Sedikit latar belakang kisah sewaktu kecilnya. Dia merupakan seorang anak yang begitu tinggi sifat ingan tahunya dan seperti kanak-kanak yang secara amnya bersifat nakal. Dia dibesarkan dengan ketegasan oleh orang tuanya disamping didikan agama yang baik namun dari sudut pergaulannya, dia amat dikawal rapi oleh kedua orang tuanya sehinggakan dipetang hari tika kanak-kanak yang lainnya bersuka-ria, dia hanya sekadar bermain di halaman rumahnya atau di rumah jiran rapat kepada ibu ayahnya sahaja.
Dia pula dihantar ke sekolah yang terletak di bandar dengan alasan takut kalau-kalau Adam menjadi liar jika bercampur gaul dengan kanak-kanak di kampungnya. Begitulah warna-warni kehidupan Adam, dimana perkembangannya tidak begitu memberansangkan kerana masanya yang banyak dihabiskan di rumah bersama ibu, ayah, dan adiknya. Namun sebagai seorang anak, apa sahaja yang boleh dilakukan, melainkan mendiamkan diri dan mengikut rentak keluarganya. Dalam diam pemberontakan dalam diri yang sangat hebat berlaku.
Sifat ingin tahunya hanya banyak menimbulkan tanda tanya tanpa penjelasan dan dorongan keluarga, Adam lebih banyak belajar dengan caranya sendiri dari sumber-sumber seperti televisyen, movie termasuk video pornografi, observation terhadap keluarga serta kawan-kawannya dan lain-lain lagi, namun banyak ilmu negatif daripada positif, pengetahuan yang ada, kekal dalam dirinya. Kehidupannya seperti kata-kata dari Prince Charles, "I learned the way a monkey learns - by watching its parents." Adam mempunyai lebih ramai kawan perempuan berbanding kawan lelaki kerana sikapnya yang mudah mesra dengan perempuan sewaktu dia dibangku sekolah, namun dia bukanlah dalam kategori lelaki yang lembut.
Apabila tamat zaman persekolahannya, Adam melanjutkan pelajarannya ke sebuah institusi pengajian awam di Kuala Lumpur. Dimana Adam jauh dari keluarga dan perlu berdikari dengan berbekalankan pengetahuan yang ada bagi meniti kehidupan sebagai seorang yang bergelar mahasiswa. Ilmu agama yang dia miliki agak baik tetapi tidak begitu mantap untuk pedoman hidupnya. Pelbagai perkara yang menjadi tanda tanya dalam dirinya selama ini, yang dari pelbagai sudut tentang sesuatu perkara, cuba dicari dan dikupas satu persatu.
Karakter yang sudah sebati dalam diri, yang mudah mesra dengan perempuan digunakan sebaik mungkin kerana dia merasakan ada 'kemanisan' yang tersendiri dalam diri, mahluk yang bergelar perempuan. Ditakdirkan Adam bertemu dengan seorang perempuan dikenali sebagai Hairunnisa seorang anak tokoh korporat yang bergelar Dato' tetapi bebas pergaulannya.
Adam merasa simpati dengan akhlak Hairunissa dan bercita-cita untuk merubahnya, kerana Adam percaya, bukan atas kemahuan Hairunissa untuk bersifat sedemikian rupa. Pasti keadaan sekeliling, cara didikan keluarga dan pengaruh kawan yang menyebabkan Hairunnissa berperwatakan begitu di tambah dengan kurangnya kasih sayang dari keluarganya.
Dengan pengetahuan agama yang ada, Adam cuba membimbing Hairunissa kepada kebaikan, namun apa yang terjadi adalah sebaliknya. Adam semakin mendalami kehidupan Hairunnisa yang penuh dengan kegelapan dan mereka semakin rapat bagaikan pasangan suami isteri, sehingga mereka mengisytiharkan kepada rakan-rakan tentang percintaan mereka berdua.
