Rumah

Sunday, June 12, 2011

Wahabi Manhaj Tajdid dalam agama : Satu pandangan pro dan kontra



Wahabi merupaka satu fahaman / aliran yang diamalkan oleh Ulama - Ulama Haramain/Mekah yang diasaskan oleh Syeikh Muhamad Abdul Wahab .  Fahaman ini dikukuhkan oleh keluarga diraja Ibn Saud yang kini memerintah negara Arab Saudi sejak 1924. Dinasti Al-Saud memerintah Arab Saudi sejak 1924.

Fahaman ini juga disebut  sebagai Wahhabi atau Wahabism . Istilah ini muncul berdasarkan nama bapa pengasasnya.  Wahabi lebih suka menyebut mereka Salafi, Salafiah, Muhawidun yang bermaksud 'satu Tuhan'. Mereka menegaskan bahawa aliran mereka adalah berdasarkan pemikiran Ahmad ibn Hanbal( al Hanbaliah, al Hanabilah) yang merupakan salah satu mazhab dalam Ahlil Sunnah Wal Jamaah.Dalam hukum Feqah, mereka berpegang kepada tafsiran Ibn Taimiyah.

 Fahaman Wahabi dianggap sebagai penerusan fahaman Ibnu Taimiyah , bahkan dalam banyak hal ada juga segelintir mereka lebih radikal pemikiran mereka daripada Ibnu Taimiyah. Aliran Wahabi ini sangat dominan di Arab
Saudi,Kuwait,Qatar,Somilia,Algeria,Palestin,Mauritania dan kini semakin berleluasa di Malaysia.

Pengasas -Muhammad bin Abdul Wahhab (1701-1793m) lahir di kampung Ainiyah,Najd, Arab Saudi. Beliau berasal dari kabilah Bani Tamim. Buku beliau bertajuk 'Kitab alTawhid'. Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab adalah seorang sufi, ulama pembaharuan dan ahli teologi agama Islam yang mengetuai gerakan salafiah. Wahabi dianggap sebagai ultra-konservatif berbanding salafi. Ia dianggap sebagai gerakan pembaharuan, bukan satu mazhab.

Wahabi amat melarang keras amalan-amalan yang tidak berdalilkan Nas Al-Quran dan Hadith. Antara amalan-amalan yang ditolak secara mutlak oleh Wahabi adalah seperti:
  1. Melarang orang ziarah makam Nabi dan berdoa di situ.
  2. Melarang mengadakan perayaan pada hari Maulidur Rasul dan Hari Israk Mikraj. Semua ini dianggap maksiat dan perlu dihapus.
  3. Melarang melagu-lagukan azan terutama menggunakan radio dan pembesar suara.
  4. Melarang membaca qasidah
  5. Melarang melagu-lagukan al Quran.
  6. Melarang membaca Selawat Nabi, memuji-muji Nabi seperti Burdah dan Berzanji.
  7. Melarang mengaji Sifat 20 seperti yang tertulis dalam kitab Kifayatul Awam , Matan Jauharah as-Sanusi dan sebagainya. Pada Wahabi, tauhid hanya berkisar pada Tauhid Rabbubiyah .
  8. Amalan membaca Doa Qunut dalam Solat Fardu Subuh
  9. Amalan membaca Yassin pada malam Jumaat
  10. Mengadakan Majlis Tahlil Arwah dan pelbagai lagi.
Pada hakikatnya penulis tidaklah cenderung untuk menghukum Wahabi itu sebagai sesat atau Kafir seperti setengah golongan agama tradisional yang lebih Radikal atau juga berfikrah Khawarij yang menghukum Wahabi sebagai Kafir dalam soal polemik berkenaan ayat-ayat Mustasyabihah dalam Al-Quran dan juga Hadith.  Penulis lebih melihat gerakan Wahabi sebagai satu Manhaj Tajdid dalam agama yang mengajak  umat Islam keluar daripada lingkungan pemikiran tradisi yang gagal membezakan antara hukum agama dengan adat budaya dalam masyarakat.

Sebagai contoh soal Kenduri Arwah. Kenduri Arwah pada hakikatnya adalah satu budaya dalam masyarakat yang telah diwarisi dari generasi ke generasi dan tidak tertakluk kepada tuntutan agama tetapi penulis berpendirian tidak salah untuk membuat kendiri arwah sekiranya berkemampuan cuma yang agak menjadi masalah apabila mereka yang tidak berkemampuan juga merasakan terpaksa mengadakan kenduri arwah kerana beranggapan ia salah satu daripada tuntutan agama.  Keadaan inilah yang perlu diperbetulkan dan Wahabi hadir ke dalam masyarakat untuk memperbetulkan keadaan ini.




