadap seruan iman pula telah berlaku semenjak diutuskan Nabi Adam AS seterusnya berlanjutan hingga kerasulan Muhammad SAW.

Orang yang berasa dirinya suci kadang-kadang memandang orang lain dengan pandangan hina. Mereka sepatutnya memahami hakikat bahawa tiada seorang pun di atas muka bumi ini yang terlindung daripada kejahatan dirinya sendiri melainkan Nabi dan Rasul-Nya. Kerana aura kejahatan itu merebak di setiap sudut dan ruang dalam kehidupan sehari-hari. Hanya orang beriman saja yang boleh selamat, iaitu mereka yang memiliki sikap sentiasa berjaga-jaga dan waspada terhadap amal perbuatannya yang mudah dicemari oleh unsur-unsur kejahatan.


Sepertimana sikap Umar bin al-Khattab RA yang amat berhati-hati dengan gangguan kejahatan pada dirinya sendiri. Beliau bertanya kepada seorang sahabat: “Apakah yang dimaksudkan dengan takwa?” Sahabat menjawab: “Pernahkah kamu melewati satu jalan yang dipenuhi duri-duri yang tajam? Pasti kamu akan berhati-hati melaluinya supaya tidak terpijak duri-duri itu. Begitulah keadaan orang yang bertakwa, dia sentiasa beringat dan menjaga dirinya daripada kejahatan dan maksiat yang boleh membahayakan iman.”

Kebaikan dan kejahatan memberi kesan dan pengaruh pada setiap pergerakan manusia. Abdullah bin Abbas pernah berkata: “Kebaikan memiliki cahaya pada wajah dan hati, melapangkan rezeki, menguatkan badan dan disukai setiap makhluk Allah SWT. Sedangkan kejahatan mengakibatkan kegelapan pada wajah dan hati, lemahnya badan, sempitnya rezeki dan kebencian di hati setiap makhluk.” Kebaikan dan kejahatan ini akan hidup sepanjang hayat manusia dan terkubur bersama jasadnya ketika mati.

Begitulah hakikat diri kita dicipta hanya untuk bertarung melawan kejahatan dan bersabar melakukan kebaikan. Segala sesuatu yang kita lakukan tidak pernah terlepas dari dua kutub yang saling tarik menarik; kejahatan dan kebaikan. Kedua-duanya memberi kesan terhadap perasaan, pemikiran dan pergerakan kita setiap hari. Apakah kesan maksiat yang dapat dirasa dalam hati dan peribadi? Kita memerlukan kejujuran untuk menjawabnya. Benarkah kata-kata Ibnu Abbas di atas?




Kegelapan di dalam hati
Hati yang suram angkara maksiat tidak mampu menangkap cahaya kebaikan. Apabila maksiat itu telah menjadi darah daging, akibatnya tidak terdetik pun rasa takut melakukan maksiat itu. Hatinya hilang rasa, tidak sensitif dan ragu-ragu lagi melakukan maksiat. Yang paling teruk apabila dia menganggap maksiat itu adalah kebaikan. Atau menilainya sebagai perbuatan yang dimaafkan kerana rahmat Allah Taala. Buta hati!

Begitulah keadaan orang yang akhirnya menganggap kejahatan sebagai suatu kebaikan sepertimana dalam firman Allah yang bermaksud: ”Katakanlah: Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?” Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan di dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.” – (Surah al-Kahfi: Ayat 103-104)

Tetapi seorang hamba Allah yang beriman amat sensitif hatinya terhadap dosa seakan-akan melihat dosa yang ringan ibarat gunung yang akan menghempapnya. Alangkah dahsyatnya kesan melakukan maksiat, tak kira yang ringan dan kecil sekalipun. Kerana dosa besar itu bermula dari melakukan yang kecil. Zina bermula dari pandangan mata dan senyuman, kemudian berkenalan yang melahirkan rindu dan mahu sentiasa bersama. Bermula menyentuh kulit tanpa sengaja akhirnya ingin memegang dan bersatu jiwa dan raga.

Begitu pula penipu kelas jerung sememangnya telah terbiasa melakukan penipuan kelas bilis, sedikit demi sedikit hingga tidak terasa bahangnya dosa dan maksiat yang telah sebati dalam jiwanya. Betapa pentingnya kita menjaga perkara-perkara yang kecil kerana ia boleh membesar secara senyap. Dosa besar bermula dari melakukan dosa kecil. Semua ini menyumbang kepada kegelapan di hati. Bagaimana mungkin rahmat Allah SWT jatuh di hati yang gelap, kotor dan busuk. Melainkan dengan ketentuan-Nya siapapun boleh diselamatkan jika Allah Taala berkehendak.

 
Kegelapan di wajah
Pelaku maksiat sentiasa diikuti bayang-bayang dosa dan rasa bersalah. Hatinya tidak tenang, wajahnya pula menyimpan kesusahan dan kegelisahan. Walaupun di hadapan orang ramai semua itu boleh disembunyikan tetapi dia akan sampai pada tahap tidak boleh menyembunyikan aibnya lagi. Ketika itu Allah Taala telah menyingkap hijab dirinya dan terbukalah segala cacat cela di hadapan manusia. Jika pandangan orang telah menghina dan memburukkan diri kita akibat perbuatan kita sendiri maka kita tidak akan mampu menampakkan keceriaan dan seri pada wajah. Yang tinggal hanya kesedihan, rasa bersalah dan gelisah akibat maksiat yang merendahkah maruah diri sendiri.




Sempitnya rezeki dan kebencian orang lain
Ummul Mukminin Aisyah RA pernah menuliskan surat kepada Khalifah Muawiyah RA yang berisi: “Ketahuilah orang-orang yang telah melakukan maksiat kepada Allah, maka orang yang memujinya berbalik akan mencelanya.”

