Rumah

Sunday, July 31, 2011

Marhaban Ya Ramadhan




Alhamdulilah bersyukur pada Allah s.w.t kita masih di pertemukan dengan bulan yang mulia, bulan yang penuh dengan keberkahan dan rahmat daripada Allah s.w.t. Saya mengungkap kata-kata hikmah daripada  Bediuzzaman Said Nursi  yang bermaksud

Bulan Ramadhan benar-benar memberikan pulangan yang besar dan ibarat pasar untuk dagangan ke akhirat. Ditamsilkan juga seperti tanah yang subur untuk bercucuk tanam menuju ke sana. Perbuatan yang hidup dan cergas di dalam bulan ini dikiaskan seperti hujan April yang turun pada musim bunga. Bulan ini juga merupakan festival yang amat mulia bagi orang-orang yang mengabdikan diri kepada tuhannya".

Jelas kepada kita bahawa bulan Ramadhan itu sentiasa dinanti-nantikan oleh mereka yang beriman kepada Allah s.w.t. Ramdhan disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiran tetapi hanya mereka yang fasik dan munafik sahaja akan berkeluh kesah dengan kehadiran bulan Ramadhan.

Berpuasa memberi  peluang yang terbaik  kepada  orang-orang yang  beriman dan yang benar-benar takutkan Allah untuk mendekatkan diri pada-Nya dengan melibat gandakan amal ibadahnya sepanjang bulan ini.  Melaksanakan perintahnya dengan bersabar menahan lapar sepanjang hari selepas melewatkan sahur dan sebelum menyegerakan berbuka menjadi bukti menuntut keredhaan Allah.

Disebabkan itulah, orang Islam yang istiqamah dalam  mencari keredhaan Allah akan sentiasa berusaha meraikan bulan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Sepanjang bulan ini juga umat Islam akan memastikan setiap langkahnya dipenuhi dengan amalan-amalan yang diturunkan Allah selain menunaikan yang diwajibkan.

Tidak kurang juga mereka yang tidak mengamalkan hidup secara Islami di hari lain akan mengubah perilaku dengan berpuasa sepanjang Ramadhan. Ini kerana mereka percaya Allah akan membersihkan dan menyucikan kesalahan mereka dengan menunaikan kewajipan ini.

Akhir kata saya ingin menyeru kepada diri saya sendiri dan saudara semua agar kita tidak mempersia-siakan kehadiran Ramadhan yang hadir ini kerana belum tentu lagi kita akan bersua dengan Ramadhan yang akan datang.

 Rebutlah segala tawaran yang Allah sediakan untuk kita sepanjang bulan Ramadhan ini agar kita keluar daripada bulan Ramadhan sebagai mukmim yang sejati. Marhaban Ya Ramdhan, selamat menyambut kehadiran bulan Ramadhan dan selamat berpuasa. (Kembara Sufi)

Tuesday, July 12, 2011

Kudapan Pagi



Sekejap tadi lepas minum dengan kawan kat area cheras aku singgah sekejap kejap kat bank nak cucuk duit. Adalah sekumpulan remaja Melayu  lelaki dan perempuan yang aku anggarkan dalam lingkungan 16 atau 17 tahun duk melepak tepi bank. Aku tengok jam sekitar pukul 1 Pagi sekarang. Ish budak-budak ni tak sekolah ke esok, mak bapak dia orang tak marah ke duk melepak jantan betina pukul 1 pagi ni. Macam-macam terdetik dalam hati aku.  Apabila aku perati lama-lama aku terkejut beruk ada botol arak di sebelah budak popuan tu. Isap rokok pulak mcm asap keretaapi.

Mampus...umur belasan tahun dah pandai isap rokok dan minum arak aku tak tahu nak jadi apa dengan budak-budak ni. Aku pikir balik kemana hala tuju dia orang nanti???. Entahlah nak tegurkan tak pasa-pasal dia orang jawab mak bapak kita orang pung tak pernah ambik kisah waklu abg nak tegur...Itulah realti remaja pada hari ini...Kang aku pulak yang naik angin bagi penampar..ishh..ishh..takperlah, lantak dia oranglah...

Mcm mana ni nak buat untuk mengatasi masalah ini...yang remaja dengan masalah sosial remaja tapi ko orang jangan lupa baca balik kisah Sebuah Bingkisan Kartasis yang aku tulis tu, RETUA pun dengan masalah sosial dia. Jadi di mana puncanya masalah ini semua. Aku pernah tengok depan mata aku bagaimana seorang pakcik tua yang aku yakin umur 70 tahun bak kata pepatah jawa " Kubur kata mari , rumah kata pergi" masih nak cari maksiat kat luar. Pegang gelas pung terketar-ketar. Jadi aku tinggalkan persoalan ni untuk ko orang pikir di mana puncanya sedang setiap orang mengimpikan rumahku syurgaku dalam perkahwinan atau dalam hidup berkeluarga. Kadang-kadang dia orang bukan tak tahu agama pung rasa-rasa pengetahuan agama dia orang kalah ko orang..hehheh...takperlah fikir-fikirkanlah.wassalam....

Sunday, July 10, 2011

Penawar Terbaik bagi menawarkan sihir@Ilmu hitam



Sihir atau ilmu hitam satu perkara yang amat ditakuti oleh semua manusia kerana sekali kita terkena ilmu sihir atau ilmu hitam maknanya kita akan mengalami penderitaan yang sukar dilafazkan dengan perkataan. Tahukah kita perbuatan sihir ini boleh membuat seseorang itu akan menderita dari segi emosi dan mentalnya kerana sihir ini selalunya akan menyerang otak mangsa dan akan menyebabkan mangsa berada didalam keadaan yang tidak waras dan kadang-kadang tidak dapat mengawal diri mereka. Kadang-kadang pelbagai kaedah rawatan yang diusahakan sama ada dari Ustaz atau tok bomoh tetapi hakikatnya sihir ini amat payah untuk sembuh kecuali dengan izin Allah s..w.t.

Ada yang telah habis beribu wang ringgit semata-mata untuk mendapatkan rawatan angkara sihir atau ilmu hitam. Sihir ini pula tergolong daripada pelbagai jenis. Pengalaman saya sendiri yang telah merentasi pelbagai negerti untuk cuba mendapatkan rawatan dengan pengamal rawatan Islam tidak pernah menemui jalan penyelesaian. Sampai sekarang pun saya masih mengalami gangguan-gangguan mistik walaupun tidaklah seteruk sewaktu mula-mula saya terkenal dulu.

Seorang pengamal perubatan Islam pernah memberitahu saya bahawa seseorang yang terkenal sihir harus memperkuatkan kerohaniannya dengan amal ibadah kerana perawat hanya dapat membantu antara 10 hingga 15% sahaja dalam merawat pesakit sihir selebihnya pesakit itu sendiri harus berusaha untuk merawat dirinya sendiri denga cara mendekatkan diri kepada Allah s.w.t kerana kejahatan sihir ini berlaku dengan izin Allah.

Tahukah anda ubat yang paling mudah dan paling mujarab dalam menyembuhkan penyakit sihir ini hakikatnya terletak pada usaha diri kita sendiri serta pertolongan terus dari Allah SWT tanpa ada perantara seperti bomoh, ustaz, Jin Islam, atau apa-apa perantara yang lain. Bukan menafikan khidmat ustaz atau pengamal perubatan tradisional yang lain tetapi saya sudah banyak kali berubat hampir 50 perawat atau pengamal perubatan tradisional yang telah saya ketemui namun sakitnya hanya hilang sekejap tetapi ianya datang kembali.


Namun berkat dari usaha saya dan dengan pertolongan dari Allah SWT saya menemui amalan atau ilmu yang sangat mujarab bagi merawat penyakit yang saya hadapi selama hampir 4 tahun ini.

Berikut amalan yang saya lakukan, sememangnya amalan ini yang biasa dilakukan apabila setiap kali selesai kita bersolat seharian cuma bezanya di sini kita tambahkan keyakinan sepenuhnya kita kepada Allah SWT serta lakukan dengan bersungguh-sungguh dengan penuh khusyuk dan istiqomah.

Amalkanlah secara istiqomah dan penuh keyakinan bahawa Allah SWT yang sebenar-benarnya menyembuhkan penyakit kita.

1. Pertama sekali kita perlu yakin bahawa penyakit ini datangnya dari Allah SWT sebagai ujian dari-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud ; “Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. (Surah al-Anbiya’: ayat 35)

2. Kosongkan fikiran anda walaupun anda sememangnya mengetahui bahawa sakit anda adalah kerana dianiayai atau disihir oleh si folan bin si folan, kosongkan fikiran anda dan anggap ia satu ujian dari Allah swt dan manusia itu sebagai penyebabnya sahaja. Buangkan semua syak wasangka sesama manusia atau sesama mahkluk tentang penyakit yang dihidapi itu.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla berfirman: “Apabila aku menguji seseorang dari hamba-hamba-Ku yang mukmin dengan sesuatu penyakit, lalu ia memuji-Ku kerana ujian-Ku itu maka sesungguhnya ia akan bangkit dari tempat baringnya itu seperti masa ia dilahirkan oleh ibunya - bersih dari segala kesalahan”, dan Tuhan Tabaraka wa Taala berfirman kepada Malaikat penulis amal itu: “Aku telah mengikat hamba-Ku itu dan telah mengujinya, maka lakukanlah kepadanya apa yang kamu biasa lakukan untuknya (menulis amal baiknya) semasa ia berkeadaan sihat”. (Hadith Riwayat Syaddad bin Aus dan Al-Sunabihi r.a)

