Rumah

Friday, June 10, 2011

La Tah Zan (Jangan Bersedih)


Orang pernah bertanya kepada saya tentang kehidupan kenapa kehidupan ini terlalu payah. Saya bersetuju kepada pertanyaan orang itu, kehidupan ini memang payah, kadang-kadang semua apa yang kita rancang untuk hidup kita tidak menjadi. Sering saja menemui kegagalan.

Ada yang menceburi perniagaan tapi gagal sehingga menanggung kerugian yang banyak dan ada juga sehingga muflis kerana apa yang dirancang dalam perniagaan menemui kegagalan.  Ada juga yang menganggur sekian lama kerana gagal mendapat pekerjaan. Sudah puas pergi temuduga di syarikat-syarikat tapi tetap gagal untuk mendapat pekerjaan. Ada yang kecewa dalam percintaan sehingga merana hidup kerana kecewa, pendek kata macam-macam manusia akan tempuhi ujian dan dugaan selagi nyawa di kandung badan.

Kenapa ini semua berlaku??? kerana itulah sunatullah yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t bahawa kehidupan dunia ini adalah satu ujian untuk makhluk yang bernama manusia.  Hakikatnya manusia atau insan itu apabila jiwa dia sentiasa dengan Allah, hatinya sentiasa dengan Allah, insan itu akan mampu menghadapi dugaan dan ujian hidup ini dengan tenang dan mudah sekali kerana dia yakin Allah sentiasa ada bersama dengan hambanya. Yakinlah hanya mereka yang tidak ada hubungan dengan Allah sahaja akan sentiasa gusar, rungsing, kecewa dan sedih dengan setiap ujian dan dugaan kehidupan yang dihadapi olehnya.

Mereka akan teraba-raba dalam kehidupan ini untuk mencari tempat bergantung sedangkan mereka lupa bahawa hanya pada Allah s.w.t sahaja merupakan pergantungan kita yang mutlak.  Tidaklah kehidupan dunia ini hanyalah sia-sia dan main-main sahaja bagi orang yang tidak putus hubungan dengan Allah s.w.t

                                              

Kadang-kadang kita salah tanggap tentang kehidupan. Kita ingat orang yang kaya raya dengan jawatan yang besar dan harta berjuta-juta itu lebih bahagia dari kita tapi hakikatnya ada juga di kalangan mereka yang hidup berserabut, hidup dalam keadaan kacau bilau walaupun rumah mereka besar dan kereta mereka besar dari kita. Saya ada mengenali seorang pemuda yang merupakan seorang  jemaah Masjid di tempat kediaman saya. Dari raut wajahnya saya tahu pemuda itu bukanlah anak orang kaya atau punyai kerjaya yang hebat. Datang  berjemaah di Masjid pun naik basikal yang buruk.

Tapi saya lihat pemuda ini begitu ringan tangan dalam menolong apa jua aktiviti yang diadakan di Masjid. Apa yang saya kagum dengan pemuda ini sekiranya tidak ada kuliah  selepas solat Maghrib berjemaah , pemuda ini akan membetulkan kedudukan sejadah yang tak betul pada Saf depan hingga Saf belakang dalam masjid itu.

 Benda yang simple tapi besar ganjarannya di sisi Allah s.w.t. Air muka pemuda itu penuh dengan kejernihan,  saya yang melihat mukanya juga akan merasa tenang. Pemuda itu sentiasa ramah dengan senyuman kepada semua jemaah masjid.  Itulah hakikatnya, soal untuk mendapat kebahagiaan dan ketenangan/Sakinah adalah hak mutlak Allah s.w.t.

Apabila Allah mencampak rahmatnya kepada seseorang itu dengan cara yang dikehendakinya pasti kehidupan ini akan mudah. Oleh itu ucapkan "Lah Tah Zan" (Jangan Bersedih). Janganlah kita bersedih sangat dengan kehidupan ini kalau tengok orang lebih sikit dari kita atau hidup mereka mudah. Kita nampak jer mereka lebih atau mudah, kita tak tahu takut-takut hidup mereka lebih menderita dari kita. Tapi apabila kita ada Allah, kita ingat Allah, kita sentiasa rasa ada hubungan dengan Allah, dunia ini adalah kecil sahaja, dunia ni  mudah sangat.

Di kalangan ulama salaf, mereka sentiasa rasa mereka kaya kerana mereka ada TUAN yang cukup kaya iaitu pemilik dunia dan pemilik khazanah dunia ini, Allah Azzawajalla.  Mereka yakin Allah sentiasa memberi pada mereka dengan cara yang dikehendaki oleh Allah azzawajalla.

Kalau kita tengok tidak ada lagi sorang hamba pun apabila menadah tangan dengan melafazkan "Ya Rabb", seseorang yang sujud padaNYA, Allah biarkan dia mati dalam kelaparan kerana firman Allah " Aku bersama sangkaan hambaku terhadapku". Jadi apabila kita berdoa, kita yakinlah Allah terima doa kita dengan cara yang dikehendakiNYA. Mungkin kita rasa Allah tidak terima doa kita tapi pada hari kita mintak sehingga sekarang berapa ratus masalah yang telah dapat kita diselasaikan tanpa kita sedari pada waktu  kita berdoa.

                                   


Masalahnya manusia ni "Wakana' insan A'julla" (Manusia ni gopoh, tidak sabar). Kita kalau kita berdoa pada Allah,kita nak  Allah makbul terus doa kita.. Tidak mustahil kerana Allah berkuasa untuk memakbulkan doa setiap hamba-hambanya dengan serta merta tapi kadang-kadang tu Allah nak asuh kita, Allah nak didik kita. Allah mahu kita datang padaNya dengan keadaan Tawaduk, Qhuduk, Mutadaraq, dengan penuh rasa hinanya kita. Apabila kita sujud dalam keadaan menangis, betul penuh pengharapan dan penggantungan yang mutlak, insya Allah doa kita akan dimakbulkan oleh Allah s.w.t

Hamka pernah berkata"Allah bukan tidak memakbulkan doa kita tapi Allah mahu kita benar-benar tunduk pada kekuasaan dan keagunganNya, sebelum DIA memakbulkan doa kita". Kehidupan ini adalah satu keajaiban. Semoga Allah sentiada membimbing hidup kita. Insya Allah.....Kembara Sufi





    


















No comments: