Rumah

Friday, June 10, 2011

Aku dan GRO


GRO satu kerjaya yang memang confirm dipandang keji dan hina oleh masyarakat. Satu kerjaya yang berimejkan Seks, tidak bermoral, liar dan macam-macam lagi. Tapi ramai juga lelaki di Malaysia yang tergila-gilakan GRO. Ingat beb, sekali terjerat dengan cinta GRO merana badan selama-selamanya beb..hehhehe..hari ni aku nak menulis luar dari kerangka agama tapi skop tetap kepada soal sosial budaya masyarakat moden. Kalau nak diceritakan tentang jerat cinta GRO ni, aku rasa dah ramai yang terkena sampai yang rumahtangga hancur, hidup merana, hilang segala-galanya hanya kerana mengejar cinta seorang wanita kupu-kupu malam. Benda ni tak leh nak salahkan 100% kepada GRO ni coz memang tugas hakiki dia orang seperti yang terkandung dalam fail meja dia orang untuk menggoda mana-mana pelanggan sebaik mungkin agar selalu datang ke Pusat Hiburan tempat dia orang kerja. Kalau yang nak dapat duit lebih tu boleh sampai ke bilik tidur beb tapi aku jamin hampir 100% boleh bawa ke bilik tidur walau ada segelintir GRO yang berlakon ibarat mereka SUCI DALAM DEBU.

Kawan aku ramai yang terjerat dengan cinta GRO ni. Ada yang sanggup meninggalkan kerjaya yang hebat dengan gaji yang lumayan semata-mata nak pastikan GRO tu sentiasa hidup disisinya tapi dia tak tahu yang dia tu bodoh dan bangang sebab GRO nakkan wang ringgit dia jer..Abg ada duit, Abg sayang..Abg takder duti, Abg boleh jalan daaa...last sekali kerja hilang, rumah tangga hancur, Sang Gro tu pergi hinggap kat orang lain pulak yang boleh buat dia MASYUKKKK...so sapa yang bodoh???? jantan tu jugak yang bodoh....Tapi bak kata orang tua-tua, Kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan hendak duga..kalau tak naya nanti.

GRO dan ilmu hitam???...Yes... aku berani cakap kebanyakkan GRO main ilmu hitam..Kebanyakkan ilmu dia orang guna adalah kategori ilmu pengasih dan penunduk...Pengalaman seorang kawan aku yang hampir gila terkena dengan benda ni...Bro, kalau duk angau atau gila bayang yang melampau-lampau sampai buat tu tak boleh, buat ni tak boleh...24 jam duk terbayang GRO tu apa benda ni lagi BRO..Kalau yang paling kritikal tu sampai takleh nak kawal diri separuh gila..benda apa lagi ni???...Confirm kena pengasih...Angau yang semula jadi takderlah sampai orang tu boleh jadi separuh gila...


                                   

Aku sendiri mengenali GRO ni seawal usia ku 20 an semasa belajar di sebuah universiti ibu kota.  Dalam 10 tahun yang lampau..Aku chatting dalam satu laman sosial Amboi.Net yang agak fofular pada waktu tu..aku terchatlah dengan seorang popuan ni yang mengaku sebagai GRO dan offer pada aku untuk tidur dengan dia dgn bayaran RM 500. Perghhhhhh...gila babas beb, aku student masa tu mana ada pitis kata orang kelantan. Aku tanya popuan tu kenapa sampai tahap macam tu, dia kata dia perlukan duit.


 Aku cuba nak bantu dia dengan bawa dia pergi ke Darul Rufaqa di Rawang pada masa tu sebab  Darul Rufaqa banyak membantu insan-insan kupu-kupu malam termasuk popuan yang berstatus ayam yang ingin berubah dan kembali ke pangkal jalan. Kawan-kawan rumah sewa aku yang kebanyakkan kepimpinan Mahasiswa Islam di universiti pada masa tu duk kutuk aku kununnya nak jadi hero...Kadang-kadang aku bengang jugak dengan orang belajar agama ni mudah sangat jatuh hukum, mana tahu kot-kot dengan aku tolong GRO tu, hidayah Allah sampai kat dia....nak kahwin dengan GRO tu taklah kot...

First time aku jumpa GRO tu kat Central Market masa tu dengan kawan aku...lawa jugak beb tapi muka memang keruh dan tak jernihlah..Aku tanya dia pasal apa nak buat keja tak elok tu dan alasan dia nak bagi anak dia kat kampung yang sakit termasuk orang tua dia..lorrr..ibu tunggal rupanya..ishhh mesti kahwin waktu sekolah lagi ni tapi aku tetap janji dengan dia untuk bantu dia...kesian jugak aku tengok..

Aku tetap  memberanikan diri untuk bantu GRO tu. Alhamdulilah aku dapat wang RM 500 tu dari Darul Rufaqa hasil pertolongan teman aku yang berada dalam jemaah Darul Rufaqa. Seingat aku, aku ajak kawan aku tu untuk ikut aku gi Pandan Indah  jumpa dengan  GRO tu bagi menyampaikan bantuan dari Darul Rufaqa. Dengan naik motor EX5 aku masa tu pergilah aku ke Pandan Indah. Nak tahu apa jadi..aku kena kejar dengan jantan cina yang duk serumah dengan GRO tu, pehhhh langkah seribu kita orang lari , nasib baik motor EX5 aku masa tu tak meragam kalau tak lunyai kena belasah....Tubuh dia lebih kurang Malek Noor, Tatoo penuh di dada..Hahahhahha..satu hari satu malam  aku kena kutuk dengan member umah aku..padam muka aku nak bantu kunun..apa cerrr..hehhehe..


                              

Kita tinggalkan kisah aku 10 tahun yang lampau yang sememangnya aku terlalu naif tentang kehidupan pada waktu tu. Aku kembali mengenali dunia GRO setelah usia aku menjangkau lewat 20 an. Perkenalan aku dengan seorang GRO secara tidak sengaja di sebuah pusat membeli belah  sekitar tahun 2007 telah mengubah lanskap hidup aku dalam mengenali  susur galur wanita yang bergelar kupu-kupu malam ni. Aku sendiri pung tak pernah terfikir untuk mengenali rapat wanita seperti ini. 


Aku memang jenis mudah bersimpati dengan orang dan apabila aku mengetahui serba sedikit tentang wanita GRO ni tercuit rasa simpati pada GRO yang biar aku gelarkan namanya sebagai Rohayu. Pengalaman hitam hidupnya menyebabkan aku amat berminat untuk mengenali diri Rohayu ini sedangkan aku lupa yang aku telah  mengheret hidup aku turut serta dalam kemelut hidupnya. Rohayu ni boleh dikatakan agak lembut dan manja perwatakannya dan confirm mana-mana jantan yang kenal dengan dia pasti akan tangkap cinta dan lentok habis. Melalui maklumat yang aku dapat memang ramai jantan-jantan dahi licin yang tangkap gila separuh mati dengan si Rohayu ni.