3. Ingatlah dan yakinlah bahawa sakit yang kita alami ini adalah untuk menghapuskan dosa-dosa kecil kita serta untuk meningkatkan darjat seseorang mukmin itu. Nabi s.a.w pernah bersabda: “Tidak ada sesuatu yang menimpa seseorang Islam sama ada kepenatan, kesakitan, kesusahan memikirkan perkara yang akan datang, kedukaan, sesuatu yang menyakiti, atau kesusahan meningatkan apa yang telah berlaku - sehinggakan tikaman duri yang mencucuknya - melainkan Allah hapuskan dengan sebabnya, sebahagian dari dosa-dosanya.” (Hadith Riwayat Abu Sa’id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a)

3. Peliharalah solat 5 waktu anda dan solat tepat pada waktunya, jika boleh solat berjamaah di masjid. Jika tidak mengizinkan maka solat lah tepat pada waktunya. Kerana ketahuilah banyak fadilat solat 5 waktu tepat pada waktunya yang tidak kita ketahui lagi di antaranya ialah serangan makhluk halus ini pada seseorang manusia sering berlaku pada perubahan waktu seperti dari waktu pagi ke tengahari (waktu Zuhor), perubahan waktu tengahari ke petang (waktu Asar), perubahan waktu dari petang ke senja (waktu maghrib) dan waktu maghrib paling banyak atau biasa sekali serangan ke atas manusia. Jadi jika kita sentiasa solat pada waktunya Insyallah dengan izin Allah kita terselamat dari serangan ini.

4. Amalkan wirid di bawah selepas tiap kali menunaikan solat fardhu :
  • Beristighfar (3 X)
  • Membaca surah al-Fatihah (1X)
  • Membaca surah al-Ikhlas (3x) atau (1x)
  • Membaca surah al-Falaq (1x)
  • Membaca surah an-Nas (1x)
  • Membaca ayatul kursy (dengan 7 wakaf - 7 kali tempat berhenti)
  • Zikir (Subhanallah 33x, Alhamdulillah 33x, Allah hu Akbar 33x)
  • Berdoa
5. Amalkan solat hajat (2 rakaat) atau lebih pada tiap-tiap kali sebelum tidur atau selepas solat Isyak atau Maghrib dan amalkan pada tiap-tiap hari. Banyak cara mengerjakan solat hajat ini salah satu caranya ialah rakaat pertama baca al-Fatihah (1x) dan surah al-Kafirun (3x) manakala rakaat kedua bacalah surah al-Fatihah (1x) dan surah al-Ikhlas (3x), semasa sujud terakhir bermohonlah di dalam hati (jangan lafazkan) semoga disembuhkan penyakit. Amalkan solat hajat ini secara berterusan sehingga sembuh penyakit.


Mohonlah / berdoalah sepenuh keyakinan anda kepada Allah SWT agar disembuhkan segala penyakit atau gangguan yang anda hadapi. Dari Ibnu Abbas r.a katanya:”Rasulullah s.a.w membuka tirai (kamarnya ketika baginda sakit akan meninggal), padahal ketika itu jamaah sedang solat berjamaah diimami Abu Bakar. Lalu baginda bersabda:”Sesungguhnya tidak ada lagi wahyu kenabian yang ketinggalan yang harus aku sampaikan, kecuali mimpi baik seorang muslim. Ketahuilah! Aku dilarang membaca al-Quran dalam rukuk dan sujud. Agungkanlah Allah Azza wa Jalla di dalam rukuk dan perbanyakkanlah doa di dalam sujud pasti doamu diperkenankan Allah S.W.T.” (Hadith Riwayat Muslim) .

6. Jika mampu amalkan solat sunat witir sekurang-kurangnya (3 rakaat) sebelum tidur. Dan amalkan Surah al-mathurat setiap kali lepas solat maghrib atau isyak.

Semoga dengan amalan ini saya doakan agar penyakit anda akan sembuh dengan pertolongan terus dari Allah SWT. Alhamdulillah saya juga pernah mengalami sakit sebegini dan saya mengamalkannya memang kesannya sungguh menakjubkan. Yang pentingnya keyakinan kita bahawa Allah SWT lah tempat kita bergatung dan hanya Allah SWT sahajalah yang dapat menyembuhkan segala jenis penyakit yang kita hadapi selama ini.
Apa yang harus diingitkan elaklah dari mendapat rawatan  yang terpesong daripada kaedah perubatan Islam kerana dikhuatiri kita akan jatuh hukum mengsyirikan Allah s.w.t kerana saya masih teringat kata-kata Al-Fadzil Ustaz Dato' Haji Ismail Kamus yang menyatakan mati dalam beriman Kepada Allah itu lebih baik daripada hidup dengan menyekutukan Allah s.w.t

Wednesday, July 6, 2011

Catatan Sebuah Diari Kehidupan




Ada sorang kawan aku tanya aku semenjak bila aku bergiat aktif  dalam penulisan blog ni. Aku jawablah baru sebulan jer aku mula belajar-belajar jadi penulis blog ni bukan apa sekadar mengisi masa yang terluang sebab aku memang minat menulis semenjak belajar universiti lagi dan kalau tak silap aku adalah 2 atau 3 cerpen aku pernah keluar dalam akhbar masa belajar kat universiti dulu tapi tu dah lama benar dah tu. Ada yang suruh aku menulis hal-hal politik tapi aku kurang berminat untuk menulis hal-hal politik dalam blog aku ni.