Antara isu lain yang ditumbulkan oleh mereka yang berfikrahkan Wahabi adalah soal Sambutan Hari Kelahiran Nabi Muhamad s.a.w.  Penulis cenderung menyatakan tidak salah untuk menyambut Maulid Nabi tetapi tidak ada gunanya kalau kita sekadar menyambut Maulid Nabi dengan  perarakan besar yang dilakukan tetapi impaknya tidak ada. Sambutan Maulid Nabi bagus sekiranya melalui sambutan itu dapat menambahkan lagi cinta dan kasih kita terhadap junjungan tinggi kita Nabi Muhamad s.a.w justeru dari itu kita turut mempratikkan sunah-sunahnya dalam kehidupan seharian kita.

Tapi realiti hari ini sambutan Maulid Nabi hanya sekadar simbol dengan perarakan besar-besaran yang membazir tetapi masyarakat dari segi hakikatnya semakin jauh daripada jalan-jalan agama seperti mana yang diinginkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. tetapi untuk menghukum amalan Maulid Nabi sebagai bidaah yang sesat adalah keterlaluan kerana mungkin melalui sambutan itu akan ada juga yang semakin bertambah cintanya kepada baginda Nabi Muhamad s.a.w

Di Malaysia, golongan yang mendukung fahaman Wahabi ini lebih gemar jika ia digelarkan sebagai Salafi, Pro-tajdid atau pendukung Sunnah. Mereka ingin membawa satu kaca mata yang lebih besar terhadap fahaman ini dengan menekankan pemahaman Islam menurut manhaj para Salaf. Al-Salaf memiliki erti orang-orang yang mendahului dari bapak-bapakmu dan kaum kerabatmu yang mereka di atasmu dalam hal usia dan keutamaan. Rasulullah, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka adalah salaful ummah (pendahulu ummat), dan siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, mereka juga salaful ummah.

Serta siapa saja yang menyeru kepada apa yang diserukan oleh Rasulullah SAW, para sahabatnya dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, maka mereka berada si atas manhaj as-Salaf ash-Sholih. (ruj: Studi Ringkas Tentang Manhaj Salaf, Sheikh Abdul Qadir Al-Arna’uth) Manhaj ini menurut mereka tidak membataskan pemikiran dengan lingkungan mazhab semata, tetapi keluasan pemikiran berpandungan Quran dan As-Sunnah yang soheh. Oleh sebab itu, masyarakat Islam tradisionalis menganggap mereka sebagai bermasalah apabila ada ibadah atau adat yang ditentang oleh pendukung fahaman ini kerana menurut mereka tidak menurut syariat Islam yang sebenar. Hal ini telah menyebabkan berlakulah pertempuran yang berlarutan sekian lama yang mungkin dikenali di Malaysia sebagai ‘kaum muda vs kaum tua’.

Penulis bukanlah seorang bertakliq secara melulu walaupun penulis cenderung kepada fahaman ulama tradisi tetapi  untuk menghetam wahabi secara keseluruhan sehingga ada yang  mengkafirkan Wahabi bagi penulis agak melampau dan tidak ubah seperti puak khawarij sehingga ada segelintir penuntut-penuntut pondok yang mengkafirkan mereka yang berfikrahkan Wahabi atau Salafi hanya kerana berlaku percanggahan dari segi penafsiran tentang ayat-ayat Mutasyabihah di dalam Al-Quran.

Kalau kita merujuk perkataan Wahabi itu sendiri, Wahabi  menurut Ensaiklopedia Islam, keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka ialah, gerakan yang bertujuan untuk memurnikan perilaku keagamaan umat Islam yang telah menyimpang daripada tuntutan agama yang sebenarnya.  Istilah Wahabi ini sebenarnya diberikan oleh musuh-musuh aliran ini. Pengikut Muhammad bin Abdul Wahhab sendiri menyebut diri mereka dengan nama al-Muslimun atau al-Muwahhidun, yang bererti pendukung ajaran yang memurnikan ketauhidan Allah s.w.t. Mereka juga menyebut diri mereka sebagai pengikut Mazhab Hanbali atau ahl as-salaf.

Untuk bacaan lanjut, sila buka halaman 156, Ensaiklopdedia Islam, Jilid 5, DBP, Kuala Lumpur, cetakan 2004.



Manhaj Tajdid yang dibawa oleh golongan aliran wahabi hadir dengan niat yang murni untuk mengajak umat Islam pada hari ini agar benar-benar kembali atas landasan Al-Quran dan Hadith dan hal ini kita tidak nafikan kerana setiap dari mereka berhujah berlandaskan Dalil dan Nas yang kukuh dari Al-Quran dan Hadith yang Sahih. Ramai di kalangan umat Islam hari ini yang terperangkap dalam kerangka pemikiran jumud yang bertaklik membabi buta tentang sesuatu hukum atau ibadah dalam agama.