Seorang pemimpin negara seperti Khalifah Muawiyah bin Abu Sufyan RA sentiasa menjadi tumpuan rakyatnya. Oleh itu Aisyah RA berwasiat agar sentiasa sang khalifah menjaga hubungannya dengan Allah Taala dan jangan sekali-kali bermaksiat kepada-Nya kerana perbuatan maksiat itu akan mempengaruhi setiap keputusan sang khalifah dalam mentadbir negara. Seterusnya memberi kesan kepada rakyat, adakah mereka memuji atau membencinya?

Tiada seorangpun manusia yang suka melihat kejahatan berleluasa. Sekecil apapun kejahatan tetap kejahatan dan membawa bala kepada orang lain. Seperti seorang Muslim yang melihat Muslim lain meletakkan keretanya di tepi jalan yang mengganggu jalan kenderaan lain akan merasa benci dengan perbuatan saudaranya itu. Kejahatan bermula dari perkara yang kecil, akhirnya membawa kepada kejahatan lain. Pertengkaran dan buli di atas jalan raya boleh terjadi dan akhirnya menumpahkan darah.

Bagaimana pula orang yang dibenci itu boleh bermuamalat dengan orang lain, sedangkan peniaga yang berakhlak buruk tentulah akan dijauhi. Begitu pula dengan orang yang suka menahan rezeki saudaranya, apatah lagi mendengki, ibarat mahukan milik orang lain, yang di tangan sendiri pasti akan terlepas. Tiada keberkatan dalam rezekinya dan dia kehilangan kasih sayang daripada saudara-saudaranya seiman.

Al-Imam al-Syafie pernah mengeluh dan bersedih menanggung kesan dan akibat maksiat yang beliau rasakan dalam hatinya, beliau mengadu kepada Waki’ (salah seorang guru al-Syafie) dalam untaian syairnya:
”Aku mengadu kepada Waki’mengenai buruknya hafalanku; beliau memberi petunjuk kepadaku agar aku meninggalkan maksiat; Beliau berkata: Ketahuilah bahawa ilmu adalah cahaya; sedangkan cahaya Allah tidak mungkin diberikan kepada pelaku maksiat.”

(Dr Juanda)

Monday, June 27, 2011

Ketabahan Seorang Bernama Wanita


Aku tak tahu nak mula menulis macam mana. Salina, nama seorang sahabat perempuan yang pernah menjadi sahabat baik aku sewaktu di sekolah dulu. Kami bersekolah sama semenjak Tadika sehingga UPSR tahun 1991. Kami bertemu kembali sekitar tahun 1997 hingga 1998 kerana mengambil STPM di sekolah yang sama dan tahun berikutnya kami terputus hubungan kerana  sama-sama melanjutkan pelajaran ke universiti.

Nak dijadikan cerita aku dengan dia bertemu kembali dalam bulan ni tahun 2011. Dia masih macam dulu kecik molek orangnya tapi aku terkejut apabila dia menyatakan dia berstatus Ibu Tunggal ...Dari air muka dia aku tahu dia menyimpan 1001 penderita sebagai seorang wanita yang bergelar isteri dan seorang ibu. Aku cuba mencungkil rahsia hidupnya apabila dapat peluang untuk menyembang dengannya . Pertama sekali perkahwinan atas dasar pilihan orang tua sekitar awal tahun 2007 telah memulakan satu episod hitam dalam hidupnya. Bekas suaminya boleh dikatakan seorang yang panas baran, penagih tegar pil kuda dan seorang pengganggur.

Walaupun dirinya diabaikan oleh suami namun sebagai seorang isteri yang taat pada suami Salina hanya mendiamkan diri apabila dimaki hamun oleh sang suami. Bekerja sebagai seorang pensyarah di sebuah universiti Utara tanahair menuntut Salina  memberi pelbagai komitmen dalam kerjaya dan keluarga. Segala perbelanjaan harian, keluarga dan segala-galanyalah semua menjadi tanggungan Salina. Untuk menampung perbelanjaan keluarga Salina terpaksa mencari duit lebih dengan mengajar di kolej-kolej swasta, Hatinya tetap redha dan sabar menerima ujian ini. Aku hanya diam membisu mendgr luahan kisah hitamnya.

Sabar wanita itu ada batasnya...kemuncak kesabarannya apabila si isteri terjumpa beberap pil najis dadah menggegar iman seorang isteri. Sebelum ni dia tetap bersabar walaupun di maki hamun, dipukul dan menanggung bebanan hutang angkara suami durjana tetapi kali ini dia nekad untuk menuntut fasaks di Mahkamah Syariah sehingga jatuh talak 1 oleh seorang suami yang tidak bertanggungjawab.  Sekarang dia meneruskan perjuangan hidupnya sebagai seorang ibu tunggal. Dia ingin melupakan segala kisah pahit dan kisah dukanya dalam hidup berumahtangga walaupun hari ini dia terpaksa menanggung segala-galanya hasil perbuatan bekas suaminya dulu.

Aku hanya mampu tersenyum mendengar ceritanya. "Begitulah apabila Allah berbicara dengan hambanya tentang kesabaran dan keikhlasan". Jauh disudut hati aku, tercuit rasa kagum pada Salina atas ketabahannya sebagai seorang wanita. Allah menemukan dulu dengan jodoh yang salah pada dia sebagai bentuk ujian dan dugaan kepadanya. Insya Allah, jodoh yang tepat dan betul akan dia ketemui suatu hari nanti untuk menikmati sebuah rumah tangga yang akan berkekalan hingga ke syurga akhirat.