Tujuan aku buat blog hanyalah satu untuk aku menulis tentang kisah-kisah yang boleh dijadikan pengajaran dan kesedaran kepada orang lain terhadap apa jua kisah yang pernah aku tempuhi sepanjang kehidupan aku  atau kisah orang-orang disekeliling aku kerana aku sendiri pung bukannya baik sangat dulu cuma hari ini aku ada kesedaran untuk kembali berada atas landasan agama di mana aku peranah tersasar suatu ketika dulu dari landasan itu. Alhamdulilah hari ini aku kembali mengenal tuhan, kembali mengenal apa itu dosa dan pahala dan kembali mengenal diri sebagai hamba tuhan yang sebenarnya.

Dan boleh dikatakan semua cerita-cerita dalam blog aku ini ada kaitan dengan hidup aku kerana bagi aku, manusia yang baik ialah manusia di mana orang lain boleh mengambil iktibar pedoman daripada hidupnya.

Aku berkawan dengan semua lapisan masyarakat, ada yang ustaz, ada yang kaki maksiat, ada yang kaki pukul, ada yang jadi mat dadah, ada yang jadi kutu berhak kat KL dan itu semua adalah pengalaman hidup aku yang cukup mahal dan tak boleh dijual beli dgn wang ringgit.  Aku masih teringat kata-kata seorang kawn aku pada aku yang mengakui aku telah khatam dalam Universiti Kehidupan.

Sebab itu blog aku dinamakan kembara sufi kerana ia merupakan sebuah catatan kembara  kehidupan manusia yang  ingin mencari redha tuhannya.   Aku menulis blog bukan untuk apa-apa tapi niat aku hanya satu untuk menjadikan ia sebagai medium dakwah kerana aku ingin berkongsi segala-galanya cerita yang boleh menimbulkan keinsafan kepada manusia agar kembali kepada jalan agama dan kembali sujud kepada pemilik dunia ini dengan hati yang benar-benar ikhlas tanpa ada sifat-sifat munafik dalam diri.

Adeii..jam telah menunjukkan pukul 1.30 pagi dah ni...aku rasa cukup setakat ini dulu catatan diari kehidupan aku hari ni. Insya Allah kita bersua lagi...semoga Allah memberi kekuatan kepada kita dalam bermujahadah untuk mencari redhanya. wasssalam (Kembara Sufi)






Tuesday, July 5, 2011

Sebuah Bingkisan Kartasis


Malam ni aku lepak minum dengan seorang kawan lama yang memang lama  aku tak jumpa. Tak silap aku dekat 2 tahun lebihlah aku tak jumpa dia. Masa mula-mula aku mengenali dia dulu aku memang respek gila babaslah dengan member aku sorang ni. Perwatakan dia, gaya dia memang menampakkan ketokohan dia sebagai seorang ketua di pejabat, maklumlah sebagai seorang yang berjawatan besar sebagai  GM di sebuah syarikat korporat terkenal tanah air sememangnya dia  harus menampilkan sifat karismanya  sebagai seorang bos atau ketua tapi bukan karisma kapoor yek..hehhehe..buat lawak jer. Tapi malam ni aku memang terkejut beruk dengan penampilan mamat ni yang dulunya memang seorang yang berpenampilan hebat tapi malam ni menggambarkan  seolah-olah   hidupnya tidak terurus selama ini  dengan penampilan yang selekeh dan serabai aku tengok.

Aku sebenarnya serba salah jugak nak tulis kisah aku minum dengan member aku malam ni dalam blog aku yelah sebab mungkin bingkisan kartasis aku malam ni ada kaitan dengan kisah Aku dan GRO yang merupakan post paling top dalam blog aku ini. Tapi niat aku satu agar penulisan aku malam ni dapat dijadikan pengajaran dan iktibar kepada semua terutama yang sudah berkahwin dalam mengharungi kehidupan berumah tangga. Kerana Al-Quran itu sendiri dipenuhi dengan sejarah-sejarah yang harus kita pegang sebagai pedoman dan panduan .

Allah SWT berfirman, “Dan sesungguhnya Al-Qur’an ini benar-benar diturunkan oleh Rabb semesta alam, dia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang diantara orang-orang yang memberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas.(Asy Syu’araa: 195)

Asalnya dia mempunyai sebuah keluarga yang cukup bahagia dengan dikurniakan anak-anak yang comel dan isteri yang baik. Suatu kehidupan yang cukup yang sempurna bagi insan. Semua telah berubah dalam sekelip mata apabila dia mula terjebak dengan hiburan malam yang pada mulanya sekadar untuk menemani kwn.Lama kelamaan mamat ni jadi ketagih dengan hiburan malam di sekitar Kuala Lumpur ni. Daripada seorang suami yang bertanggungjawab segala2nya telah berubah apabila dia terjerat dengan cinta wanita kupu-kupu malam. Perkenalan dengan seorang wanita kupu-kupu malam atau nama yang lebih popular GRO di sebuah kelab malam di Kuala Lumpur telah menjalinkan satu hubungan yang dikutuk dan dilaknat oleh Allah s.w.t.