Seperti tajuk penulisan ini sendiri di mana penulis cuba membuat analisi umum antara pro dan kontra Manhaj Tajdid yang di bawa oleh golongan Wahabi . Dalam setengah-setengah keadaan penulis cenderung untuk tidak memihak kepada Wahabi seperti adanya Tasawuf di dalam Islam. Wahabi/Salafi menolak Tasawuf dan Sufi di dalam agama dan menganggap Tasawuf atau Sufi sebagai satu ideologi yang dicedok daripada falsafah Yunani lama.  Pemikiran penulis cenderung untuk menerima tasawuf di dalam agama di mana penulis sendiri pernah menerima tarbiyah dari Ulamak Tasawuf dari Kelantan termasuk penulis pernah diijazahkan amalam dalam  Tarekat Alawiyah iaitu Ratibul Hadad.

Imam al-Qusyairi dalam al-Risalah-nya mengutip 50 definisi dari ulama Salafi; sementara Imam Abu Nu'aim al-Ishbahani dalam "Ensiklopedia Orang-Orang Suci"-nya Hikayat al-awliya' mengutip sekitar 141 definisi, antara lain:

"Tasawuf adalah bersungguh-sungguh melakukan suluk yaitu `perjalanan' menuju malik al muluk `Raja semua raja' (Allah `assa wa jalla)."
"Tasawuf adalah mencari wasilah `alat yang menyampaikan' ke puncak fadhilah `keutamaan'."

Definisi paling panjang yang dikutip Abu Nu'aim berasal dari perkataan Imam al-Junaid ra. ketika ditanya orang mengenai makna tasawuf:

"Tasawuf adalah sebuah istilah yang menghimpun sepuluh makna: 1. tidak terikat dengan semua yang ada di dunia sehingga tidak berlomba- lomba mengerjarnya. 2. Selalu bersandar kepada Allah `azza wa jalla,. 3. Gemar melakukan ibadah ketika sehat. 4. Sabar kehilangan dunia (harta). 5. Cermat dan berhati-hati membedakan yang hak dan yang batil. 6. Sibuk dengan Allah dan tidak sibuk dengan yang lain. 7. Melazimkan dzikir khafi (dzikir hati). 8. Merealisasikan rasa ikhlas ketika muncul godaan. 9. Tetap yakin ketika muncul keraguan dan 10. Teguh kepada Allah dalam semua keadaan. Jika semua ini berhimpun dalam diri seseorang, maka ia layak menyandang istilah ini; dan jika tidak, maka ia adalah pendusta. [Hilayat al-Awliya]

Takwa tidak hanya membawa erti “mengerjakan semua perintah Allah dan meninggalkan semua larangan-Nya. Takwa juga meliputi “cinta, ikhlas, sabar, zuhud, qana’ah, tawadhu’, dan perilaku-perilaku batin lainnya yang masuk ke dalam kategori makarim al-akhlaq (alkhlak yang mulia) atau al-akhlaq al-mahmudah (akhlak yang terpuji)”.

Dan jelas kepada kita semua bahawa Tasawuf  adalah satu bidang kerohanian untuk kita mencapai satu kelazatan dan kenikmatan untuk beribadah kepada Allah di mana untuk mencapai kelazatan itu kita perlu kepada satu mujahadah nafs yang hebat dengan bimbingan guru-guru yang murabbi dan mursyid.

Penulis melihat  fahaman Wahabi ini bukan sesuatu pembawaan pemikiran baru tentang akidah. Mereka hanya mengamalkan apa yang telah dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bentuk yang lebih keras berbanding apa yang diamalkan oleh Ibnu Taimiyyah sendiri. Perkembangan fahaman Wahabi dan penerapan mazhab lain dalam masyarakat Islam  tidak dapat dielakan kerana kesan pengglobalan ilmu di dunia hari ini. Penulis sebagai hamba Allah yang hina masih lagi dalam pencarian ilmu memilih untuk berada ditengah-tengah kerana sebagai seorang yang naif penulis amat dahagakan ilmu. Wallahuaklam.

Secara kesimpulan yang penulis buat tentang tajuk ini bahawa umat Islam semakin berada di dalam perpecahan yang agak kritikal kerana di kalangan bijak pandai Islam sendiri asyik bergaduh sesama sendiri untuk mempertahankan pendapat dan hujah masing-masing berkaitan hukum-hukum agama. Seharusnya mereka harus sepakat dan sekiranya wujud percanggahan sila diadakan dialog atau muzakarah untuk mencari titik persamaan di antara mereka demi memastikan Islam kembali tertegak di atas muka Allah ini bukan dengan membidaah dan mengkafirkan antara satu sama lain.

1 comment:

abukhayra said...

http://jomfaham.blogspot.com