Aku amat berminat untuk menulis pasal kisah hidupnya konon-kononnya nak jadi macam Dato' A.Samad Said lah aku ni menulis kisah benar tentang pelacur yang bernama Salina di Singapura.. Mungkin jugaklah kot aku nak jadi macam A.Samad Said..hehheheh..poyo jer kan bunyinya. Aku terpaksa menghabiskan sedikit wang untuk menjejakkan kaki ke tempat kerja Rohayu walaupun aku bukan jenis kaki sosial. Adalah dalam 3 kali aku jejak kaki ke tempat Rohayu bekerja termasuk ikut Rohayu masuk kelab malam di sekitar Bukit Bintang. Tujuan aku satu nak melihat realiti kehidupan GRO yang bernama Rohayu ini kerana aku ingin menulis tentang kisah hidupnya.

                          


Ternyata Rohayu seorang wanita melayu Islam yang perjalanan  hidupnya telah jauh terpesong dari batas-batasan seorang wanita Melayu Islam. Sebagai wanita Melayu pun hidupnya telah  jauh terbabas apatah lagi sebagai seorang wanita yang beragama Islam..  Dia seorang yang kuat minum dan aku pernah tengok dia habiskan sebotal Arak yg berjenama terkenal tanpa dia mabuk. Mak Datuk!!! ni kira the real kaki botol ni..ishh!! orang ke apa ni..aku tercengang sendirian..simpati bertimbun-timbun datang dalam diri aku pada si Rohayu ni.  Bagi aku Rohayu ni jenis manusia yang pasrah tentang hidupnya. Maknanya  dia ni jenis ikut jer arus kehidupan, kalau nak jadi baik, baiklah jadi. Kalau nak jadi jahat, jahatlah jadinya..dia hanya ikut jer ketentuan takdir dan masa..Mungkin sejarah hitam hidupnya banyak membuat dia menjadi seorang yang pasrah dalam hidup. Itu andaian akulah..hehhe..

Last sekali dia berjanji pada aku untuk berhenti kerja sebagai GRO dan ingin memasuki kelas Jahitan bagi persiapan untuk menghadapi kehidupan selepas dia berhenti kerja sebagai GRO. Aku berjaya masukkan dia ke kelas jahitan anjuran Giat Mara selepas puas merayu dengan Pengetua Giat Mara untuk terima dia ambik kelas jahitan kat situ dan beberapa bulan  selepas itu aku telah terputus hubungan dengan Rohayu. Kali terakhir aku berjumpa dengan dia sewaktu aku pergi menziarah dia  di Utara tanah air atas pelawaan dia untuk hadir melihat perniagaan dia. Boleh tahan besar juga kedai dia buka kat Utara tanahair.  Percutian aku ke sana hanyalah satu di samping memenuhi pelawaan dia, aku juga ingin mengakhiri segala2nya dengan keadaan yang baik agar tidak ada dendam antara aku dengan Rohayu

Alhamdulilah dia boleh urus hidup dia sekarang walaupun aku dengar-dengar cerita dari teman baiknya sendiri yang  hidup dia sekarang ditanggung oleh seorang lelaki  yang agak kaya, entahlah cerita ini betul atau tidak wallahuaklam dan  aku sendiri malas nak tahu tentang kesahihah cerita ini.  Terpulanglah itu hak dia untuk memilih yang mana baik dan buruk untuk hidup dia, kalau betul cerita ini apa salahnya kalau lelaki kaya itu betul-betul jujur pada rohayu  dan  ambik Rohayu sebagai isterinya yang sah di sisi agama dan dapat membimbing Rohayu kembali ke landasan Islam yang betul. Besar ganjaran pahalanya tu bro..heheh. Aku pula telah matikan niat aku untuk menulis tentang hidup Rohayu walaupun hampir 4 bab telah aku siapkan atas sebab-sebab tertentu.

                             

Itulah serba ringkas catatan "Aku dan GRO" yang sempat aku kongsikan di Blog ini. Buat Rohayu semoga hati dan jiwanya benar-benar  ikhlas dan kudus untuk berhijrah ke jalan agama dan jalan keredhaan Allah dan ditemukan dengan lelaki yang soleh dan baik yang dapat membimbingnya menjadi wanita Islam dalam erti kata sebenar. Bagi aku pulak cukuplah, aku  tak nak kenal lagi Rohayu kedua dalam hidup aku., aku ingin melupakan segala-galanya tentang Rohayu. Aku ingin kuburkan watak Rohayu dalam khazanah perkuburan kenangan hidup untuk aku. Biarlah hanya doa aku yang mengiringi perjalanan hidup dia. Cukuplah sekali aku terheret dalam kemelut hidup Rohayu bukan untuk kali kedua walaupun ia satu pengalaman yang amat mahal (Kembara Sufi)

Asal-usul Sufi


Konsep Tasawuf dari Kacamata Sufi






Pendahuluan
Tasawuf merupakan satu cabang ilmu keislaman yang sudah diakui kebenarannya. Dari segi penamaan, ia ternyata baru muncul dalam dunia Islam. Namun hakikatnya tasawuf itu sudahpun wujud di zaman Nabi s.a.w. dan lebih dikenali dengan nama ilmu ihsan, ilmu nafi`, ilmu batin atau ilmu di dalam hati (fi al-qalb). Nama tasawuf hanya mula muncul di zaman pengkelasan ilmu. Ilmu ini semakin hari semakin dipinggirkan, bahkan ia merupakan ilmu yang mula-mula akan pupus dari jiwa manusia. Mengenai ilmu ini `Ubadah bin Samit menjelaskan “sekiranya engkau ingin tahu, akan aku khabarkan kepadamu ilmu yang mula-mula diangkat dari manusia, iaitu al-khusyu`”. Tulisan ini akan menjelaskan mengenai ilmu tasawuf tersebut dengan memberikan tumpuan kepada konsep dan kedudukannya dalam Islam, cara mencapainya dan juga peranannya.

Beberapa Tanggapan Yang Kurang Tepat Mengenai Tasawuf
Tasawuf seringkali disalahfahami dan dijelaskan secara yang mengelirukan. Gambaran-gambaran yang diberikan terhadap tasawuf adakalanya bersifat menakutkan, sukar atau mustahil dicapai atau menyentuh sudut-sudut tertentu tasawuf itu. Hal ini selalunya terjadi apabila tasawuf itu dihuraikan oleh orang yang tidak berkeahlian serta tidak memiliki pengetahuan yang mencukupi mengenainya, atau orang yang sememangnya tidak menyukai tasawuf, atau mereka yang terpengaruh dengan ulasan-ulasan yang diberikan oleh pengkaji-pengkaji tasawuf semata-mata tanpa menyelami dan menghayatinya dari kalangan orang-orang Islam itu sendiri atau orientalis barat.