Daripada kawan biasa terjalin hubungan sebagai kekasih gelap. Siang malam mamat ni duk bertenggek di kelab tempat GRO ni bekerja. Pernah satu malam tu  sampai bermandi embun jantan lah duk tunggu GRO tu balik kerja. Isteri dan anak-anak terabai yelah dah hari-hari hidup yang dilalui hanya untuk menagih cinta dari GRO tu. Last sekali dia berjaya jugaklah dapat berkwn dengan GRO ni. Entahlah nak kata bercinta pung kira bolehlah dan kununnya dialah lelaki yang paling bertuah dalam dunia ni kerana dapat memikat GRO tu tapi dia tak sedar yang belakang dia GRO tu dah pasang berpuluh balak. Dia tu entah jantan yang keberapa.

Kenapa aku katakan hubungan mereka dikutuk dan dilaknat oleh Allah s.w.t dan dikutuk juga oleh seluruh makhluk langit dan bumi kerana mereka akhirnya bersekedudukan tanpa nikah dan zina tu kira rutin harian merekalah  bak kata orang putih seks luar nikah ni kira sebagai sarapan pagi dan makan malamlah..hehheh..hancusss...last sekali dia pernah bagi tahu aku yang dia nak kahwin dengan GRO tu dan cuba nak suruh GRO tu berhenti kerja.. Alhamdulilah kalau betul niat dia mcm tu seperti yang aku kata dalam kisah Aku dan GRO tulah besar ganjaran pahalanya di sisi Allah s.w.t kalau dapat membimbing wanita seperti ini kejalan yang benar dan diredhai oleh Allah s.w.t tapi realitinya aku tengok bukan dia yang bimbing GRO tu tapi GRO tu yang membimbing dia...huhuhuhu.. Nasib kaulah labu. lepas tu aku terputus hubungan dengan mamat ni cuma dgr2 cerita dari kwn2 jerlah kisah dia.

Setelah hampir dua tahun berlalu dan aku ingatkan dia dah kahwin dengan GRO tu dan mungkin GRO tu sudah insaf dan telah  memilih hidup sebagai seorang wanita Islam yang benar-benar mentaati perintah agama tapi Masya Allah, popuan tu still kerja sebagai GRO dan dia yang semakin parah aku tengok sehingga sanggup berhenti kerjalah semata-mata inginkan masa yang lebih lama dengan GRO...Masya Allah, aku tak tahu nak kata apa. Apbila aku tengok keadaan dia malam ni aku tahu dia menanggung azab dan bebanan mental dan emosi yang kritikal. Entahlah aku hanya mampu mendoakan semoga Allah beri kesedaran pada kawan aku ni.

Kalau cerita bab kahwin dengan wanita yang berkerjaya dalam keja-keja maksiat ni aku hanya respek sorang jer pada kawan aku ni yang boleh dikatakan aku panggil abang jugaklah. Bini pertama bekas GRO, Bini Kedua bekas gadis rumah urut dan Bini ketiga  bekas pelacur tapi Allah memberi kekuatan kepada dia untuk mendidik ketiga2 bini dia ni dan Alhamdulilah aku pernah terjumpa kwn aku ni dgn ketiga-tiga bini dia. Ketiga bertudung labuh dan sorang buka taman asuhan, sorang jadi pembuat kek dan sorang guru mengaji Al-Quran. Subhanallah, memang benar hidayah itu milik mutlak Allah s.w.t. Selagi Allah tidak mencampak hidayah pada seseorang yang tersesat dalam hidup,  tak payahlah kita duk nak  bercerita perihal syurga nerakalah tak gunanya..Tapi kalau Allah campakkan hidayahnya pada seseorang hambanya yang tersesat, hambanya itu boleh kembalik ke jalanNya sebagai seorang yang beriman dan bertakwa kepadanya.


Demi Allah bingkisan ini bukanlah untuk menyalahkan sesiapa kerana selagi kita hidup, kita akan sentiasa terdedah dengan ancaman berbentuk godaan dan tipu daya  daripada Iblis dan Syaitan untuk kita terus melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kerana iblis pernah bersumpah “Iblis menjawab: "Karena Engkau telah menghukum aku tersesat, aku pasti  benar-benar akan (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus “ (Al-A’raf : 16). 