Itulah tabahnya seorang yang bernama wanita. (Kembara Sufi)


Saturday, June 25, 2011

Suatu Kisah yang sedih



Pada satu hari, baginda SAW menyuruh Bilal RA azan untuk mengerjakan solat. Para Muhajirin dan Ansar pun berkumpullah di masjid Rasulullah SAW. Kemudian Rasulullah SAW menunaikan solah dua rakaat bersama semua yang hadir.

Setelah selesai solat, baginda SAW bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata:

Alhamdulillah, wahai para muslimin. Sesungguhnya aku adalah seorang nabi yang diutus dan mengajak orang ke jalan Allah dengan izinNya. Dan aku ini adalah sebagai saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. Oleh itu, kalau ada sesiapa ada hak untuk menuntut, maka hendaklah ia bangun dan membalasi aku sebelum aku dituntut di hari Qiamat.”

Rasulullah SAW berkata sebanyak tiga kali, lalu bangunlah seorang lelaki bernama ‘Ukasyah bin Muhshan dan berkata: “Demi ayahku dan ibuku ya Rasulullah, kalau kamu tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali sudah tentu aku tidak mahu mengemukakan ini.”

Lalu ‘Ukasyah RA berkata lagi: “Sesungguhnya dalam perang Badar aku bersamamu ya Rasulullah. Pada masa itu aku mengikuti unta kamu dari belakang. Setelah dekat, akupun tuun menghampiri kamu dengan tujuan supaya aku dapat mencium paha kamu, tetapi kamu telah mengambil tongkat dan memukul unta kamu untuk berjalan cepat, yang mana pada masa itu akupun kamu pukul pada tulang rusukku. Aku hendak tanya samada kamu sengaja memukul aku atau hendak memukul unta tersebut.”

Rasulullah SAW berkata: “Wahai ‘Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu.”

Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA, “Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkatku ke mari.”

Bilal RA keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah RA sambil meletakkan tangannya di atas kepala dengan berkata, “Rasulullah SAW telah menyediakan dirinya untuk dibalas [di qishash].

Setelah Bilal RA sampai di rumah Fatimah RA maka Bilal RA pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah RA menyahut dengan berkata: “Siapakah di pintu?.” Bilal RA menjawab: “Aku Bilal, aku telah diperintahkan oleh Rasulullah untuk mengambil tongkat baginda. “

Kemudian Fatimah RA berkata: “Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya.”

Berkata Bilal RA: “Wahai Fatimah, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqishash.”

 Bertanya Fatimah RA lagi: “Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqishash Rasulullah?”

Bilal RA tidak menjawab pertanyaan Fatimah RA. Setelah Fatimah RA memberikan tongkat tersebut, maka Bilal RA pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah SAW. Setelah Rasulullah SAW menerima tongkat tersebut dari Bilal RA maka beliau pun menyerahkan kepada‘Ukasyah RA.

Melihatkan hal yang demikian maka Abu Bakar RA dan Umar RA tampil ke depan sambil berkata: “Wahai ‘Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah tetapi kamu qishashlah kami berdua.”

Apabila Rasulullah SAW mendengar kata-kata Abu Bakar RA dan Umar RA maka dengan segera beliau berkata: “Wahai Abu Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua.”

 Kemudian Ali RA bangun, lalu berkata, “Wahai ‘Ukasyah! Aku adalah orang yang sentiasa berada di samping Rasulullah oleh itu kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqishash Rasulullah”.

Lalu Rasulullah SAW berkata, “Wahai Ali duduklah kamu, sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu.”

Setelah itu Hasan RA dan Husin RA bangun dengan berkata: “Wahai ‘Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahwa kami ini adalah cucu Rasulullah, kamu qishashlah kami sama jika kamu ingin menqishash Rasulullah”

Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah SAW pun berkata, “Wahai buah hatiku duduklah kamu berdua.”

Berkata Rasulullah SAW “Wahai ‘Ukasyah pukullah aku kalau kamu hendak memukul.”


Kemudian ‘Ukasyah RA berkata: “Ya Rasulullah, anda telah memukul aku sewaktu aku tidak memakai baju.”

 Maka Rasulullah SAW pun membuka baju. Setelah Rasulullah SAW membuka baju maka menangislah semua yang hadir. Setelah ‘Ukasyah RA melihat tubuh Rasulullah SAW maka ia pun mencium beliau dan berkata, “Aku tebus kamu dengan jiwa ku ya Rasulullah, siapakah yang sanggup memukul kamu. Aku melakukan begini adalah sebab aku ingin menyentuh badan kamu yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan badan ku. Dan Allah SWT menjaga aku dari neraka dengan kehormatanmu”

 Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.”

Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata, “Wahai ‘Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah di dalam syurga.”

Thursday, June 23, 2011

Kisah Saidatina Aisyah R.A difitnah


'Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat)."

Ayat 11 dalam surah al-Nur di atas merupakan asbab penurunan ke atas kisah fitnah yang berlaku kepada Saidatina Aisyah R.A.

Dalam sirah Nabi SAW, ummulMukminin Aisyah ra pernah difitnah. Fitnahnya pula bukan sebarangan. Ada skandal besar antara A’isyah dan Safwan bin Mu’attal. Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua munafiq menjadi sumber berita fitnah dan rekaan itu. Ia tersebar sehingga memberi kesan kepada masyarakat Islam terbaik ketika itu.

Ayat al-Quran surah an-Nur 11-21 mengajar akhlak mukmin menghadapi situasi seperti ini. Imam Nawawi memberi 54 komentar pengajaran dari peristiwa ini. Doktor Wahbah az-Zuhaily pula dalam Tafsir Munirnya memberikan sekitar 15-16 pengajaran dari peristiwa ini.

Hadis berkaitan:
Diriwayatkan oleh Imam Muslim rahimahullah didalam kitabnya, Sahih Muslim bahawa Saidatina Aisyah r.a isteri Nabi s.a.w katanya:

Apabila Rasulullah s.a.w ingin musafir, baginda biasanya mengadakan undian di kalangan isteri-isterinya. Sesiapa yang bernasib baik dialah yang akan keluar bersama Rasulullah s.a.w.

Saidatina Aisyah berkata Rasulullah s.a.w membuat undian di kalangan kami untuk memilih siapakah yang akan turut serta ke medan perang. Tanpa diduga undi akulah yang berjaya. Lalu aku keluar bersama Rasulullah s.a.w. Peristiwa ini berlaku selepas turunnya ayat hijab. Aku dibawa dalam Haudaj (sebuah bilik kecil untuk perempuan yang diletakkan di atas unta). Bilik inilah aku ditempatkan selama berada di sana.

Setelah Rasulullah s.a.w selesai berperang, kami terus pulang. Kami berhenti rehat buat seketika di suatu tempat yang berhampiran dengan Madinah. Sebaik sahaja tiba waktu malam kami diminta supaya meneruskan perjalanan. Pada waktu yang sama aku bangkit dan berjalan jauh dari pasukan tentera. Apabila selesai membuang air besar aku kembali ke tempat kelengkapan perjalanan. Ketika aku menyentuh dadaku mencari kalung, ternyata kalungku yang diperbuat dari manik Zafar (berasal dari Zafar, Yaman) hilang.

Aku kembali lagi ke tempat tadi mencari kalungku sehingga aku ditinggalkan dalam keadaan tersebut. Sementara itu beberapa orang lelaki yang ditugaskan membawaku mengangkat Haudaj ke atas unta yang aku tunggangi kemudian terus pulang. Pada sangkaan mereka aku berada di dalamnya. Saidatina Aisyah berkata : Wanita pada waktu itu semuanya ringan-ringan, tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu gemuk kerana mereka hanya memakan sedikit makanan menyebabkan para sahabat tidak terasa berat ketika membawa serta mengangkat Haudaj. Apatah lagi aku pada waktu itu seorang gadis.


Mereka membangkitkan unta dan terus berjalan. Sebaik sahaja mereka bertolak aku bertemu kalung yang kehilangan tadi. Aku pergi ke tempat perhentian mereka semasa berperang, namun tidak seorang pun yang ada di sana. Lalu aku kembali ke tempat perhentianku dengan harapan mereka sedar kehilanganku dan kembali mencariku. Ketika berada di tempatku, aku terasa mengantuk dan terus tertidur. Kebetulan Safuan bin Al-Muattal As-Sulami Az-Zakwani telah ditinggalkan oleh pasukan tentera supaya berangkat pada awal malam sehinggalah dia sampai ke tempatku pada pagi tersebut.

Dalam kesamaran dia terlihat seorang manusia sedang tidur. Dia menghampiriku dan didapati aku yang tidur di situ. Dia mengenaliku kerana pernah melihat aku sebelum hijab diwajibkan kepadaku. Aku tersedar oleh ucapannya ketika dia mengetahui bahawa aku tidur di situ. Aku segera menutup wajahku dengan kain tudung. Demi Allah! Dia tidak bercakap dengan aku dan aku juga tidak mendengar kata-katanya walaupun sepatah selain satu ucapannya sehinggalah dia meminta aku menunggang untanya. Tanpa membuang masa aku terima pelawaannya dan terus naik dengan berpijak di tangannya, lalu beredar dalam keadaan dia menarik unta sehinggalah kami berjaya mendapatkan pasukan tentera yang sedang berhenti rehat kerana panas terik.

Celakalah penuduhku dan orang yang tetap dengan keangkuhannya iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul. Setelah sampai di Madinah, aku jatuh sakit di Madinah selama sebulan setelah ku kembali. Sementara itu orang ramai sedang menyebarkan fitnah daripada pereka cerita bohong tetapi aku sendiri tidak mengetahuinya. Aku mula resah setelah Rasulullah s.a.w kelihatan berubah malah aku tidak lagi merasakan kelembutan Rasulullah s.a.w yang biasanya aku rasakan ketika aku sakit. Rasulullah s.a.w cuma masuk mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Suasana ini menyebabkan aku semakin gelisah kerana bagiku, aku tidak melakukan keburukan.



Setelah penyakitku beransur sembuh, aku keluar bersama Ummu Mistah ke tempat buang air besar. Ianya adalah tempat yang biasa kami kunjungi untuk membuang air besar dan kami hanya keluar pada waktu malam. Keadaan ini berterusan sehinggalah kami membina tandas berhampiran dengan rumah kami. Kamilah orang arab yang pertama membina tandas untuk bersuci. Akhirnya kami merasa terganggu dengan tandas tersebut yang dibina berhampiran dengan rumah kami.

Suatu hari aku keluar bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhmi bin Al-Muttalib bin Abdul Manaf. Ibunya adalah puteri Sakhrin bin Amir ibu saudara Abu Bakar As-Siddiq r.a, anaknya bernama Mistah bin Usaasah bin Abbad bin Al-Muttalib. Setelah kami selesai buang air besar aku berjumpa dengan anak perempuan Abu Ruhmi berhampiran rumahku. Tiba-tiba Ummu Mistah terpijak pakaiannya lalu melatah sambil berkata : Celaka Mistah! Aku berkata kepadanya : Apakah engkau mencela seorang lelaki yang syahid dalam peperangan Badar. Dia menjawab : Wahai Saidatina Aisyah, tidakkah engkau mendengar apa yang dia katakan? Aku menjawab : Tidak, apakah yang dia katakan? Lantas Ummu Mistah menceritakan kepada aku tuduhan pembuat cerita bohong.

Mendengar cerita itu, sakitku bertambah kuat. Setelah sampai di rumah Rasulullah s.a.w masuk menjengukku. Baginda mengucapkan salam kemudian bertanya: Bagaimana keadaanmu? Aku menjawab : Apakah engkau izinkan aku berjumpa dua orang tuaku? Pada saat itu aku ingin kepastian tentang berita tersebut dari dua orang tuaku. Selepas mendapat keizinan daripada Rasulullah s.a.w, aku segera pulang ke rumah orang tuaku.




Sebaik sahaja sampai di sana, aku bertanya ibuku : Mak, apakah cerita yang disebarkan oleh orang ramai mengenai diriku? Ibuku menjawab : Wahai anakku! Tabahkanlah hatimu! Demi Allah berapa orang sahaja wanita cantik berada di samping suami yang menyayanginya dan mempunyai beberapa orang madu tidak difitnahkan, bahkan ramai yang dilontarkan fitnah terhadapnya. Aku berkata : Maha suci Allah s.w.t! Apakah sampai begitu sekali orang ramai memfitnah ku?


Aku terus menangis pada malam tersebut dan tidak lagi mampu menahan air mata. Aku tidak dapat tidur sehingga pada pagi keesokannya, aku masih lagi dalam keadaan demikian. Setelah beberapa ketika Rasulullah s.a.w memanggil Ali bin Abi Talib dan Usamah bin Zaid untuk membincangkan perceraian dengan isterinya. Ketika itu wahyu tidak diturunkan. Usamah bin Zaid memberi pertimbangan kepada Rasulullah s.a.w tentang penjagaan Allah terhadap isteri baginda dan kemesraan Nabi terhadap mereka sambil berkata: Wahai Rasulullah! Mereka adalah keluargamu. Kami cuma mengetahui apa yang baik. Manakala Ali bin Abi Talib pula berkata: Allah tidak menyulitkan kamu malah wanita selain daripadanya masih ramai.

Jika engkau bertanyakan pembantu rumah pun, tentu dia akan memberikan keterangan yang betul. Saidatina Aisyah berkata : Lantas Rasulullah s.a.w memanggil Barirah (pembantu rumah) dan bertanya: Wahai Barirah! Apakah engkau pernah melihat sesuatu yang meragukan tentang Aisyah? Barirah menjawab: Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran. Sekiranya aku melihat sesuatu padanya, nescaya aku tidak akan menyembunyikannya. Dia tidak lebih dari seorang gadis muda yang sering tertidur di samping adunan roti keluarganya sehinggalah binatang ternakan seperti ayam dan burung datang memakannya.


Saidatina Aisyah berkata: Kemudian Rasulullah s.a.w berdiri di atas mimbar meminta pertolongan untuk membersihkan segala fitnah yang dilontarkan oleh Abdullah bin Ubai bin Salul. Saidatina Aisyah berkata lagi : Rasulullah s.a.w bersabda semasa berkhutbah : Wahai kaum Muslimin! Siapakah yang ingin menolongku dari orang yang sanggup melukai hati keluargaku? Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan. Beberapa orang telah menyebut tentang seorang lelaki yang aku ketahui bahawa dia seorang yang baik. Dia tidak pernah masuk berjumpa isteriku kecuali bersamaku. Lalu Saad bin Muaz Al-Ansariy bangun berkata : Aku yang akan menolongmu daripada orang itu wahai Rasulullah. Jika dia daripada golongan Aus aku akan memenggal lehernya dan sekiranya dia dari kalangan saudara kami daripada golongan Khazraj, perintahkanlah aku nescaya aku akan melaksanakan segala perintahmu itu.

Saidatina Aisyah berkata: Mendengar kata-kata tersebut lantas Saad bin Ubadah bangun. Dia adalah penghulu golongan Khazraj, seorang yang soleh tetapi kadang-kadang dia cepat radang kerana bongkak. Dia menjawab kepada Saad bin Muaz : Engkau bohong! Demi Allah engkau tidak dapat membunuhnya dan tidak mampu untuk membunuhnya! Lalu Usaid bin Hudair sepupu Saad bin Muaz bangun menjawab kepada Saad bin Ubadah : Engkau bohong! Demi Allah, kami akan membunuhnya. Engkau seorang munafik yang membela orang-orang munafik. Maka terjadilah pertengkaran hebat antara golongan Aus dan Khazraj, sehingga mereka hampir membunuh antara satu sama lain.


Rasulullah s.a.w masih tetap berdiri di atas mimbar. Rasulullah s.a.w tidak henti-henti menenangkan mereka sehinggalah mereka terdiam kerana melihat Rasulullah s.a.w diam. Saidatina Aisyah berkata: Melihat keadaan itu aku menangis sepanjang hari. Air mataku tidak berhenti mengalir dan aku tidak dapat tidur sehinggalah pada malam berikutnya. Dua ibu bapaku menganggap tangisanku itu boleh membawa kepada terbelahnya jantungku. Ketika ibu bapaku menunggu aku, seorang perempuan Ansar datang meminta izin menemuiku. Setelah aku mengizinkannya, dia terus masuk lalu duduk sambil menangis.

Saidatina Aisyah berkata: Ketika itu Rasulullah s.a.w masuk memberi salam, lalu duduk bersama aku. Saidatina Aisyah berkata: Baginda tidak pernah berbuat demikian sejak berlakunya fitnah terhadapku sebulan yang lalu. Wahyu juga tidak diturunkan kepada baginda mengenai keadaanku. Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w mengucapkan Dua Kalimah Syahadah ketika duduk kemudian bersabda: Wahai Aisyah! Aku ketahui berbagai cerita telah diperkatakan tentang dirimu. Jika engkau memang tidak bersalah, Allah pasti tidak akan menyalahkan kamu. Tetapi seandainya engkau bersalah, pohonlah keampunan daripada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya kerana sesungguhnya apabila seorang hamba mengaku berdosa, kemudian bertaubat nescaya Allah pasti akan menerima taubatnya.