Antara gambaran yang selalu diberikan kepada tasawuf ialah semata-mata kemuliaan akhlak, tiada yang lain dari itu. Penelitian terhadap definisi tasawuf yang diberikan oleh para ulama mendapati bahawa di antara definisi itu ada yang menyentuh kemuliaan akhlak, namun tokoh yang sama juga ada memberikan definisi lain yang menyentuh sudut yang lain pula. Hal seperti ini selalu terjadi dalam tasawuf dan ini berdasarkan kepada kaedah yang diketahui umum di kalangan ahli tasawuf iaitu sesuatu jawaban itu adalah berdasarkan kepada situasi orang yang bertanya. Mengaitkan tasawuf dengan akhlak adalah betul, kerana tasawuf itu tidak dapat dipisahkan dari akhlak di mana ia merupakan buah atau hasilnya, tetapi menggambarkan tasawuf sebagai semata-mata akhlak adalah tidak tepat. Ini kerana kedapatan dari kalangan ahli falsafah yang menjuarai, membela dan memperjuangkan akhlak ini, namun mereka buka ahli sufi. Begitu juga ditemui orang-orang yang berakhlak mulia, tetapi mereka sendiri tidak beriman kepada Allah dan rasul-Nya.

Tasawuf juga selalu dikaitkan dengan kezuhudan yang merujuk kepada makna ketiadaan pemilikan atau membuang, menolak serta menjauhkan diri dari perkara-perkara keduniaan. Gambaran itu ternyata tidak tepat, meskipun ditemui definisi yang diberikan oleh sebahagian ulama tasawuf yang menyentuh sudut kezuhudan ini. Ternyata bahawa kezuhudan sebenar yang mereka maksudkan ialah kezuhudan jiwa. Ini kerana dari kalangan mereka ada yang merupakan golongan hartawan dan hidup kaya seperti Sayyiduna `Uthman ibn `Affan r.a. yang disifatkan oleh ahli tasawuf sebagai orang yang berada pada maqam tamkin. Kalaulah tasawuf itu memestikan seseorang itu membuang duniawi sehingga tidak memiliki apa-apa, bererti mereka itu tidak tergolong dalam golongan ahli tasawuf yang diakui. Adapun ahli tasawuf yang memilih hidup dalam suasana kezuhudan, mereka itu berbuat demikian kerana beberapa sebab, antaranya kerana mereka secara kebetulan merupakan orang-orang miskin, atau mereka sedang menjalani riyadah ruhaniyyah, atau kerana jiwa mereka sedang mengalami dhawq yang cenderung kepada gaya hidup zuhud.

Tasawuf juga selalu digambarkan sebagai peribadatan lahiriah, iaitu ahli tasawuf itu ialah orang yang menekuni ibadat khusus seperti solat, puasa, qiyam al-lail, zikir dan sebagainya, dan menghabiskan masa dengan ibadat itu sahaja tanpa memberikan tumpuan kepada perkara-perkara yang lain dari itu. Gambaran itu juga tidak tepat meskipun terdapat definisi tasawuf yang menyentuh sudut peribadatan ini. Sememangnya ahli tasawuf itu suka menekuni ibadat sebagai bukti pengabdian diri mereka terhadap Allah. Namun tidak semua dari kalangan ahli tasawuf itu yang kehidupan mereka bercorak peribadatan lahiriah semata-mata seperti yang terlihat pada gambaran kehidupan golongan `ubbad/nussak, bahkan ditemui dari kalangan ahli tasawuf itu yang selalu sibuk dengan pelbagai urusan kehidupan, seperti Sayyiduna Abu Bakr al-Siddiq r.a. yang disifatkan oleh ahli tasawuf sebagai orang yang terawal mengeluarkan ungkapan yang mengandungi isyarat sufi.

Selain itu tasawuf juga sering digambarkan sebagai kecenderungan dan usaha memperolehi kekeramatan yang merujuk kepada pengertian kejadian luar biasa. Menggambarkan tasawuf seperti ini ternyata tidak tepat dan mengelirukan sekalipun ia biasa terjadi di kalangan ahli tasawuf. Terjadi perkara-perkara yang menyalahi adat kebiasaan pada diri ahli tasawuf itu bukanlah satu kemestian bahkan perkara luar biasa juga boleh terjadi pada orang yang terlibat dengan kekufuran dan kesyirikan seperti pendita, petapa dan ahli sihir. Ahli tasawuf yang sebenar tidak memberikan tumpuan kepada perkara seperti itu, malah apa yang menjadi tumpuan mereka ialah kekeramatan ilmu, iman dan taqwa. Inilah pendirian para ulama tasawuf ternama seperti al-Qushayri, al-Tustari, al-Tusi, al-Shadhili, Ibn al-`Arabi dan lain-lain. Oleh itu memahami tasawuf sebagai usaha mencapai kejadian luar biasa adalah suatu kekeliruan.

Pengertian Tasawuf Menurut Ahlinya
Menggambarkan tasawuf dengan gambaran akhlak, kezuhudan, peribadatan dan kekeramatan lahiriah semata-mata seperti yang telah dijelaskan, ternyata tidak tepat dan tidak menggambarkan intipati serta gambaran menyeluruh tentang tasawuf itu. Pengertian sebenar tasawuf itu ialah pencapaian darjat ihsan yang digambarkan dalam hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”. Ternyata bahawa hakikat ihsan itu tercapai dengan dua perkara iaitu ibadah yang sempurna lagi berterusan dan kehadiran hati, kesedaran jiwa, serta penyaksian batin terhadap makna-makna ketuhanan (hakikat-hakikat tauhid) dalam ibadah tersebut. Penyaksian batin ini diistilahkan oleh ulama tasawuf sebagai muraqabah dan mushahadah dan ia mempunyai tingkatan-tingkatan yang tertentu. Pencapaian mushahadah inilah yang akan membuahkan berbagai ahwal dan maqamat dan dari sini jugalah timbulnya berbagai persoalan ilmu tasawuf.