 Kita harus bersiap sedia dengan Iman dan Takwa kita untuk berhadapan dengan tipu daya iblis ini. Bingkisan ini sekadar pengajaran dan pedoman untuk kita agar sentiasa berwaspada dengan pintu-pintu kemaksiatan yang iblis dan syaitan  menjadikannya suatu kelazatan dan kenikmatan walhal pintu-pintu maksiat itu adalah pintu kehancuran dan kecelakaan untuk kita sebagai hamba Allah......(Kembara Sufi)

Sunday, July 3, 2011

Yahudi tidak akan kalah selagi Subuh tidak seperti Jumaat



Melihat  kepada kekuatan yang ada pada Israel dan sokongan kukuh Amerika yang tidak berbelah bagi di belakangnya, tidak nampak umatIslam mampu menewaskannya seperti yang pernah dilakukan Sultan Salahuddin al-Ayubi dulu.

Dan bersatulah Islam seluruh belaka, berdemonstrasilah hingga beratus ribu di mana-mana saja di dunia, dalam keadaan yang ada, tiada terdaya dan tiada nampak tanda-tanda Yahudi Israel dapat dikalahkan dan Baitul Maqdis dapat dibebaskan.

Yahudi tahu semua ini. Justeru, apabila menyerang Lubnan yang Islamnya separuh-separuh saja, ia tidak peduluilangsung segala sanggahan dunia Islam dan PBB kerana masing-masing tidak sanggup berbuat apa-apa.

Ia sedia mengadakan gencatan senjata, bukan kerana ia takut kepada tindakan balas umat Islam dan dunia, tetapi ia berhenti sekejap kerana ia penat. Apabila penatnya reda, maka ia akan berbuat apa-apa saja. Yahudi tahu bila ia boleh dikalahkan oleh Islam dan apa senjata yang boleh mengalahkannya.

Iman dan jihad

Yahudi tahu senjata besar umat Islam ialah iman dan jihad. Senjata itu ada pada pada sebilangan kecil umat Islam sekali pun bilangan umat Islam dunia melebihi satu bilion orang. Yang ramai itu adalah sepertibuih di permukaan laut, seperti yang baginda s.a.w. pernah sebutkan. Apabila iman itu menjadi sifat yang dimiliki oleh umat seluruhnya, maka Yahudi tahu ia tidak akan boleh bermaharajalela lagi.

Tanda mudah Yahudi boleh dikalahkan apabila terdapat di seluruh dunia umat Islam turun solat Subuh seperti mereka turun solat Jumaat yang seminggu sekali itu. Adakah sepenuhnya umat Islam sudah turun solat Jumaat? Ia dirasakan tidak. Tetapi sejumlah besar umat Islam di mana-mana juga di dunia sudah memenuhi masjid-masjid setiap Jumaat.

Melihat kepada perhimpunan solat Jumaat yang ada sekarang, Yahudi sudah cukup berwaspada. Jika bilangan yang menunaikan solat itu bertambah, maka ia bertambah bimbang meskipun ia belum boleh menggugat dan menewaskannya. Tetapi apabila umat Islam yang turun solat Jumaat itu juga turun solat Subuh berjamaah setiap pagi, maka ia adalah tanda permulaan bahawa Yahudi boleh dan dapat dikalahkan dalam waktu terdekat.

Apa yang orang Islam buat sekarang ialah semuanya turun ke masjid dan surau bersolat Subuh berjamaah setiap pagi. Jangan ada lagi yang solat di rumah.

Sama ada ada niat untuk memerangi Yahudi atau tidak, semuanya mengambil tanggungjawab dan kesedaran untuk solat Subuh berjamaah seperti solat Jumaat dulu. Niat solat Subuh itu kerana Allah dan membesarkan Allah, maka dengan sendirinya martabat iman masing-masing akan meningkat dan akan meningkat iman umat itu pada keseluruhannya.

Ibadat sunat

Dari keberkatan solat Subuh seperti solat Jumaat itu, solat-solat fardu yang lain boleh ditingkatkan dan segala ibadat sunat akan diberikan perhatian dan diambil berat. Yang menuntut ilmu teruskan; merekacipta serba aneka teknologi, ayuh jalankan; dan mempelbagaikan senjata selain senjata iman, teruskan. Yang hendak berpolitik, teruskan berpolitik, yang suka demonstrasi boleh lipat gandakan. Maknanya, segala cabang jihad diteruskan. Tetapi pastikan jangan memadai sekadar menunaikan solat Subuh. Solat Subuh itu mesti berjamaah seperti solat Jumaat.

Semua amal ibadat yang lain, dengan sendirinya akan meningkat, berkat dari tekad turun beramai-ramai solat Subuh berjamaah, sama seperti turun menunaikan solat Jumaat.




Sekarang ini OIC dan bangsa-bangsa yang sudah penat dan bosan dengan ketakburan Amerika, Nato dan Israel, begitu marah kepada Israel dan Amerika tentang kekejaman mereka di Palestin dan Lubnan. Sama marahnya kepada Israel dalam perang enam hari dengan Mesir tahun 1967 dulu.