Saidatina Aisyah berkata: Sebaik sahaja Rasulullah s.a.w selesai bersabda, aku bertambah sedih sehingga tidak terasa air mataku menitis. Aku berkata kepada ayahku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w mengenai apa yang baginda katakan. Ayahku menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w.

Kemudian aku berkata kepada ibuku: Jelaskanlah kepada Rasulullah s.a.w. Ibuku juga menjawab: Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang harus dijelaskan kepada Rasulullah s.a.w. Lalu aku berkata: Aku adalah seorang gadis muda. Aku tidak banyak membaca Al-Quran. Demi Allah! Aku tahu bahawa kalian telah mendengar semuanya itu sehingga tetap bersemadi di hati kalian, malah kalian mempercayainya. Jika aku katakan kepada kalian bahawa aku tidak bersalah, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah, tetapi kalian tetap tidak mempercayaiku. Begitu juga sekiranya aku mengakui melakukan kesalahan, Allahlah yang mengetahui bahawa aku tidak bersalah dan kalian tentu akan mempercayaiku. Demi Allah, aku tidak mempunyai contoh yang tepat untuk aku dan kalian kecuali kata-kata yang disebut oleh ayah Nabi Yusuf a.s, maksudnya: Kalau begitu bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan mengenai apa yang kamu katakan itu.

Saidatina Aisyah berkata: Kemudian aku beredar lalu berbaring di tempat tidurku. Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Pada saat itu aku yakin diriku tidak bersalah dan Allah akan menunjukkan bahawa aku tidak bersalah. Tetapi demi Allah! Aku tidak menyangka bahawa wahyu akan diturunkan tentang permasalahanku kerana persoalanku adalah terlalu remeh untuk difirmankan oleh Allah s.w.t. Namun begitu aku mengharapkan agar Rasulullah s.a.w melihat dalam mimpinya bahawa Allah s.w.t membersihkan aku dari fitnah itu.

 Saidatina Aisyah berkata: Demi Allah! Rasulullah s.a.w tidak beredar dari tempat duduk baginda dan tidak ada seorangpun di kalangan keluarga kami keluar. Apabila Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada Nabi-Nya, baginda kelihatan berubah. Baginda duduk membongkok sambil berpeluh bagaikan mutiara pada musim sejuk kerana beratnya menerima firman Allah s.w.t yang diturunkan kepada baginda.

Saidatina Aisyah berkata: Setelah itu Rasulullah s.a.w terus ketawa. Ucapan pertama baginda selepas menerima wahyu tersebut ialah sabdanya: Bergembiralah, wahai Aisyah! Sesungguhnya Allah s.w.t telah membersihkan kamu! Lalu ibuku berkata kepadaku: Bangunlah berjumpa Rasulullah s.a.w. Aku menjawab: Demi Allah! Aku tidak akan bangun berjumpa baginda. Aku hanya akan memuji kepada Allah s.w.t kerana Dialah yang menurunkan ayat Al-Quran menyatakan kebersihanku. Lalu Allah s.w.t menurunkan ayat yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu) sebanyak sepuluh ayat. Allah s.w.t menurunkan ayat-ayat tersebut yang menyatakan kebersihanku.

Saidatina Aisyah berkata: Lalu Sayidina Abu Bakar orang yang selalu memberi nafkah kepada Mistah kerana dia adalah salah seorang daripada kaum keluarga Abu Bakar dan seorang miskin berkata: Demi Allah! Aku tidak akan memberikan nafkah kepadanya lagi selepas dia memfitnahkan Saidatina Aisyah r.a. Sebagai teguran terhadap tindakan itu Allah s.w.t menurunkan ayat maksudnya: Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya di antara kamu bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum keluarga sehinggalah kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud: Tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu.

Hibban bin Musa berkata: Abdullah bin Al-Mubarak menyebut: Inilah ayat yang paling aku harapkan dalam Kitab Allah.

Abu Bakar berkata: Demi Allah! Memang aku inginkan keampunan Allah s.w.t. Lalu Abu Bakar kembali memberikan nafkah kepada Mistah sebagaimana biasa dan berkata: Aku tidak akan berhenti memberi nafkah kepadanya.

Saidatina Aisyah berkata: Rasulullah s.a.w pernah bertanya Zainab binti Jahsyin isteri Nabi s.a.w tentang masalahku: Apakah yang engkau ketahui atau apakah pendapatmu? Zainab menjawab: Wahai Rasulullah! Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah! Apa yang aku ketahui hanyalah kebaikan.

Saidatina Aisyah berkata: Dialah dari kalangan isteri-isteri Nabi s.a.w yang membanggakan aku. Allah s.w.t mengurniakan kepadanya sifat warak berbanding dengan saudara perempuannya iaitu Hamnah binti Jahsyin yang turut serta menyebarkan fitnah. Maka celakalah dia bersama orang-orang yang celaka!

Wednesday, June 22, 2011

Amalan Sihir Penunduk@Pengasih Dalam Masyarakat Melayu


Dalam masyarakat Melayu, ilmu kebatinan yang melibatkan ilmu pengasih, yang juga dikenali sebagai ilmu guna-guna sering dikaitkan dengan amalan sihir. Banyak kaedah yang boleh dilakukan untuk tujuan ini, di antaranya dengan menggunakan minyak, yang dikenali sebagai minyak guna-guna, ataupun dengan pemujaan berserta bahan-bahan tertentu yang melibatkan jin-jin.