Dengan kata lain, hakikat sebenar tasawuf itu ialah tercapainya kebersihan diri, zahir dan batin. Kebersihan zahir membawa maksud keterikatan anggota lahiriah manusia dengan peraturan atau hukum-hukum agama iaitu apa yang diistilahkan sebagai `ibadah. Kebersihan batin pula bermaksud kebersihan hati dari sifat-sifat tercela (takhalli) dan terhiasnya ia dengan sifat-sifat terpuji (tahalli) iaitu apa yang disebut sebagai `ubudiyyah. Manakala kemuncak kebersihan batin manusia itu ialah terbuangnya sesuatu yang lain dari Allah dari lubuk hati dan nyata kebenaran Allah di cermin hati itu (tajalli) iaitu apa yang dinamakan `ubudah. Kebersihan batin inilah yang membawa kepada tercapainya darjat ihsan seperti yang digambarkan dalam hadis. 

Pengertian tasawuf seperti inilah yang dapat dilihat pada definisi yang diberikan oleh Shaykh `Abd al-Qadir al-Jilani. Menurut beliau, tasawuf itu ialah pembersihan hati (tasfiyah) dari sesuatu yang lain dari Allah. Menurut beliau, tasawuf itu diambil dari perkataan safa (musafat) iaitu bermaksud orang yang Allah bersihkan batinnya. Pengertian ini jugalah yang ditemui pada definisi tasawuf yang dikemukakan oleh Shaykh Abu Bakr al-Kattani. Menurut beliau, tasawuf itu ialah kejernihan hati (safa’) dan penyaksian batin (mushahadah). Shaykh Ahmad Zaruq pula menjelaskan bahawa tasawuf telah dihurai, ditafsir dan didefinisikan sejumlah hampir dua ribu, semua itu terhimpun pada satu pengertian sahaja iaitu benarnya tawajjuh hati kepada Allah. Permulaan tawajjuh hati itu ialah terhasilnya intibah (kesedaran jiwa) yang membawa kepada taubah yang benar. Pertengahannya ialah merasai ahwal dan mencapai maqamat. Kesudahannya pula ialah tertumpu pandangan hati hanya kepada Allah semata-mata, tidak kepada yang lain dari-Nya. Di sinilah terhasilnya mushahadah dan inilah kemuncak ihsan.

Kedudukan Tasawuf Dalam Islam
Tasawuf adalah maqam ihsan. Ia merupakan sebahagian dari tiga bahagian utama agama iaitu islam, iman dan ihsan. Ketiga-tiga rukun agama ini dapat dilihat dengan jelas dalam hadis Jibril a.s. Ketika Jibril a.s. datang menemui Nabi s.a.w. dalam rupa seseorang yang tidak pernah dikenali oleh para sahabat, beliau telah mengemukakan beberapa pertanyaan mengenai Iman, Islam dan Ihsan. Pertanyaan itu sebenarnya merupakan suatu perkhabaran iaitu bertujuan mengkhabarkan kepada umat tentang rukun-rukun agama. Perkara ini dapat dilihat di mana Nabi s.a.w. menjelaskan bahawa “ Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan kepada kamu tentang agama kamu”.

Dari penjelasan Nabi s.a.w. terhadap pertanyaan Jibril jelas menunjukkan bahawa Islam itu merujuk kepada amalan lahiriah iaitu perlaksanaan terhadap perintah-perintah agama yang berpaksi pada lima rukun utamanya iaitu shahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Iman pula merujuk kepada keyakinan hati terhadap rukun-rukun iman yang berpaksi pada enam rukun utamanya itu kepercayaan kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari akhirat dan qada’ serta qadar. Manakala ihsan pula merujuk kepada amalan batin manusia iaitu penyaksiaan hati terhadap hadrat ilahi. Oleh itu islam melibatkan anggota lahiriah manusia, iman pula melibatkan anggota dalaman manusia iaitu hati, manakala ihsan pula merupakan gerak jiwa manusia.

Iman itu boleh diumpamakan sebagai tapak binaan, islam itu sebagai binaan asas, dan ihsan itu pula ialah pelengkap, penyempurna dan penyeri binaan. Tanpa iman, binaan tidak akan terbina kerana ketiadaan tapak. Tanpa islam, bererti hanya memiliki tapak tanpa ada binaan. Tanpa ihsan, bererti hanya memiliki tapak dan binaan asas tanpa pelengkap dan penghiasnya. Kesempurnaan hanya tercapai dengan ketiga-tiga perkara itu. Memiliki tapak semata-mata tanpa ada bangunan menjadikan seseorang itu merasai keperitan kepanasan matahari dan kesejukan hujan.

Demikian juga orang yang hanya beriman tanpa melaksanakan tuntutan islam akan diazab di akhirat sekiranya dosa-dosanya itu tidak diampunkan Allah, namun kesudahannya dia tetap ke syurga juga kerana keimanannya itu. Memiliki tapak dan binaan asas pula menjadikan seseorang itu dapat berteduh namun tempat berteduhnya itu tidak sempurna kerana tidak memiliki kelengkapan dan hiasan, malahan seringkali terdedah kepada kecurian. Demikian juga orang yang beriman dan melaksanakan tuntutan islam tetapi tidak berihsan, amalan yang dilakukan itu kurang sempurna malahan kadang-kadang amalan tersebut tidak diterima dan mengundang kemurkaan Allah. Perkara seumpama inilah yang dapat dilihat pada firman Allah yang bermaksud “celakalah bagi orang yang bersolat”.

Tasawuf sebenarnya merupakan saripati atau jiwa agama. Dengannya agama itu dapat dirasai kebenaran dan kemurniannya. Ia merupakan penyempurna kepada agama itu sendiri di mana ia memberikan nilaian tambahan terhadap keimanan dan keislaman. Dalam hal ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “iman yang paling utama ialah bahawa engkau mengetahui bahawa Allah itu menyaksikan engkau di mana sahaja engkau berada”. Hadis ini menunjukkan bahawa iman itu mempunyai tingkatan yang berbeza, dan tingkatan iman yang paling utama ialah iman yang didasari atas pengetahuan dan penyaksian terhadap hakikat tilikan Allah serta taklukan sifat-sifat-Nya terhadap diri manusia. Inilah yang dikatakan ihsan seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. yang bermaksud “ihsan itu ialah engkau beribadah kepada Allah seolah-olahnya engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya Dia melihat engkau”.

Cara Mencapai Tasawuf
Menurut Imam al-Ghazali, setiap maqam agama itu seperti taubat, sabar, syukur, reda, tawakkal dan sebagainya, adalah terdiri dari tiga perkara iaitu ilmu, amal dan hal (nur). Dengan ketiga-tiga perkara inilah tercapainya kesempurnaan maqam agama itu. Hal atau nur inilah merupakan intipati ilmu tasawuf. Ilmu diperolehi menerusi pengkajian dan pembelajaran dan ilmu itu pula menghendaki pengamalan. Amal yang jujur, bersungguh-sungguh, istiqamah dan berdasarkan ilmu itulah yang akan membuahkan hal. Oleh itu tasawuf dicapai menerusi ilmu dan amal. Perkara ini dapat dilihat pertunjuknya dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an, antaranya ialah firman Allah yang bermaksud “dan orang-orang yang bermujahadah pada jalan Kami (Allah), pasti Kami (Allah) akan tunjukkan (hidayat) kepada mereka jalan-jalan Kami (Allah)”, firman Allah yang bermaksud “wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia (Allah) akan menjadikan untuk kamu pemisah (furqan iaitu nur yang memisahkan antara haq dan batil)”, dan ayat-ayat lain lagi.