Kini cita-cita Adam yang dulunya panas membara bertukar menjadi seperti debu di jalanan, kerana hanyut dibawa arus kemaksiatan. Dia merasakan percintaan bersama Hairunissa adalah rahmat dari Allah kerana Hairunnisa dapat membantu dari segi kewangan, disamping kebahagian hidup bersama teman hidupnya itu. Perkara ini diketahui oleh kedua orang tua Hairunissa, dan percintaan mereka dihalang keras oleh keluarganya. Namun Hairunissa bermati-matian mempertahankan percintaan mereka sehingga sanggup bersikap biadap kepada kedua orang tuanya.
Disamping cerita Hairunnisa, Adam juga ingin merubah sikap atau cara hidupnya yang mudah mesra dengan perempuan itu dengan memperbanyakan kawan-kawan lelaki, dan ingin hidup seperti remaja-remaja kebanyakan, kononnya seperti lelaki 'macho', 'stylo' dan 'gangster.' Dan dia berjaya dalam membina hubungan dengan remaja-remaja kampung dan ditempat belajarnya sendiri, yang datang dari pelbagai latar belakang. Dari hari ke hari, pendirian dan sikap Adam bertambah teruk.
Dia sudah mula terjebak dengan zina, pergaulan bebas, berhibur di kelab malam, rempit, curi motor, rokok dan banyak lagi yang dicubanya. Namun kadang-kadang, jauh disudut hatinya berkata-kata "Kenapa kehidupan aku begini? Seronok, tetapi aku tidak pernah merasa tenang... Masalah pula bertambah-tambah... Bagaimana ibu ayah? Bagaimana Hairunnisa bila aku berjauhan dengan dia? Dengan lelaki lain mungkin? Bagaimana agama?" Dan terus soalan-soalan ini dia terfikirkan setiap kali dia membuat maksiat ataupun dia keseorangan.
Dalam masa yang sama dia terus mencari jawapan dan penyelesaian masalahnya disamping maksiat-maksiat yang dia masih lakukan. Kadang-kadang dia mendekati orang-orang tua di kawasan belajarnya, atau pesyarah-pensyarah demi mencari nasihat atau solusi. Semua yang didengarinya disimpan baik dalam kotak memorinya. Kadang-kadang ke masjid atau surau mencari sesuatu, kalau-kalau di sana ada ketenangan. Kadang-kadang sejadah menjadi saksi tangisannya dalam dia mencari makna kehidupan.
Dia masih belum mengerti yang dimaksudkan dengan hidayah dari Allah swt, Al-Quran yang punya pelbagai khabar gembira dan peringatan masih belum menjadi peneman sejati. Kadang-kadang kedengaran bacaan dari surah-surah Al-Quran yang dibaca merdu oleh Adam. Namun maknanya tidak diambil tahu. Adam dalam keluh kesah dan keliru, terumbang-ambing dihempas ombak kehidupan, disamping bisikan-bisikan syaitan yang tidak mengenal erti berputus asa demi meramaikan teman untuk menemaninya dineraka kelak. Adam bagai tiada kekuatan untuk membuat perubahan dalam dirinya sendiri, dan dia terus mengikut arus kehidupan yang penuh 'kebahagian' didalamnya.
Masa berlalu begitu pantas, Adam berasa senang hati apabila dapat menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah dengan baik. Perhubungan cinta bersama Hairunnisa terputus ditengah jalan tanpa sebab walaupun mereka telah hidup bagaikan suami isteri. Adam sudah berputus asa dengan sikap Hairunissa dan tidak sanggup lagi memimpin Hairunnissa yang sememangnya seperti tidak boleh diubah lagi sikapnya. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan kepada Illahi demi kebahagian Hairunissa bekas kekasihnya.
Adam akhirnya berjaya mendapat pekerjaan sebagai Eksekutif di sebuah agensi terkenal di ibu kota dengan gaji yang lumayan. Adam yang kini tiada teman kekasih merasakan dirinya sunyi, dan seperti biasa Adam dengan sikap peramahnya mencari dan membuat hubungan dengan kenalan baru bagi mewarnai kehidupannya di tempat kerja barunya.