Antara tujuan ilmu ini diamalkan ialah untuk membangkitkan keinginan seseorang terhadap pengamal, sama ada untuk tujuan baik, seperti untuk mendapatkan jodoh, ataupun untuk tujuan jahat, seperti untuk membalas dendam, untuk memuaskan nafsu ataupun hanya untuk berseronok-seronok di samping untuk mengikis harta kepunyaan mangsa.

Ilmu ini juga diamalkan supaya wajah kelihatan berseri, seperti yang dilakukan oleh mak andam terhadap pengantin perempuan yang diandam, untuk satu tarikh tertentu sahaja iaitu ketika bersanding, ataupun untuk jangka masa yang lebih panjang, biarpun usia telah meningkat. Ilmu pengasih juga diamalkan untuk menundukkan orang lain menyebabkan orang yang bertemu dengan pengamal dengan tidak semena-mena jatuh kasih atau lemah hati.

Ilmu pengasih jenis ini diamalkan mungkin untuk menguasai seseorang, untuk memenangi undi dan sebagainya. Pada kebiasaannya setiap perkataan yang lahir daripada mulut pengamal akan menimbulkan rasa kasihan, kagum dan hormat di kalangan pendengarnya. Termasuk dalam kategori ilmu pengasih ialah amalan yang dilakukan oleh isteri terhadap suami, agar tunduk kasih kepadanya.

 Amalan ini selalunya dilakukan oleh isteri ke atas suami yang dianggap tidak adil, kasar dan sering melakukan kezaliman. Akibatnya suami mungkin menjadi takut, tidak berani berhadapan dengan isterinya, menjadi kaku dan terpukau menurut segala apa yang disuruh. Ia juga ada kalanya dilakukan oleh isteri yang jahat yang hendak menundukkan suaminya, menguasai harta dan semua kepunyaan suami.



Sihir yang dikenakan dengan tujuan supaya isteri bertambah kasih kepada suami atau sebaliknya dinamakan at-tiwalah. Menurut Wahid Abdul Salam Bali (1412H),amalan ini dilakukan oleh isteri yang cetek pengetahuan agamanya, dan jahil tentang haramnya perbuatan yang dilakukan. Tukang-tukang sihir menyuruh si isteri mengambil apa-apa bahan yang pernah digunakan oleh suami seperti baju, sapu tangan dan sebagainya dengan syarat barang-barang tadi mengandungi bau badan ataupun peluh pemakai.  

Tukang sihir akan mengambil beberapa batang jarum lalu menjampinya. Bahan yang telah dijampi itu ditanam pada satu tempat tertentu. Selain itu tukang-tukang sihir ada kalanya menjampi makanan yang dicampur dengan benda-benda kotor yang terdiri daripada najis, kencing ataupun darah haid dan diberi makan pada mangsanya.  

Menurut Mohd. Abd. Wahab, tiwalah ialah sesuatu amalan yang dilakukan yang dipercayai boleh menyebabkan isteri mengasihi suami atau sebaliknya. Dalam masyarakat Malaysia, amalan seperti ini lebih dikenali sebagai ``nasi tangas'' ataupun ``nasi kangkang'', di mana nasi ataupun makanan yang masih panas itu dicampurkan dengan bahan-bahan kotor yang diambil daripada badan manusia (pengamal), seperti daki, kotoran celah-celah kuku dan dikangkangkan sehingga wap daripada kemaluan jatuh dalam makanan tadi. Lebih berkesan lagi sekiranya orang yang melakukannya itu berada dalam keadaan kotor (haid).

Amalan yang dibantu oleh sihir ini menjadikan suami seumpama bodoh, menurut telunjuk kemahuan isteri. Amalan ini adalah terlarang dan pelakunya termasuk dalam golongan mereka yang melakukan amalan syirik. Pada hakikatnya, amalan seperti ini bukan menyebabkan suami bertambah kasih kepada isteri tetapi boleh menyebabkan si suami menjadi bodoh seolah-olah dikuasai oleh satu kuasa asing menyebabkannya takut dan tunduk kepada isteri.

Menurut Wahid Abdul Salah Bali, perbuatan seperti ini ada kalanya menjadikan perkara sebaliknya berlaku, di mana suami membenci isterinya ataupun membenci semua perempuan termasuk isterinya, yang mana akhirnya pasangan ini berpisah juga. Menurut Abu Ubaidah Mahir (1995:70) sihir jenis ini dikenali sebagai sihru'-mahabbah (sihir kasih).



Pengamal sihir ini adalah syirik hukumnya. Ia dilakukan mungkin kerana si isteri tamakkan harta, terutamanya kalau suami kaya. Kerana cemburu terhadap suami yang bersangatan dan isteri takutkan suami berkahwin lagi. Menurut Abu Ubaidah lagi, isteri yang hendak melakukan sihir akan menemui tukang sihir yang meminta barang-barang tertentu seperti baju, sapu tangan, songkok dan sebagainya dengan syarat barang-barang tadi telah dipakai, kerana ia mengandungi peluh.

Beberapa helai benang diambil daripada bahan tadi dijampi kemudian ditiup padanya, disimpulkan dan ditanam di tempat-tempat tertentu, atau dimasukkan dalam makanan atau minuman. Sihir yang paling dahsyat daripada jenis ini dan sangat berbahaya dinamakan as-sihru'i-aswad (sihir hitam) yang diperbuat menggunakan bahan najis, darah haid ataupun nifas.

 Kesan sihir jenis ini boleh terjadi sebaliknya menyebabkan suami membenci semua perempuan termasuk isteri, ibu, adik-beradik, bapa saudara dan semua mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan. Suami kadang-kadang sakit kerana bahan yang dimakan mengandungi bahan-bahan kotor dan najis.