Adapun amal yang menghasilkan tasawuf itu ialah amal yang berfungsi membersih dan mentawajjuhkan hati kepada Allah iaitu apa yang diistilahkan sebagai mujahadah dan riyadah. Amalan, tata-cara, adab-adab serta tunjuk-ajar dalam melaksanakan mujahadah dan riyadah inilah yang dinamakan tarekat. Mengenai amal tarekat ini, ulama tasawuf menjelaskan bahawa tarekat itu ialah engkau mengqasadkan hatimu kepada-Nya. Iaitu bermaksud, tarekat itu ialah berusaha sedaya upaya mentawajjuh dan menumpukan tumpuan hati kepada Allah menerusi amalan yang dilaksanakan. Apabila tawajjuh hati mula dicapai dan dirasai serta menjadi semakin kuat dan teguh, ia akan membawa kepada penyaksian batin (mushahadah) terhadap hakikat-hakikat tauhid iaitu apa yang disebut hakikat. Mengenai hakikat ini ulama tasawuf menjelaskan bahawa hakikat itu ialah engkau menyaksikan-Nya.

Intipati dari semua amal mujahadah dan riyadah yang membawa kepada tercapainya tasawuf itu ialah zikir. Menurut Ibn Qayyim, semua amal itu disyariatkan adalah untuk melaksanakan dhikrullah, iaitu apa yang dimaksudkan dengan amal-amal itu ialah dhikrullah. Menurut beliau lagi, tidak ada jalan untuk mendapatkan ahwal dan ma`rifah itu kecuali menerusi zikir. Zikir sebagai amal penting dalam riyadah dan mujahadah ini dapat dilihat kebenarannya dalam banyak pertunjuk Nabi s.a.w. kepada para sahabat r.a. Dalam satu riwayat, Nabi s.a.w. ada menganjurkan para sahabat supaya memperbaharui iman. Mereka bertanya tentang cara bagaimana iman itu dapat diperbaharui. Nabi s.a.w. menjelaskan dengan sabda baginda yang bermaksud “perbanyakkan menyebut La ilaha illallah”. Memperbaharui iman itu bukan bermaksud menambah kepercayaan-kepercayaan baru, tetapi bermaksud memperteguh, memperdalam dan memperhalusi keyakinan sehingga hakikat-hakikat tauhid yang diimani dapat disaksikan kebenarannya oleh matahati. Caranya ialah selalu mengulangi kalimat tauhid sehingga ia tertanam teguh dalam hati sanubari.

Dalam riwayat yang lain, Nabi s.a.w. pernah mentalqinkan kalimat tauhid ini kepada sekumpulan sahabat. Shaddad ibn Aus meriwayatkan bahawa kami berada di sisi Nabi s.a.w. ketika baginda bersabda “angkatkan tangan-tangan kamu, lalu katakanlah La ilaha illallah”.

Kesan-Kesan Tasawuf
Tasawuf selalu dilihat sebagai sesuatu yang bersifat peribadi. Memang benar tasawuf itu bersifat peribadi kalau ia dilihat dari segi intipati atau hakikat tasawuf itu. Namun tasawuf itu mempunyai kaitan rapat dengan perkara-perkara lain yang tidak dapat dipisahkan dan mempunyai natijah serta kesan yang tertentu hasil dari pencapaiannya. Secara umumnya, pencapaian tasawuf itu akan mewujudkan, memperteguhkan dan mengharmonikan dua bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah sebagai pencipta dan pentadbir alam ini dan hubungan dengan manusia sebagai penghuni dan pemakmur dunia ini.

Hakikat ini dapat diperhatikan kenyataannya dalam satu riwayat di mana Nabi s.a.w. pernah ditanya oleh para sahabat mengenai orang yang paling afdal dan tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat. Nabi s.a.w. menjawab “iaitu orang-orang yang banyak zikirnya terhadap Allah”. Ternyata bahawa zikir yang merupakan kekunci penting dalam usaha mencapai tasawuf itu menjadi ciri utama bagi orang yang dikira sebagai paling utama dan tinggi darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat. Dengan tercapainya tasawuf itu akan membuahkan berbagai ahwal, maqamat dan amalan yang dengannya seseorang itu mendapat kemuliaan dan mencapai ketinggian darjat di dunia dan juga di sisi Allah. 


Antara kesan-kesan tasawuf itu ialah:

1-Memperteguhkan keimanan dan membina jatidiri muslim.

Tasawuf berfungsi memperteguhkan keimanan dan keyakinan serta menetapkan pendirian seseorang muslim. Apabila batin manusia bersih dari kekotoran sifat-sifat yang tercela dan dari kecintaan terhadap sesuatu yang lain dari Allah, akan terpancarlah (tajalli) cahaya kebenaran ilahi di dalam hati. Kesannya manusia dapat menyaksikan hakikat kebenaran Allah dan kepalsuan sesuatu yang lain dari-Nya dengan terang dan nyata. Inilah nur yang disebut dalam firman Allah yang bermaksud “maka sesiapa yang dilapangkan Allah dadanya untuk Islam, maka dia itulah orang yang berada di atas cahaya (nur) dari Tuhannya”. Mengenai nur ini Nabi s.a.w. menjelaskan “bahawa nur itu, apabila memasuki hati, ia akan menjadi luas dan lapang (terbuka hijab)”. Iaitu hati yang terhijab dengan pelbagai hijab rohani sehingga ia terhalang dari menyaksikan kebenaran Allah, apabila ia disinari dengan nur ilahi, akan tersingkaplah hijab-hijab tersebut lalu ia dapat menyaksikan kebenaran ilahi.