Mesir di bawah pimpinan Gamal Abdel Nasser mengumpulkan segala kekuatan dan bersatu seluruh bangsa Arab atas nama sosialis Arab, tetapi tidak memberatkan solat Subuh berjamaah, tidak datang pertolongan Allah.

Friday, July 1, 2011

MENCARI HIKMAH DI SEBALIK DUKA DAN DERITA



Duka, gundah dan derita itu tidak diminta. Bahkan kita disuruh berlindung dengan Allah daripada semuanya. Namun, seperti mana penyakit, ia hadir ke dalam kehidupan seseorang melalui pelbagai jalan. Kita tidak mencari penyakit, tetapi jika ia datang juga, kita akan sabar dengan mengharapkan pahala dan keampunan Allah. Walaupun penyakit itu tidak digemari, tetapi betapa ramai insan yang menghampirkan diri kepada Allah kerana penyakit yang menimpanya. Lalu, dia akan berkata pada suatu hari “alangkah rahmatnya ujian kesakitan itu”.

Duka dan derita itu lebih luas daripada sakit. Sakit merupakan salah satu sebab duka dan derita, tetapi betapa banyak duka dan derita yang tidak disebabkan penyakit. Duka dan derita boleh hinggap kepada insan yang sihat dan yang sakit. Terkena kepada yang miskin dan yang kaya. Menimpa yang bergelar hamba dan bergelar raja. Kadang-kala ia datang dengan bersebab. Kadang-kala seakan tidak tahu sebabnya. Kadang-kala kelihatan sebab itu sangat kerdil, tetapi derita di jiwa sangat besar.

 
Pelik

Ya, ini satu bab yang perlu dihayati dalam kehidupan. Ajaibnya makhluk yang bernama duka dan derita itu. Ia boleh datang dalam pelbagai rupa, muncul dalam pelbagai gaya. Menerjah ke dalam pelbagai dada dan jiwa. Kecil besar rasa derita dan duka itu kadang-kala tidak diukur dengan kadar sebabnya, tetapi dengan kadar perasaan mengenainya. Perasaan itu tidak dapat dikawal oleh insan, melainkan insan kembali kepada hakikat kehidupan dengan pergantungan kepada Allah. Sebab itu, apabila insan ditimpa musibah, dia disuruh kembali memahami hakikat dunia ini. Allah berfirman (maksudnya):
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda, jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa musibah, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat hidayah” (Surah al-Baqarah 155-157).
Banyak musibah, apabila insan teliti, tidaklah sebesar mana. Jika pun besar, apabila diteliti hakikat kehidupan ini, lantas insan bergantung kembali kepada Allah, maka segalanya itu kerdil semata.


Lalai

Banyak hikmah di sebalik duka dan derita yang melanda kehidupan seseorang insan. Kadang-kala, hidup yang dipenuhi suka dan ceria semata telah melalaikan ramai manusia. Ingatannya kepada akhirat dan kehidupan yang hakiki antara tenggelam dan timbul. Mungkin juga menjadi kabur. Bukan kerana tidak tahu tentang hakikat sementaranya hidup ini, tetapi kerana terlalu dengan kemeriahan hidup, kehalusan perasaan tentang hakikat kehidupan dunia dan akhirat itu terhakis.

Sebanyak mana pun ilmunya dalam agama, bukanlah menjamin hubungannya dengan Allah sentiasa kusyuk dan kudus. Tiba-tiba apabila duka dan derita hadir, insan mula memanggil Tuhan siang dan malam. Insan mula insaf bahawa inilah kehidupan yang sementara, lantas harapannya bergantung kepada Allah semata. Dia pu mengharapkan apa yang hilang di sini, diperolehi di sana.

Betapa ramai kembali mencari akhirat apabila mereka merasai keperitan dunia ini. Betapa ramai yang mula mencintai syurga dan merindui pertemuan dengan Allah disebabkan derita dunia yang dilaluinya. Betapa ramai yang tidak sempat bercerita tentang keindahan syurgawi kerana disibukkan dengan kepalsuan duniawi, kembali menghayati perjalanan hidup yang hakiki disebabkan duka dan derita yang menimpa. Allah menceritakan tentang ucapan ahli syurga apabila mereka memasuki syurga kelak, mereka berkata (maksudnya):
“dan mereka berkata: “Segala puji bagi Allah, yang telah menghilangkan perasaan dukacita dari kami; sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun, lagi sentiasa memberi balasan yang sebaik-baiknya (kepada orang-orang Yang taat); Tuhan Yang telah menempatkan kami di tempat tinggal yang kekal dengan limpah kurniaNya semata-mata. Kami tidak akan merasa penat lelah di situ, dan kami juga di situ tidak akan merasa letih lesu”. (Surah Fatir, 34-35).