Sahibul Fadilah Asy-Syeikh Asy-Sya'rawi ketika ditanya tentang penglibatan jin-jin untuk memisahkan pasangan suami isteri menyatakan bahawa ia bukan merupakan sesuatu yang mustahil Allah menganugerahkan keistimewaan-keistimewaan tertentu terhadap sesetengah daripada makhluknya. Dan di antara keistimewaan jin-jin ialah keupayaan melakukan sihir. Dengan itu jin-jin berkeupayaan mengubah pandangan seseorang yang melihat perempuan cantik itu menjadi hodoh, menyebabkan timbul rasa benci melihatnya seperti melihat kera di hadapannya. Begitulah sebaliknya menyebabkan perempuan yang tidak cantik atau mempunyai wajah biasa dilihat seumpama permaisuri yang jelita.

Hal demikian boleh berlaku pada pasangan suami isteri di mana jin-jin boleh menyihir seorang isteri yang menyebabkan timbul rasa dingin suami bahkan jin juga boleh menyebabkan si suami berasa seolah-olah adanya sepotong daging menyekat faraj isteri (Muhammad Ar-Razi, 1985:240-241). Menurut seorang bomoh yang tinggal di Batu Pahat, nasi tangas disediakan oleh isteri yang ingin menundukkan suaminya, dengan mengangkangkan nasi yang sedang panas berwap dalam keadaan duduk mencangkung, merapatkan punggung pada nasi untuk selama lebih kurang sepuluh hingga lima belas minit. Kain yang dipakai menyelubungi bahan tadi dibuka buat seketika sekiranya dirasa terlalu panas berbahang, kemudian ditutup rapat semula.  

Selain daripada nasi, ia juga boleh dibuat pada air, yang dicampur dalam makanan atau terus dibuat minum. Untuk merawat pesakit yang terkena nasi kangkang atau nasi tangas, air longkang ditapis, dibiarkan mendap hingga jernih dan diberi minum. Selain untuk tujuan di atas, ilmu pengasih atau ilmu guna-guna diamalkan semata-mata untuk menundukkan seseorang terutamanya kaum wanita untuk tujuan seks, merampas isteri orang untuk membalas dendam, yang dilakukan mungkin kerana pinangan ditolak, perempuan memungkiri janji untuk berkahwin, pihak perempuan menghina atau memandang rendah kepada lelaki tertentu menyebabkan rasa marah lalu membalas dendam dengan mengenakan sihir.

 Mangsa ilmu guna-guna akan memperlihatkan kelakuan yang aneh dan sering melakukan tindak-tanduk di luar kebiasaan. Orang yang pada asalnya membenci seseorang boleh bertukar menjadi rindu tanpa mempedulikan rintangan, sentiasa terbayang wajah orang yang menyihirnya.

Sekiranya individu yang terlibat telah berumah tangga, suami akan lupakan isteri dan anak-anak, lupa tanggungjawab yang perlu dilakukan, juga tidak mendengar nasihat sesiapa pun termasuk ibu dan bapa. Dalam keadaan tertentu ia akan kembali normal menyedari siapakah dirinya yang sebenar, mengingati keluarga, tetapi ia merasai seolah-olah ada satu kekuatan luar menguasainya menyebabkannya berada dalam keadaan khayal dan terpukau. Seorang responden berumur lebih kurang 65 tahun yang tinggal di Perlis, menjelaskan bahawa ubat guna-guna atau ilmu pengasih adalah salah satu daripada amalan ilmu sihir yang menggunakan khidmat jin-jin.

Pengamal ilmu sihir guna-guna akan membaca jampi manteranya untuk memanggil jin yang mendampinginya dan mengarahkannya datang dalam mimpi mangsa menjelma menyerupai lelaki yang memujanya dengan rupa yang begitu menarik, menyebabkan seluruh perasaan tertumpu kepada lelaki berkenaan.  Apabila tersedar daripada tidur, ia akan terlihat bayangan jin yang menyerupai lelaki berkenaan menyebabkannya terus-menerus teringatkan lelaki tadi. Si mangsa akan berasa tidak sempurna, resah gelisah dan terus-menerus teringatkan lelaki tadi, tidak kira di mana ia berada, sama ada ketika makan minum, ketika bekerja dan sebagainya.


Selain daripada itu, jin tadi akan merasuk otak mangsa menyebabkan dia tidak berupaya berfikir waras, berubah sikap terhadap anak dan suami andainya si mangsa seorang perempuan yang telah berumah tangga, tidak pedulikan nasihat orang lain andainya dia seorang dara. Setelah dikuasai fikiran dan ingatan si mangsa, jin akan datang menarik jasad orang yang berkenaan membawa pergi menemui orang yang memujanya tadi, seolah-olah ada magnet menariknya untuk berbuat demikian.

Kesan amalan sihir adalah berbeza, bergantung kepada kekuatan roh seseorang dan jenis sihir yang dikenakan. Ada mangsa yang hilang ingatan sama sekali, tidak tahu apa yang telah berlaku pada dirinya apabila ingatannya pulih kembali. Ada mangsa yang tidak hilang ingatan, tetapi tahap kesedarannya terlalu sedikit, berbanding tahap kesedaran yang telah dikuasai oleh sihir yang dikenakan kepadanya.

Kerana itu terdapat mangsa sihir yang menyedari apa yang sedang berlaku ke atasnya terasa seolah-olah dipukau, ditarik-tarik untuk menemui seseorang dan berusaha untuk melawan, tetapi tidak berkeupayaan kerana kekuatannya yang sebenar terlalu lemah. Berdasarkan keterangan di atas, amalan menundukkan seseorang termasuk menundukkan suami melalui kaedah yang dikenali sebagai ``nasi kangkang'' atau ``nasi tangas'' bukan sesuatu yang mustahil berlaku.