Nur tersebut membawa kepada peningkatan darjat keimanan dan keyakinan hati serta memperteguhkan pendirian. Dalam keadaan ini, hati manusia tidak lagi dipengaruhi oleh sebab musabab, tidak merasa bimbang dan takut terhadapnya serta tidak lagi meletakkan pergantungan hati terhadapnya. Dia tidak merasa gelisah terhadap sumber-sumber rezeki, persoalan hidup atau mati, susah atau senang, kaya atau miskin, untung atau rugi, dapat atau tidak, menang atau kalah dan sebagainya lagi. Ini kerana hatinya telah menyaksikan dengan terang dan nyata kebenaran kewujudan Allah dan adanya ketentuan (qada’ dan qadar) dari-Nya terhadap semua makhluk-Nya. Dia berkeyakinan penuh bahawa tidak akan terjadi sesuatu itu kecuali dengan kekuasaan, kehendak, ketentuan dan keizinan dari-Nya. Inilah kewalian yang sebenar-benarnya seperti yang digambarkan dalam firman Allah yang bermaksud “ketahuilah bahawa wali-wali Allah itu tidak ada ketakutan ke atas mereka dan mereka itu tidak berduka cita”.

Inilah tingkatan iman yang utama iaitu iman yang didasari penyaksian batin terhadap kebenaran ketuhanan Allah. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “iman yang paling afdal ialah bahawa engkau mengetahui (dengan yakin) bahawa Allah menyaksikan dirimu di mana saja engkau berada”. Di sinilah letaknya jati diri seseorang mukmin. Allah memperteguhkan orang mukmin itu dengan keyakinan ini. Dalam al-Qur’an dijelaskan bahawa “Allah memperteguhkan orang-orang yang beriman dengan kata-kata yang teguh”. Menurut ahli tafsir, kata-kata yang teguh itu ialah kalimat tauhid (La ilaha illallah), iaitu kalimat iman dan taqwa.

2-Menimbulkan kesedaran jiwa

Intipati tasawuf itu ialah benarnya tawajjuh hati ke hadrat ilahi. Permulaan tawajjuh hati itu ialah timbulnya kesedaran jiwa (intibah). Seseorang yang mengalami intibah itu akan menyedari kelemahan, kekurangan dan kesilapan dirinya. Kesedaran inilah yang akan membawa kepada taubat dan usaha memperbaiki dan menyempurnakan diri. Kesedaran ini jugalah yang membangkitkan usaha gigih dalam meningkatkan dan memartabatkan diri. Isyarat ini dapat dilihat dalam al-Qur’an di mana Allah berfirman yang bermaksud “dan orang-orang yang apabila mereka melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri lalu mereka mengingati Allah, lantas mereka beristighfar terhadap dosa-dosa mereka, dan tiadalah yang mengampunkan dosa-dosa itu melainkan Allah, dan mereka itu tidak berlarutan dalam melakukan apa yang telah mereka lakukan sedangkan mereka mengetahuinya”.

3-Membina keperibadian dan akhlak mulia. 

Tasawuf itu dari satu sudut ialah pencapaian akhlak mulia. Akhlak tidak dapat dipisahkan dari tasawuf di mana akhlak itu adalah merupakan buah atau hasil dari tasawuf. Pencapaian tasawuf membawa kepada pembentukan akhlak mulia. Mengenai akhlak ini, Abu Bakr al-Kattani menjelaskan bahawa “tasawuf itu ialah akhlak, sesiapa yang menambahkan akhlakmu, maka sesungguhnya dia telah menambahkan kesufianmu”. Hakikat ini sesuai dengan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud “orang-orang mukmin yang paling sempurna iman ialah mereka yang paling baik akhlak”
Apabila seseorang itu mula merasai hakikat tasawuf dengan sendirinya dia akan berakhlak mulia, kerana pencapaian hakikat tasawuf itu membawa kepada kelembutan hati. Kelembutan hati itulah yang melahirkan berbagai akhlak mulia. Oleh itu semakin tinggi tahap kesufian seseorang itu maka semakin mulia akhlaknya. Nabi s.a.w yang merupakan imam ahli tasawuf adalah diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia sebagaimana sabda baginda yang bermaksud “sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.

4-Membentuk insan yang bertanggungjawab

Tasawuf itu dari satu dimensi ialah merasai hakikat iman dan mencapai martabat ihsan. Sekurang-kurang martabat ihsan itu ialah seseorang itu merasai dan menyedari bahawa dirinya sentiasa dalam tilikan dan pandangan Allah. Kesedaran inilah yang akan menjadikan seseorang itu merasa bertanggungjawab. Orang yang mengalami kesedaran ini akan merasai bahawa dirinya akan dipersoalkan di hadapan Allah mengenai tanggungjawabnya terhadap dirinya, keluarganya dan juga masyarakatnya. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “perumpamaan orang-orang yang beriman dalam perkara kasih sayang, rahmat merahmati, dan belas kasihan sesama mereka adalah seumpama satu tubuh, apabila satu anggota mengadu kesakitan maka seluruh anggota yang lain akan merasainya dengan tidak dapat tidur malam dan demam”.
Dalam satu riwayat, Nabi s.a.w. ada menjelaskan bahawa “iman itu ada lebih dari enam puluh tiga cabang, yang paling tinggi ialah ucapan La ilaha illallah, yang paling rendah ialah membuang sesuatu yang menyakiti di jalanan, dan sifat malu merupakan salah satu cabang iman”. 

Kemantapan dan kemurnian iman hasil dari pencapaian tasawuf akan menimbulkan rasa prihatin dan tanggungjawab terhadap orang lain. Timbulnya dorongan untuk tidak menyakitkan orang lain dan membuang sesuatu yang boleh menyakitkan mereka seperti yang disebut dalam hadis adalah merupakan hasil dari kemurnian jiwa atau tercapainya tasawuf.

5-Mewujudkan persaudaraan, perpaduan, dan sifat rahmat sesama manusia

Tasawuf itu dari satu sudut merupakan peningkatan tahap keimanan dan kesempurnaannya. Apabila tasawuf itu dicapai dan dirasai hakikatnya ia akan menimbulkan suatu keadaan kejiwaan di mana seseorang itu merasa kasih dan bertanggungjawab terhadap semua manusia dan juga makhluk-makhluk lain. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “tidak beriman seseorang kamu itu sehinggalah dia mengasihi untuk saudaranya apa yang dikasihinya untuk dirinya sendiri”. Demikian juga Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud “orang mukmin terhadap orang mukmin yang lain adalah seumpama binaan di mana sebahagiannya memperteguhkan sebahagian yang lain”.

Penutup
Dari penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa tasawuf itu sebenarnya merupakan pencapaian martabat ihsan yang merupakan jiwa agama. Ia adalah satu dari tiga tunggak utama agama Islam. Pencapaian martabat ini bukan sahaja memperteguhkan hubungan seseorang itu dengan Tuhannya dalam bentuk peningkatan nilai keimanan, ibadah dan akhlak, malah juga hubungannya dengan sesama manusia dalam bentuk kewujudan rasa hormat menghormati, tanggungjawab dan keharmonian muamalah.