Adam menyibukkan diri, menyertai pelbagai kelab di tempat kerjanya dengan niat mencari kenalan baru. Tiada masalah buat Adam dalam usaha ini, memandangkan dia seorang yang peramah dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja. Kerana sibukkan keseronokan, kehidupan Adam menjadi kelam-kabut dan punah, tetapi sedikit rasa terkilan pun tidak dirasainya kerana dikaburi keseronokan yang terlampau. Tiada rasa bersalah dengan ibu ayah lagi, silih berganti perempuan, tiada lagi rasa malu dalam diri, dan tetap dengan perangai buruk yang ada. Dia terus menyalahi Hairunnisa yang kononnya, perempuan itu menjadi sebab perangainya buruk.
Adam sudah berputus asa dengan rahmat Allah serta menyalahi Allah yang membiarkan kehidupannya sebegitu rupa. Masa terus berlalu pergi, namun Adam tetap sebegitu rupa yang terus hanyut dengan dunia kemaksiatan tanpa menghiraukan nasihat daripada teman-temannya sewaktu belajar di universiti dahulu. Adam kini menjadi pembela kemaksiatan atas kesan-kesan dosa yang menyebabkan hatinya keras dan hitam.
Ditakdirkan Adam berkenalan dengan seorang perempuan yang dikenali sebagai Rina. Rina adalah seorang wanita yang lembut perwatakannya tetapi Rina juga adalah seorang wanita yang tidak bermoral dan mempunyai akhlak yang agak buruk. Rina bekerja sebagai pelayan kelab malam yang kehidupannya sentiasa bergelumbang dengan kemaksiatan dan kemungkaran di samping Rina juga seorang kaki minum arak yang tegar. Tetapi itu tidak menjadi masalah bagi Adam kerana hatinya sudah terpikat dengan kelembutan dan kemanjaan Rina yang sememangnya pandai memikat lelaki.
Adam menjadi seorang pengunjung setia kelab malam ditempat Rina bekerja. Waktu itulah Adam merasakan Rina adalah segala-galanya dalam hidupnya dan Adam sanggup berkorban apa sahaja untuk Rina. Wang ringgit, masa, tenaga dan segala-galanyalah untuk Rina
Kehidupan Adam semakin jauh bersama Rina. Mereka merasakan mereka telah mengecapi kebahagiaan hidup yang sempurna tetapi hakikatnya mereka lupa bahawa kehidupan bahagia yang mereka harungi itu adalah satu tipu daya dari Iblis dan Syaitan yang telah berjaya untuk menjadikan Adam dan Rina sebagai pengikutnya di Neraka Jahanam pada hari akhirat nanti.
Adam amat yakin yang Rina juga amat menyintainya kerana Rina sanggup berkongsi segala-galanya kisah dukanya pada Adam tetapi Adam lupa dan tertipu kerana itu hanya lakonan Rina yang sememangnya menjadikan air matanya untuk memastikan setiap lelaki yang mendampinginya akan rebah dan tunduk di kakinya. Adam telah berkorban segala-segalanya untuk hidup Rina sehinggakan wang simpanannya hampir kehabisan kerana mereka selalu berseronak di kelab-kelab malam.
Prestasi kerja Adam menurun dan beberapa kali juga dia telah dipanggil untuk mengadap Bosnya. Akhir sekali Adam diberi amaran terakhir untuk memastikan prestasi kerjanya dapat ditingkapkan kembali kalau dia ingin terus bekerja di situ . Suatu malam sewaktu ingin mengambil Rina pulang dari tempat kerjanya, bagaikan satu halilintar yang kuat menembusi dadanya apabila melihat Rina bercumbuan dengan lelaki bukan Islam dalam keadaan mabuk dan perlakuan yang tidak tergamak untuk dilafazkan oleh Adam.