Doa

Insan apabila putus asa dengan segala jalan, jika masih ada dalam jiwanya iman, dia akan mencari tuhan. Betapa ramai yang mempelajari kemustajaban doa ketika dia dalam derita, sedangkan sebelum itu dia tidak pernah mempedulikannya. Cumanya, jika dia tidak dibimbing dengan ilmu yang sahih mengenai sunnah Nabi s.a.w, maka pelbagai unsur khurafat, doa rekaan, hadis palsu akan disambarnya dalam kekalutan mencari kemustajaban. Buku-buku doa banyak yang dimuatkan dengan maklumat yang tidak bersumber fakta yang sahih seperti cerita-cerita pelik yang tidak berasaskan riwayat yang benar.

Namun, jika insan memiliki dalam fikirannya manhaj yang sahih dalam mengambil sumber agama, maka ketika dalam kesusahan itu dia akan mencari nas-nas al-Quran dan hadis yang sahih mengenai kemustajaban doa dan ungkapan-ungkapan yang meredhakan Tuhan al-Rahman. Justeru, ramaikan yang kembali memahami agama, menghayati sunnah Rasulullah s.a.w disebabkan ujian duka dan sengsara yang menimpa dirinya. Demikianlah kadang-kala duka dan derita membawa insan kepada ilmu dan amal.

Antara yang diajar oleh Nabi s.a.w ialah seperti yang disebut oleh baginda dalam hadis:
“Doa orang yang dalam kesusahan: “Ya Allah, rahmatMu yang daku harapkan. Jangan Dikau serahkanku kepada diriku walaupun sekelip mata. Baikilah untukku urusanku semuanya. Tiada yang diabdikan diri melaikan Engkau”. (Riwayat Abu Daud, bertaraf sahih).
Lihat inti doa tersebut. Betapa indahnya apabila insan mengharapkan rahmat Tuhan, memohon Allah menguruskan dirinya sepenuhnya, sehingga agar tidak dibiarkan walaupun sekelip mata. Mohon dibaiki segala urusan. Allah! Alangkah indah penyerahan itu. Alangkah indah perdampingan itu. Alangkah terasa kehambaan diri seorang insan di hadapan kebesaran Tuhan.



Tawakkal

Tawakkal! Ramai yang boleh menyebutnya, bahkan menjadi hiasan di bibirnya. Namun, hakikat tawakkal iaitu pergantungan segala harapan hanya kepada Allah tidaklah mudah untuk dihayati. Ia memerlukan ketakwaan dan asuhan rabbani. Duka dan derita mampu mengasuh insan agar menyerahkan diri kepada Allah Yang Memiliki segala-galanya.

Tawakkal adalah keajaiban. Ramai yang tidak dapat melihat keajaiban tawakkal kerana mereka tidak memiliki jiwa yang benar-benar bertawakkal. Walaupun mulut mungkin menyebut bergantung kepada Allah, namun jantung hatinya masih bergantung dan berharap kepada selain Allah.

Tawakkal tidak menafikan usaha. Tetapi hati nurani yang bertawakkal tiada lain melainkan Allah sahaja pergantungannya. Usaha hanya sebab, Allah penentu segalanya. Apabila insan sampai ke peringkat yang indah itu, maka di situ terlaksananya firman Allah (maksudnya):
“..sesiapa bertawakkal kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya” (Surah al-Talaq, 3).
Duka dan derita mampu membawa insan yang beriman ke darjat yang kudus ini.

Hapus Dosa

Banyak dosa yang terhapus, darjat di sisi Allah diangkat kerana derita yang menimpa jiwa. Nabi s.a.w bersabda:
“Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat lain “..kecuali Allah angkat dengan sebab itu darjat dan padamkan dosa”. Lihat, betapa jiwa yang redha itu tidak sia-sia. Bala tidak dicari, derita tidak ditempa, tetapi jika tetap datang, jiwa mukmin akan redha dengan Allah sehingga Allah memberikan ganjaran untuknya dan diangkat kedudukannya.

Sesungguhnya keperluan insan tentang penghapusan dosa dan ketinggian darjat di sisi Allah lebih besar dari segala. Namun, dengan berpadukan perasaan dan mata yang terlalu duniawi, insan melupai hakikat kehidupan yang abadi. Padahal nikmat duniawi ini hanya beberapa bilangan hari, yang beransur pergi bersama usia yang meningkat bagi setiap ketika. Kita tidak menempa derita, tetapi derita boleh membawa bahagia selamanya.

Dengan derita juga insan insaf, membetulkan yang silap, meneruskan saki perjalanan yang ada. Betapa ramai yang menjadi soleh kerana derita yang dilaluinya. Maka, demikianlah Nabi s.a.w minta supaya kita membetulkan sikap dalam menghadapi kerenah hidup.

Sabda Nabi s.a.w:
“Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin, setiap urusan mukmin adalah baik baginya, hal itu tidak dimiliki oleh siapapun, kecuali oleh seorang mukmin. Apabila mendapat kesenangan dia bersyukur, dan itu baik untuknya. Apabila mendapat kesusahan dia bersabar, dan itu baik untuknya” (Riwayat Muslim).
(Prof Madya Dr Mohd Asri Zainal Abidin)