#Artikel ini disunting balik oleh penulis kembara Sufi daripada Kertas Kerja Prof Dr Abdul Manam bin Mohamad Al-Merbawi dari Universiti Darul Iman Malaysia.

Kelebihan Istigfar yang Sering dipandang Remeh


 

Selalu sahaja kita dianjurkan untuk beristighfar jika melakukan sesuatu kesalahan. Cukuplah sekadar lafaz Astaghfirullah, dan kemudian kita melalui kehidupan seperti biasa. Itulah hakikatnya makna yang tersirat istighfar bagi orang-orang yang lalai. Hanya sekadar lafaz tanpa mendalami makna Istighfar tersebut. Ma maqna Istighfar? Yakni memohon keampunan daripada Allah Azza Wajalla dan ia dilakukan bagi pembersihan dari segala dosa dan kesalahan.

Sesungguhnya, keampunan itu adalah untuk memelihara diri daripada keburukan dosa-dosa yang dilakukan. Menurut segolongan ulama, “Setiap doa yang memohon keampunan Allah, maka ia adalah istighfar”

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 199:
“Dan kamu mohonlah keampunan daripada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Tahukah kita akan keajaiban disebalik istighfar itu?
“Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi Daud)

Hadis di atas jelas nyata menunjukkan tuhan memberi rahmat kepada yang mereka yang suka beristighfar. Selain dari beristighfar dari melakukan dosa, ianya zikir untuk yang paling cukup bermakna, untuk mengingatkan kita agar tidak terjebak dari melakukan dosa. Sedangkan Nabi juga sentiasa beristighfar  seperti dalam hadis ini :
Ibnu Umar menceritakan, kami pernah bersama-sama dengan Rasulullah dan kami mendengar Rasulullah mengulang-ulang membaca sebanyak 100 kali doa yang berbunyi: “Ya Allah ampunilah aku dan terimalah taubat ku, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih.” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Turmidzi dan Ibnu Majah, disahihkan oleh Imam Turmidzi)

Nabi yang maksum yang terpelihara dari segala dosa pun sentiasa melafazkan taubat, sedangkan kita yang sukar dari melarikan diri untuk tidak berbuat dosa amat sukar untuk melafazkan istighfar. Sedarkah kita, segala kesulitan yang kita terima adalah hasil dosa-dosa yang kita lakukan, hanya taubat dapat mengatasi rasa sulit tersebut.

Terdapat dua jenis musibah, yakni musibah yang menguji benteng keimanan kita, atau musibah untuk memberi balasan atas dosa-dosa yang kita lakukan. Jika menguji benteng keimanan kita, itu bermakna tuhan sayang kita, dan kepadaNya kita berserah, memohon keredhaan. Kerana kita akan sentiasa di uji, tidak kira masa, seperti mana firman Allah :
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman”, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya ALLAH mengetahui yang manakah orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui siapakah orang yang dusta.”(Surah al-Ankabut: 2-3)

Tetapi bagi Musibah azab, inilah yang paling dahsyat, jika kita belum sempat bertaubat, maka yang menanti kita di alam lain hanyalah seksaan dariNya. Tetapi bagi mereka yang sentiasa beristighfar, Allah sama sekali tidak memberi musibah berbentuk azab, seperti mana firmanNya:
“Dan Allah tidak sesekali mengazab mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah pula Allah akan mengazab mereka sedang mereka meminta ampun.” (Surah Al-Anfal, ayat 33).




Tahukah kita kelebihan yang terbesar di dalam istighfar? Mari kita hayati terlebih dahulu maksud-maksud firman Allah.
“Maka aku (Nuh) katakan kepada mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan anak-anak kamu, mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” (Surah Nuh ayat, ayat 10-12).

“Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (Surah Ali Imran, ayat 135-136).

“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan yang baik (secara terus menerus) kepada kamu.” (Surah Hud, ayat 3)

Demikian telah jelas dan nyata, bahawa dengan bertaubat, insyaAllah akan dikurniakan rahmat dariNya. Kita lihat kembali hadis sebelum ini :
“Daripada Ibni Abbas Radiallahu Anhuma, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Sesiapa yang selalu beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberi rezeki tanpa diduga olehnya”. (Riwayat Al-Imam Abi Daud).



InsyaAllah, makbul doa kita jika sentiasa terus menerus beristighfar kepadanya. Untuk merungkaikan kefahaman kelebihan istighfar, lihat sahaja kisah mengenai Ahmad bin Muhammad bin Hanbal Abu ‘Abd Allah al-Shayban yang cukup terkenal dengan nama mazhabnya, iaitu mazhab Hanbali.

Suatu ketika itu, Imam Ahmad singgah di sebuah tempat yang kebanyakan mereka tidak mengenalinya (kurangnya teknologi ketika itu). keadaan sudah larut malam dan Imam Ahmad merasa letih dan ingin tidur didalam sebuah masjid. Tapi niatnya tidak kesampaian kerana penjaga masjid tersebut melarang Imam Ahmad untuk tidur di masjid. Imam Ahmad kemudian bertanya kepada penjaga tersebut sama ada dia dibenarkan untuk tidur di luar masjid, penjaga itu melarangnya. Imam Ahmad bertanya lagi jika dia tidak tidur, tetapi hanya berdiri di perkarangan masjid, penjaga itu melarangnya lagi. Penjaga itu kemudian menolak Imam Ahmad dari masjid tersebut.

Seorang pembuat roti ternampak kelakuan antara Imam Ahmad dan penjaga masjid tersebut. Setelah jelas akan situasi Imam Ahmad, maka si pembuat roti mempelawa Imam Ahmad untuk bermalam sahaja dirumahnya. Imam Ahmad menerima pelawaan tersebut.

Ketika Imam Ahmad hendak tidur, dia terdengar zikir istighfar dari si pembuat roti yang sedang sibuk membuat rotinya. Imam Ahmad mendengarkan zikir itu sehingga boleh dikatakan si pembuat roti itu berzikir istighfar sepanjang malam.

Paginya Imam Ahmad bertanya kepada si pembuat roti mengapa dia beristighfar. maka si pembuat roti menjawab, “Setakat ini segala doa saya dikabulkan Allah melainkan satu perkara sahaja belum lagi”.

Imam Ahmad bertanya “Apakah doa kamu yang belum di perkenankan oleh Allah itu?.

Jawab lelaki itu ” Saya berdoa agar dipertemukan dengan Imam Ahmad bin Hanbal”

Maka kata Imam Ahmad : ” Saya lah orangnya, Akulah Imam Ahmad Bin Hanbal, demi Allah, sesungguhnya aku telah diseret untuk menuju kepadamu.”