Airmata Adam jatuh bercucuran ibarat titisan embun jernih yang menitis di waktu subuh yang hening. Betul kah apa yang berlaku di depan matanya ini. Adam dengan Rina bergaduh besar malam tu. Akhir sekali Rina membuat pengakuan bahawa dia tidak mencinta Adam. Selama ini dia hanya ingin menggunakan Adam untuk kesenangan hidupnya.
Adam tidak dapat menerima kenyataan Rina dan menganggap Rina berkata begitu hanya untuk menyakitkan hatinya dan mungkin Rina dalam keadaan mabuk dan Adam membiarkan Rina tertidur di rumahnya.
"Mohd Adam Idrus!!!!!!!!!!!!!!!!!...berapa kali saya cakap pada kamu, ubah gaya hidup kamu kerana gaya hidup kamu yang teruk itu turut menjejaskan prestasi kerja kamu. Secara tak langsung juga keuntungan syarikat terjejas". Bagaikan guruh di langit suara Dato' Sri Danial yang menengking Adam dalam biliknya. Dato Sri Danial adalah CEO tempat Adam bekerja.
"Maafkan saya Dato' Seri, saya janji akan cuba untuk perbaiki prestasi kerja saya". Adam tunduk memandang lantai. Hanya ungkapan itu yang mampu dilafazkan olehnya.
"Saya tidak boleh berbuat apa-apa Adam, kamu dipecat. Ahli lembaga Pengarah juga telah membuat keputusan untuk memecat kamu. Ini suratnya".
Adam tersungkur keseorangan, menjerit, menangis, menahan kepedihan dan keperitan yang sedang ditanggungnya itu. Bagaikan semesta alam gelap gelita. Adam tak tahu arah yang harus dia tuju sekarang. Rina telah membuat kata putus untuk memutuskan hubungannya dengan Adam. Terkontang Kanting Adam menghadapi ini semua keseorangan.
Di saat Adam terdampar tanpa hala tuju, tuhan telah menemukan Adam dengan Siti Khadijah. Pertemuan dan perkenalan yang tidak dirancang itu telah membibikkan kemesraan yang dibataskan syariat agama. Adam cuba bangkit dari rebahnya itu dengan sokongan Siti Khadijah kepadanya. Siti Khadijah banyak memberi kata-kata semangat kepada Adam agar tidak mudah berputus asa dalam kehidupan kerana setiap apa yang berlaku adalah ujian dan dugaan dari Allah untuk menyedarkan kita atas kesilapan yang lampau.
Kata putus dari perbincangan mereka berdua ialah supaya Adam memohon pekerjaan di agensi kerajaan dan alhamdulilah Adam telah berjaya mendapat tawaran untuk bekerjas sebagai penolong pegawai di sebuah agensi kerajaan. Walaupun gaji ditempat baru ini terlalu kecil tapi Adam bersyukur kerana tuhan telah memberinya peluangnya untuk kali kedua. Kegembiraan jelas terpancar di wajah Adam.
Walaupun kisah Adam kali ini penuh kepahitan, dugaan, dan pengorbanan, namun akhlaknya masih belum menampakkan perubahan. Perhubungannya dengan Sang Maha Pencipta masih tidak terjaga, walaupun kadang-kadang terdetik dihatinya, "macam mana nak jadi baik? Haihs..".
Adam berusaha mencari mana-mana tempat yang menganjurkan kursus motivasi diri.
Seorang kawannya mencadangkan supaya Adam pergi ke satu kursus yang pernah kawannya itu hadiri, dan satu impak positive yang besar berlaku pada diri kawannya kini. Tanpa berfikir panjang dan dipersetujui Siti Khadijah, Adam turut menghadiri kursus itu dengan hasrat supaya kursus yang akan dihadirinya dapat memberikan impak yang besar dalam dirinya.
