Rumah

Sunday, July 31, 2011

Marhaban Ya Ramadhan




Alhamdulilah bersyukur pada Allah s.w.t kita masih di pertemukan dengan bulan yang mulia, bulan yang penuh dengan keberkahan dan rahmat daripada Allah s.w.t. Saya mengungkap kata-kata hikmah daripada  Bediuzzaman Said Nursi  yang bermaksud

Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya".

Jelas kepada kita bahawa bulan Ramadhan itu sentiasa dinanti-nantikan oleh mereka yang beriman kepada Allah s.w.t. Ramdhan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiran tetapi hanya mereka yang fasik dan munafik sahaja akan berkeluh kesah dengan kehadiran bulan Ramadhan.

Berpuasa memberi  peluang yang terbaik  kepada  orang-orang yang  beriman dan yang benar-benar takutkan Allah untuk mendekatkan diri pada-Nya dengan melibat gandakan amal ibadahnya sepanjang bulan ini.  Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah.

Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqamah dalam  mencari keredhaan Allah akan sentiasa berusaha meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain menunaikan yang diwajibkan.

Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan. Ini kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan mereka dengan menunaikan kewajipan ini.

Akhir kata saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri dan saudara semua agar kita tidak mempersia-siakan kehadiran Ramadhan yang hadir ini kerana belum tentu lagi kita akan bersua dengan Ramadhan yang akan datang.

 Rebutlah segala tawaran yang Allah sediakan untuk kita sepanjang bulan Ramadhan ini agar kita keluar daripada bulan Ramadhan sebagai mukmim yang sejati. Marhaban Ya Ramdhan, selamat menyambut kehadiran bulan Ramadhan dan selamat berpuasa. (Kembara Sufi)