Lihat sahaja betapa agungnya kuasa Allah memakbulkan doa si pembuat roti itu untuk menemukan dia dengan Imam Ahmad. Berkat Istighfar yang sentiasa dilakukan dengan hati yang ikhlas, tuhan telah memakbulkan doa si pembuat roti tersebut. Nyata kelebihan Istighfar begitu besar buat kita, dan ikhlaskan hati kita untuk beristighfar kepadaNya, insyaAllah, Allah itu Maha Pengampun dan Maha

Doa Kalbu

Allah Maha Pengampun-"La Tahzan" (Dr Aidh Al Qarni)

La Tah Zan (Jangan Bersedih)


Orang pernah bertanya kepada saya tentang kehidupan kenapa kehidupan ini terlalu payah. Saya bersetuju kepada pertanyaan orang itu, kehidupan ini memang payah, kadang-kadang semua apa yang kita rancang untuk hidup kita tidak menjadi. Sering saja menemui kegagalan.

Ada yang menceburi perniagaan tapi gagal sehingga menanggung kerugian yang banyak dan ada juga sehingga muflis kerana apa yang dirancang dalam perniagaan menemui kegagalan.  Ada juga yang menganggur sekian lama kerana gagal mendapat pekerjaan. Sudah puas pergi temuduga di syarikat-syarikat tapi tetap gagal untuk mendapat pekerjaan. Ada yang kecewa dalam percintaan sehingga merana hidup kerana kecewa, pendek kata macam-macam manusia akan tempuhi ujian dan dugaan selagi nyawa di kandung badan.

Kenapa ini semua berlaku??? kerana itulah sunatullah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t bahawa kehidupan dunia ini adalah satu ujian untuk makhluk yang bernama manusia.  Hakikatnya manusia atau insan itu apabila jiwa dia sentiasa dengan Allah, hatinya sentiasa dengan Allah, insan itu akan mampu menghadapi dugaan dan ujian hidup ini dengan tenang dan mudah sekali kerana dia yakin Allah sentiasa ada bersama dengan hambanya. Yakinlah hanya mereka yang tidak ada hubungan dengan Allah sahaja akan sentiasa gusar, rungsing, kecewa dan sedih dengan setiap ujian dan dugaan kehidupan yang dihadapi olehnya.

Mereka akan teraba-raba dalam kehidupan ini untuk mencari tempat bergantung sedangkan mereka lupa bahawa hanya pada Allah s.w.t sahaja merupakan pergantungan kita yang mutlak.  Tidaklah kehidupan dunia ini hanyalah sia-sia dan main-main sahaja bagi orang yang tidak putus hubungan dengan Allah s.w.t

                                              

Kadang-kadang kita salah tanggap tentang kehidupan. Kita ingat orang yang kaya raya dengan jawatan yang besar dan harta berjuta-juta itu lebih bahagia dari kita tapi hakikatnya ada juga di kalangan mereka yang hidup berserabut, hidup dalam keadaan kacau bilau walaupun rumah mereka besar dan kereta mereka besar dari kita. Saya ada mengenali seorang pemuda yang merupakan seorang  jemaah Masjid di tempat kediaman saya. Dari raut wajahnya saya tahu pemuda itu bukanlah anak orang kaya atau punyai kerjaya yang hebat. Datang  berjemaah di Masjid pun naik basikal yang buruk.

Tapi saya lihat pemuda ini begitu ringan tangan dalam menolong apa jua aktiviti yang diadakan di Masjid. Apa yang saya kagum dengan pemuda ini sekiranya tidak ada kuliah  selepas solat Maghrib berjemaah , pemuda ini akan membetulkan kedudukan sejadah yang tak betul pada Saf depan hingga Saf belakang dalam masjid itu.

 Benda yang simple tapi besar ganjarannya di sisi Allah s.w.t. Air muka pemuda itu penuh dengan kejernihan,  saya yang melihat mukanya juga akan merasa tenang. Pemuda itu sentiasa ramah dengan senyuman kepada semua jemaah masjid.  Itulah hakikatnya, soal untuk mendapat kebahagiaan dan ketenangan/Sakinah adalah hak mutlak Allah s.w.t.

Apabila Allah mencampak rahmatnya kepada seseorang itu dengan cara yang dikehendakinya pasti kehidupan ini akan mudah. Oleh itu ucapkan "Lah Tah Zan" (Jangan Bersedih). Janganlah kita bersedih sangat dengan kehidupan ini kalau tengok orang lebih sikit dari kita atau hidup mereka mudah. Kita nampak jer mereka lebih atau mudah, kita tak tahu takut-takut hidup mereka lebih menderita dari kita. Tapi apabila kita ada Allah, kita ingat Allah, kita sentiasa rasa ada hubungan dengan Allah, dunia ini adalah kecil sahaja, dunia ni  mudah sangat.

Di kalangan ulama salaf, mereka sentiasa rasa mereka kaya kerana mereka ada TUAN yang cukup kaya iaitu pemilik dunia dan pemilik khazanah dunia ini, Allah Azzawajalla.  Mereka yakin Allah sentiasa memberi pada mereka dengan cara yang dikehendaki oleh Allah azzawajalla.

Kalau kita tengok tidak ada lagi sorang hamba pun apabila menadah tangan dengan melafazkan "Ya Rabb", seseorang yang sujud padaNYA, Allah biarkan dia mati dalam kelaparan kerana firman Allah " Aku bersama sangkaan hambaku terhadapku". Jadi apabila kita berdoa, kita yakinlah Allah terima doa kita dengan cara yang dikehendakiNYA. Mungkin kita rasa Allah tidak terima doa kita tapi pada hari kita mintak sehingga sekarang berapa ratus masalah yang telah dapat kita diselasaikan tanpa kita sedari pada waktu  kita berdoa.

                                   


Masalahnya manusia ni "Wakana' insan A'julla" (Manusia ni gopoh, tidak sabar). Kita kalau kita berdoa pada Allah,kita nak  Allah makbul terus doa kita.. Tidak mustahil kerana Allah berkuasa untuk memakbulkan doa setiap hamba-hambanya dengan serta merta tapi kadang-kadang tu Allah nak asuh kita, Allah nak didik kita. Allah mahu kita datang padaNya dengan keadaan Tawaduk, Qhuduk, Mutadaraq, dengan penuh rasa hinanya kita. Apabila kita sujud dalam keadaan menangis, betul penuh pengharapan dan penggantungan yang mutlak, insya Allah doa kita akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t

Hamka pernah berkata"Allah bukan tidak memakbulkan doa kita tapi Allah mahu kita benar-benar tunduk pada kekuasaan dan keagunganNya, sebelum DIA memakbulkan doa kita". Kehidupan ini adalah satu keajaiban. Semoga Allah sentiada membimbing hidup kita. Insya Allah.....Kembara Sufi