Dengan keizinan Allah, suatu yang seperti ajaib terjadi dalam dirinya, seperti seorang yang meraba-raba dalam kegelapan, berjaya melepaskan diri kepada cahaya dengan bantuan sesuatu. Kini Adam memperakui dosa-dosanya dan dia bertaubat dihadapan Allah, memohon keampunan, berjujuran air mata, menggigil dia kerana takut akan dosa-dosanya, sehinggakan Adam begitu takut untuk keluar dari rumahnya menghadapi realiti kehidupan yang penuh dusta. Allah berfirman
"Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu." (Surah An-Nur:35)
Rutin sehariannya kini mencari keburukan diri, dan perlahan mencari solusi kepada setiap permasalahan dirinya. Prasangka buruk dalam diri hilang, sikap membanding-bandingkan terkubur, riak dan banyak sikap negatifnya yang secara drastik berubah dan hilang dalam diri Adam. Dia kini sangat dahagakan ilmu demi mempertingkatkan akhlak diri dan memperbaiki kehidupan sebagai seorang yang mempunyai kerjaya serta bakal menjadi pemimpin rumah tangga satu hari kelak.
Di tempat kerja barunya, dia menunjukkan kejayaan dalam pekerjaannya sehingga dia mendapat anugerah khidmat cemerlang . Tetapi ditakdir Tuhan Siti Khadijah bukan jodohnya apabila suatu petang yang tenang, Adam menerima Kad Undangan Perkahwinan dari Siti Khadijah. "Terima Kasih Siti Khadijah". hati Adam berdetik dalam senyuman memandang kad undangan itu
Adam sudah banyak berubah ke arah keIslaman. Keseronokan maksiat yang lalu telah ditinggalkannya sedikit demi sedikit. Adam cuma mencari Rina kembali dan amat berharap Rina juga telah meninggalkan kerja haramnya itu dan ingin berhijrah ke jalan agama.
Niat Adam sekadar ingin menjaga silaturrahim antara dia dan Rina, kerana Adam benar-benar mencintai Rina dan bercadang untuk memperisterikan Rina sekiranya Rina bersedia, disamping ingin menghormati diri Rina sebagai makhluk ciptaan Allah yang cantik dan bersifat lemah.
Mungkin juga Adam terlalu keras dalam membimbing Rina tetapi Rina tetap menolak niat ikhlas Adam itu dan Rina tidak akan dapat menerima lagi Adam dalam hidupnya. Adam semakin hilang dari hati Rina. Adam hanya tersenyum dan ini semua mungkin Allah ingin menguji kebenaran cinta Adam kepada Allah swt dan Rasul saw.
Namun perkara ini dilalui tenang oleh Adam, kerana dia kini seorang yang percaya pada ketetapan baik dan buruk oleh penciptanya. Dan dia memaafkan Rina dan amat bersyukur diizinkan Allah berkenalan dengan manusia yang bernama Rina. Hanya doa yang mampu Adam panjatkan demi kebahagiaan Rina untuk dunia dan akhirat.
Adam kini terus dengan perjuangannya, dia perlu meletakkan fokus pada kerjayanya. Disamping memperkuatkan ilmu agama, mempelajari hadis, perbaiki bacaan Al-Quran sambil meningkatkan keimanannya kepada Allah dan Rasul.
Dia menjadi seorang yang amat risaukan tentang bagaimana dan cara apa yang perlu dilakukannya bagi menjadikan impian Rasul saw sebagai satu kenyataan sehingga bayi yang terakhir lahir ke dunia pun dapat masuk ke syurga Allah swt.
Kehidupannya kini kelihatan bahagia, bagaikan tiada masalah, walaupun berseorangan. Mungkin kerana keyakinannya terhadap bantuan dari Sang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Moga kita sama-sama dapat doakan kesejahteraan Adam. Semoga Adam dapat beristiqamah dan bermujahadah dalam usaha memperbaiki diri dan berdakwah menyebarkan agama Allah. Allah bersumpah demi jiwa dan seluruh penyempurnaan-Nya. Setelah itu Dia mengilhamkan sukma kefasikan dan ketakwaan kepada manusia. Maka beruntunglah siapa yang mensucikan hatinya dan rugilah bagi mereka yang mengotorinya.
No comments:
Post a Comment